SALAH satu golongan yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wataala ialah golongan orang-orang yang membuat kerosakan. Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Al-Quran Surah Al-Maa-idah ayat 64 yang tafsirnya:
"Sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan."
Siapakah mereka yang dimaksudkan termasuk di dalam golongan orang-orang yang membuat kerosakan itu? Mereka ialah golongan yang menghalangi manusia dari jalan Allah Subhanahu Wataala dan golongan yang batin mereka sama dengan yang disebutkan, tetapi lahirnya menampakkan apa yang sebaliknya. Mereka itu adalah orang-orang munafiq. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Al-Quran Surah An-Nahl ayat 88 yang tafsirnya:
"Orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya serta orang lain) dari jalan Allah, Kami tambahi mereka azab seksa, di samping azab (yang menimpa mereka), disebabkan mereka membuat kerosakan."
Dan firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 11 hingga 12 yang tafsirnya:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya."
Jelas daripada firman Allah Subhanahu Wataala itu tadi bahawa barangsiapa yang berjalan di atas jalan, selain jalan-Nya, iaitu jalan kekafiran dan menghalang-halangi manusia dari jalan Allah dan merasakan dirinya berada dalam kebenaran akan tetapi keadaannya sebaliknya pula, maka tidak diragukan lagi bahawa dia termasuk orang-orang yang membuat kerosakan.
Sebab utama mengapa mereka membuat kerosakan adalah kerana mengikuti hawa nafsu mereka tanpa mempedulikan petunjuk dan amaran daripada Allah Subhanahu Wataala. Setiap orang mempunyai keinginan hawa nafsu yang berbeza-beza. Jika seandainya semua keinginan itu dituruti, nescaya hancurlah dunia dan isinya. Misalnya setiap orang mempunyai keinginan agar dia berkuasa atas yang lain. Maka jika setiap orang benar-benar diberi apa yang boleh mewujudkan keinginannya itu, apa yang akan terjadi? Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala menurunkan Kitab Suci Al-Quran untuk mengikat keinginan-keinginan hawa nafsu manusia dalam ikatan-ikatan yang adil. Oleh kerana itu berjalan di atas selain daripada jalan-Nya adalah merupakan kerosakan dan membuat kerosakan, kerana hal itu bererti mengikuti keinginan hawa nafsu yang menipu diri. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 49 yang tafsirnya:
"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang fasiq."
Jika kita melihat kehidupan umat Islam pada hari ini, kita dapati bahawa kepatuhan terhadap perintah dan larangan Allah tidak dilaksanakan dengan sempurna sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wataala. Dalam hal ini nafsu selalu menghalang seseorang dari beribadat dan berbakti kepada Allah. Kerana nafsu, manusia sentiasa lalai dan tidak mahu mengambil endah terhadap perintah beribadat kepada Allah. Mereka sanggup berbuat apa saja untuk mengejar kemewahan dunia, kekayaan, kesenangan demi untuk memuaskan nafsu mereka. Bila nafsu menguasai, manusia tidak mengira halal dan haram, disukai atau dibenci sehingga sanggup melakukan perkara yang dilarang oleh agama Islam. Dewasa ini banyak berlaku kes-kes yang memalukan seperti sumbang mahram, lesbian,
homoseksual dan sebagainya. Perbuatan yang dilakukan adalah kerana terlalu menuruti hawa nafsu sehingga merosakkan diri mereka sendiri. Dalam hal ini Allah Subhanahu Wataala memperingatkan manusia agar berhati-hati jangan sampai mengikut hawa nafsu. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Shaad ayat 26 yang tafsirnya:
"Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu."
Oleh kerana itu binalah kehidupan kita dengan sentiasa berpegang teguh dengan keimanan yang kuat kepada Allah Subhanahu Wataala serta perlu menentu dan menetapkan matlamat perubahan yang lebih baik dari keadaan sebelumnya supaya kita tidak terjerumus dalam melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kebencian dan kemurkaan Allah Subhanahu Wataala. Semoga amal ibadat yang kita lakukan akan membersihkan jiwa dan raga kita dan jauh daripada tergolong ke dalam golongan orang-orang yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wataala.
Sumber: SurauKampung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan