Al Fatihah ialah kata-kata Munajat . Dengan ayat Al Fatihah kita berkata-kata secara langsung dengan Allah s.w.t.
Maka sebelum itu kita perlu membaca kalimah ‘Ta’awwuz’ dengan tujuan memohon perlindungan diri dengan Allah SWT dari segala gangguan dan bencana yang datang dari Iblis dan syaitan yang terkutuk, kerana dialah yang sentiasa berusaha untuk memalingkan hati kita dari menghadapi Allah.
Kemudian kita diperlukan pula membaca “Bismillah” untuk mendapatkan berkat dengan nama Allah sebelum melaksanakan sesuatu pekerjaan, sambil mengingat bahawa Allah sahajalah yang menguasai segala-segalanya dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Oleh kerana Al Fatihah adalah Ibu Segala Ayat di dalam Quran, hati dan jiwa kita hendaklah dipusatkan kepadanya ketika lidah kita membacanya. Ketika membaca Al Fatihah, sebaik-sebaiknya hati hendaklah mendahului lidah, atau sekurang-kurangnya hendaklah lidah menjadi guru bagi hati, iaitu hati hendaklah mengingat makna sesudah lidah membacanya.
1. Ketika kita membaca ‘Alhamdulillahi Rabbil Alamin’ kita ingat di dalam hati bahawa segala kepujian adalah hak-kepunyaan Allah kerana Allah menjadikan seluruh alam dan mengatur serta menguasainya. Maka tidaklah ada sesiapa selain dari Allah yang berhak menerima kepujian itu.
Kemudian kita berhenti sejenak untuk menanti reaksi kepada pujian kita itu, seolah-olah kita dengar Allah menjawab: “ Aku telah disanjung oleh hambaKu.”
2. Bila kita membaca ‘Ar Rahmanir Rahim’ kita tekankan dalam hati bahawa fungsi Allah sebagai Penguasa dan Pengatur alam berlaku kerana sifat Pengasih dan PenyayangNya. Maka segala yang kita terima dari kurniaanNya adalah dengan RahmatNya semata-mata. Jika tidak kerana Rahmat-Nya, alam ini tidak mungkin terjadi dan tidak pula tersusun seperti yang kita lihat.
3. Ketika kita membaca ‘ Maliki Yaumid-Din’ hendaklah kita ingat bahawa Allah s.w.t adalah Penguasa dan Hakim yang Maha Agung di Akhirat. Hanya Dia yang membuat perhitungan dan memberi ganjaran kepada segala amalan kita di dunia. Maka tidaklah ada kuasa lain yang boleh diharap-harapkan selain dari Allah.
4. Apabila kita mebaca “Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in” ingatan kita tertumpu kepada Allah yang Maha Agung dengan ikrar bahawa tidak ada sesuatu pun yang disembah melainkan ‘Engkau’. Maka secara langsung kita berikrar: KepadaMu aku beribadat dan kepadaMu jua aku memohon pertolongan! Dengan ikrar ini juga kita harap akan diperteguh i’tiqad di dada kita bahawa walaupun bantuan dari makhluk diperlukan juga dalam kehidupan kita sehari-hari, tetapi Allah adalah Penggerak dan Penolong Yang Sebenar di sebalik usaha dan ikhtiar makhlukNya.
5. Ketika kita membaca “Ihdinas-Siratal-Mustaqim” ucapan ini adalah doa dan permintaan kita supaya Allah memberi petunjuk kepada kita ke jalan yang benar dalam segala hal, baik yang mengenai amalan atau ilmu yang kita perlukan sebagai hambaNya yang taat.
Doa ini penting kerana kita tidak mungkin menemui jalan yang lurus dan benar itu jika Allah tidak memberi petunjukNya kepada kita.
6. Ketika kita membaca “Shiratal-lazina An’amta Alaihim” kita harus sematkan dalam ingatan bahawa ‘ Jalan Lurus’ yang kita pohonkan dari Allah sebenarnya adalah jalan yang pernah dinikmati oleh hamba-hamba Allah yang lain oleh pemberianNya jua. Dengan kesedaran ini semoga kita mencontohi amalan orang-ornag yang telah diberi nikmat oleh Allah di dunia ini, semoga kita akan menyertai mereka di akhirat nanti.
7. Ketika kita membaca “Ghairil Maghdubi Alaihim Waladh-Dhaal-Liiin” kita memohon pada Allah supaya dijauhkan kita dari jalan, perbuatan dan sifat manusia yang dibenci dan dimurkai oleh Allah kerana kecenderungan mereka melakukan kebatilan dan kemungkaran, sedangkan kebatilan membawa kepada kesesatan. Pada akhir ayat ini kita berhenti sejenak untuk menanti jawapan dari Allah, yang kita harap-harapkan akan berkata: “Aku beri kepada hambaKu, dan bagi hambaKu ini apa yang ia minta”.
Sumber: SurauKampung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan