Islam menggalakkan umatnya mencari rezeki dan memiliki harta yang banyak untuk menjamin masa depan ahli keluarga dan keturunannya agar sentiasa hidup bahagia dan terurus.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Biarlah kamu mati meninggalkan harta untuk anak kamu. Ia adalah lebih baik daripada anak kamu meminta-minta kepada orang lain selepas kamu mati."
Namun, rezeki yang dimiliki perlu diperoleh daripada sumber halal dan berkat, sejajar dengan maksud firman Allah, bermaksud: "Makanlah kamu daripada rezeki yang halal dan bersih." (Surah al-Baqarah, ayat 168).
Sehubungan itu, Islam melarang umatnya mencari rezeki dan memperoleh harta daripada sumber tidak halal seperti rasuah, mencuri, bersubahat, menipu, menganiaya dan melakukan kerja haram. Malah, menipu dalam pelbagai tuntutan perjalanan, kerja lebih masa selain menyalahgunakan harta kerajaan dan majikan juga boleh menjurus kepada penerimaan rezeki yang tidak berkat.
Antara tanda rezeki yang diperoleh secara tidak berkat ialah:
- Jiwa sentiasa tidak tenang walaupun memperoleh dan memiliki harta banyak dan bertimbun.
- Harta yang diperoleh menerusi jalan tidak baik mudah habis dan terhakis tanpa diduga dan tidak disedari seperti kereta rosak dan kena saman.
- Berasa sombong dan tamak hingga bernafsu untuk menambah dan memiliki lebih banyak harta hingga terlupa dan tidak mementingkan ibadah.
- Berasa kedekut dan enggan bersedekah atau mengeluarkan zakat kerana menganggap perbuatan itu merugikan.
- Sering ditimpa bencana dan musibah yang tidak disedari seperti anak sakit, duit hilang, barangan rumah rosak walaupun baru dibeli. Ini kerana setiap perbuatan mungkar akan mendapat laknat daripada Allah.
- Ibadah tidak sempurna dan sukar menerima pendidikan terutama berkaitan agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan