Hari Raya Aidildha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam. Dalil disyariatkan Aidiladha adalah sebagaimana dikhabarkan
oleh Anas bin Malik r.a, dia berkata:
Nabi s.a.w. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya lagi mereka berdua merupakan imam yang layak mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda:
Maksudnya:
“Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya ALLAH telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.
Aidiladha juga diberi gelaran sebagai Hari Raya Haji kerana ianya diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadat yang termasuk di dalam rukun
Islam yang lima iaitu ibadat Haji. Di samping itu Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana di antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan kambing biri-biri dalam rangka beribadat kepada ALLAH S.W.T.. Ibadat korban ini adalah sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. kerana taat akan perintah ALLAH S.W.T.. Namun begitu berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini kepada kehendak ALLAH S.W.T. maka ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya itu, ALLAH gantikannya dengan seekor kibas.
Peristiwa ini telah dirakamkan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman-NYA:
Maksudnya:
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah
apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya ALLAH, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (KAMI sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). Serta KAMI menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu".
Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. – al-Saaffaat (37) : 101-108
Rentetan dari peristiwa ini maka saban tahun ketika merayakan Hari Raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik yang berada di dalam masyarakat seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.
KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAT KORBAN
Ibadat korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya. Ini sebagaimana ditekankan oleh ALLAH S.W.T. melalui firman-NYA:
Maksudnya:
Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.
Demikianlah KAMI mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya
kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. – al-Hajj (22) : 36-37
Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadat korban seperti berikut:
1) Ibadat korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyrakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang diantara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dan dengan golongan yang bernasib baik yang dianugerahkan oleh ALLAH S.W.T. dengan kekayaan dan kelapangan hidup melalui pengagihan daging-daging korban tersebut.
2) Ibadat korban juga berupaya membentuk insan yang bersyukur dengan rezeki yang ALLAH kurniakan kepadanya melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadat dan mendekatkan diri kepada ALLAH S.W.T..
3) Ibadat korban juga dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan hanya demi untuk mendapat keredhaan ALLAH S.W.T..
4) Ianya juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH S.W.T. kerana menurut perintahnya.
5) Ibadat korban merupakan amalan yang mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadat tersebut bakal menerima khabar gembira daripada ALLAH S.W.T. iaitu balasan serta ganjaran yang baik daripada-NYA
HUKUM IBADAT KORBAN
Tentang hukum melaksanakan ibadat korban ini maka para ulamak berbeza pendapat yang dapat kita bahagikan kepada dua iaitu:-
1) Wajib bagi yang mampu. Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syaikh al-Islam Ibnu
Taymiyyah. Dalil-dalil yang dipakai oleh mereka yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:-
Maksudnya:
Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). - al-Kauthar (108) : 2
Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadat korban sebagaimana solat kerana kedua ibadat tersebut dihubungkan dengan huruf ? (dan) yang menunjukkan kesamaan hukum.
Maksudnya:
Daripada Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali, dia berkata: Nabi s.a.w. solat pada hari Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang )korbannya dan bersabda:
Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), maka sembelihlah yang lain sebagai penggantinya. Dan barangsiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 985.
Perintah Rasulullah s.a.w. untuk mengulangi ibadat korban jika ianya dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ianya wajib. Jika tidak wajib pasti
baginda tidak akan mengarahkan agar ianya diulang semula.
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Barangsiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no: 3114
Hadis ini berupa ancaman bagi mereka memiliki kemampuan tetapi tidak mengerjakan ibadat korban. Ancaman yang berat ini tidak akan dilakukan oleh baginda melainkan ianya sebagai bukti akan kewajipannya.
Maksudnya:
Dari Mikhnaf bin Sulaim, dia berkata: Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah, lalu berkata:
Wahai manusia. Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahunnya (mengerjakan ibadat) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab). – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam kitab Sunan Tirmidzi,
hadis no: 1438.
Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadat korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walaubagaimanapun hukum untuk ‘atirah telah dimansuhkan namun ianya tidak mengharuskan pemansuhan ibadat korban dan hukumnya
yang wajib masih terus sah sampai sekarang.
2) Sunat atau Sunat Mu’akkad bagi yang mampu. Pendapat ini pula merupakan pendapat jumhur (majoriti) ulamak dan pendapat Imam al-Syafi’i r.h. Golongan ini pula berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:-
Maksudnya:
Daripada Ummu Salamah, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang dari kalian ingin menyembelih (haiwan) korban, maka jangan memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1977.
Ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa ibadat korban itu tidak wajib dengan dasar sabda Nabi dan salah seorang dari kalian ingin yang menggambarkan baginda menyerahkan kepada kehendak seseorang. Seandainya ibadat korban itu wajib pasti baginda tidak akan menyerahkannya kepada kehendak seseorang dengan bersabda “maka janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”
Maksudnya:
Daripada Jabir, dia berkata: Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w. solat Aidiadha di musholla (tanah lapang). Ketika selesai khutbahnya, baginda turun dari mimbarnya, lalu dibawakan seekor kambing dan Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri
dan berkata: “Bismillah wa Allahu Akbar hadza ‘anni wa ‘amman lam yudhahi min
ummati (Dengan nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar, ini dariku dan dari umatku
yang belum meyembelih. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 2427.
Sabda Rasulullah s.a.w ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih disampaikan secara mutlak tanpa perincian merupakan dalil tidak wajibnya ibadat
korban. Sekiranya ianya wajib tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadat tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada meereka.
Diriwayatkan daripada Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:
Maksudnya:
Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir dijadikan panutan. – Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, 9/295. Syaikh al-Albani telah mengsahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil hadis no: 1139.
Seandainya ibadat korban itu wajib nescaya kedua Abu Bakar dan ‘Umar r.a akan mendahului umat Islam yang lain dalam melakukan ibadat korban.
Sebelum penulis membuat rumusan tentang hukum ibadat korban hendaklah kita fahami bahawa pengajian hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan untuk mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun tidak. Namun begitu bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w., sekiranya sesuatu amalan itu sabit datangnya daripada baginda maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ianya wajib atau sunat.
Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:
Seorang Muslim selayaknya mematuhi syariat tanpa memandang apakah itu fardu atau sunat. Yang terpenting dia melakukan kerana mematuhi syariat ALLAH S.W.T, kerana mengikuti Nabi-NYA dan mencari pahala. Pembahasan mengenai hukum hanya diperlukan saat ingin meninggalkannya, apakah yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau yang sunat. Demikian kewajipan seorang hamba yang serius beribadat. Adapun dalam kajian ilmiah dan mengetahui hukum-hukumnya maka perlu mengetahui antara yang fardu dan yang sunat.
Sumber: http://kijang.multiply.com/iba
Tiada ulasan:
Catat Ulasan