Jumaat, Oktober 15, 2010

Perkara-Perkara Sunat dalam Solat

Sunat-sunat yang di tunaikan sebelum sembahyang:

1. Azan
2. Iqamah
3. Meletakkan sesuatu (pemisah) di hadapannya yang memisahkan antaranya dengan orang-orang yang lalu lalang seperti dinding, tiang, tongkat,atau dengan menghampar sejadah dan seumpamanya. Sekiranya perkara-perkara tersebut tidak ada maka dia hendaklah membuat satu garisan di hadapannya.

Sunat-sunat yang di tunaikan ketika sembahyang:

Sunat ab’ad

Sunat ab’ad ialah semua perkara yang kalau ditinggalkan maka ia boleh ditampung semula dengan sujud sahwi di akhir sembahyang.

1. Tasyahud awal
2. Selawat ke atas Nabi selepas tasyahud awal. Ia merupakan sunat yang kalau di tinggalkan perlu kepada melakukan sujud sahwi.
3. Duduk untuk membaca tasyahud awal.
4. Selawat ke atas keluarga Nabi s.a.w. selepas tasyahud akhir ( yang merupakan rukun dalam sembahyang)
5. Membaca qunut ketika I’tidal di rakaat kedua pada sembahyang Subuh, dan di akhir rakaat sembahyang Witir selepas separuh daripada bulan Ramadhan dan juga ketika I’tidal di rakaat yang akhir pada mana-mana sembahyang yang dibaca Qunut Nazilah

Sunat Hai’at

Sunat Hai’at ialah perkara yang kalau ditinggalkan, ia tidak membawa kepada perlunya sujud sahwi.

1. Mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram, ketika rukuk dan bangkit daripadanya.
2. Meletak tangan kanan di atas bahagian belakang tangan kiri ketika berdiri.
3. Melihat tempat sujud
4. Membaca doa iftitah selepas takbiratul ihram
5. Membaca al-Isti’zah selepas doa Iftitah
6. Membaca dengan kuat dan perlahan di tempat-tempat tertentu.
7. Menyebut “amin” selepas Fatihah.
8. Membaca sesuatu daripada ayat Al-Quran selepas fatihah.
9. Mengucap takbir ketika bepindah dari satu rukun ke satu rukun.
10. Membaca tasbih ketika rukuk dan sujud.
11. Meletakkan kedua tangan di atas permulaan kedua paha ketika duduk membaca tasyahud awal dan akhir.
12. Duduk tawarruk ketika duduk yang akhir ( ketika membaca tahiyyat akhir) dan duduk iftirash pada tempat selainnya.
13. Memberi salam yang kedua.
14. Sentiasa khusyuk di sepanjang sembahyang.

Sunat-sunat yang ditunaikan selepas sembahyang:

1. Istighfar, zikir dan doa
2. Berpindah tempat dari tempat sembahyang fardu ketika hendak menunaikan sembahyang sunat. Ini dilakukan bagi membanyakkan tempat-tempat sujud kerana kesemuanya itu akan menjadi saksi untuknya. Yang afdalnya ialah apabila bersembahyang (fardu) di masjid, maka sembahyang sunat dilakukan di rumah
3. Apabila mereka (kaum lelaki) sembahyang di masjid dan di belakang terdapat golongan wanita, maka disunatkan kepada kaum lelaki agar tetap duduk di tempat mereka sehinggalah golongan wanita meninggalkan tempat mereka. Ini kerana bercampur dengan mereka adalah perkara yang boleh membawa kepada kerosakan.

Tiada ulasan: