Rabu, Ogos 25, 2010

Doa di dalam Khutbah Jumaat


Dewasa ini kita melihat bahawa umat Islam Malaysia mengangkat tangan ketika khatib membaca doa di dalam khutbah. Aku berasa terpanggil untuk menjelaskan bahawa mengangkat tangan ketika khatib membaca doa di dalam khutbah adalah merupakan amalan bid'ah yang sudah berakar umbi di dalam masyarakat pada hari ini.

Sama-sama kita menilai apakah amalan kita berlandaskan ilmu dan sunnah ataupun sekadar mengikut (bertaqlid) masyarakat yang serba jahil.

Umumnya, mengangkat tangan ketika berdoa' ini sunnah. Ini berdasarkan hadith Nabi saw, sabdanya :


إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

"Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia, apabila hambanya mengangkat tangan kepadanya, Dia tidak akan menolak dengan tangan kosong" - Riwayat At-Tirmidzi no: 3556, dikelaskan sebagai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih at-Tirmidzi.

Akan tetapi, mengangkat tangan semasa berdo'a di dalam Khutbah Jumaat bagi Khatib bukanlah sunnah untuk mengangkat tangannya. Ia hanya disunnahkan menunjuk dengan menggunakan jari telunjuk. Malah para sahabat mengutuk dan melarang khatib mengangkat tangan ketika berdo'a.

Imam Muslim (874) dan Abu Daud (1104) telah meriwayatkan :

عَنْ عُمَارَةَ بْنِ رُؤَيْبَةَ أنه رَأَى بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ (زاد أبو داود : وَهُوَ يَدْعُو فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ) فَقَالَ: ( قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ

"Dari 'Umaarah ibn Ru'aibah melihat Bishr ibn Marwaan ketika diatas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah: Apabila melakukan do'a pada hari Jumaat), dan berkata: 'Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah SAW tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya."



Imam Al-Nawawi mengatakan :

فِيهِ أَنَّ السُّنَّة أَنْ لا يَرْفَع الْيَد فِي الْخُطْبَة وَهُوَ قَوْل مَالِك وَأَصْحَابنَا وَغَيْرهمْ .

"Ini menunjukkan bahawa adalah sunnah TIDAK mengangkat tangan semasa berkhutbah dan ia adalah pandangan Malik dan yang lain-lain."

Ma'mum juga tidak digalakkan mengangkat tangan semasa Khatib membaca do'a, kerana ma'mum mengikut Imam.

Akan tetapi jika Imam berdo'a agar diturunkan hujan pada hari Jumaat semasa beliau di atas mimbar, maka adalah menjadi sunnah mengangkat tangan dan begitu juga keadaan ma'mumnya, disunatkan mengangkat tangan.

Muhaddith Sheikh Nasyiruddin Al-Albani di dalam buku Bida' Al-Jumu'ah (ms 56-66)[1] telah menyatakan bahawa mengangkat tangan :

(دعاء الناس ورفع اليدين عند جلوس الإمام على المنبر بين الخطبتين)

a. semasa Imam duduk di antara dua Khutbah (no:42)

(رفع القوم أيديهم تأمينا على دعائه)
b. semasa ma'mum mengaminkan do'a khatib (no:63)
merupakan bid'ah-bid'ah yang biasa dilakukan oleh ma'mum yang menghadirkan diri di dalam solat Jumaat.

Beberapa ulama' mengatakan bahawa adalah menjadi kesalahan orang-orang yang bersolat mengangkat tangan mereka bagi mengaminkan do'a Imam, dan disebut oleh Ibnu Abidin (Khaasiyah Abidin 11/143), sesungguhnya jika mereka melakukannya maka mereka dosa ke atas yang sahih[2]
(إنهم إذا فعلوا ذلك أثموا على الصحيح).

Begitu jugalah halnya kepada mereka yang mengangkat tangan mereka tatkala Imam duduk di antara 2 khutbah.

Berdo'a di dalam Khutbah Jumaat adalah disyara'kan thabit dari Nabi SAW di mana baginda mendoa'kan ke atas mu'minin dan mu'minat. Di dalam Fatwa no:6396, Fatwa Lajhah Daa'imah LilBuhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta' (8/233) mengatakan bahawa menyebut 'Amin' pada do'a tidaklah mengapa[3].
(أما التلفظ بالتأمين على دعائه فلا بأس به؛).

Kesimpulannya ialah mengangkat tangan untuk berdo'a semasa Imam duduk antara 2 khutbah dan juga semasa Imam membaca do'a tidak terdapat di dalam syara'. Malah ulama' mengatakan ia adalah perbuatan bid'ah. Do'a boleh dibaca semasa Imam sedang duduk di antara 2 khutbah dengan secara perlahan (sirr) tanpa mengangkat tangan dan menyebut 'Amin' secara perlahan semasa Imam membaca do'a.

Wallahu 'alam

Sumber: http://idrisiah87.blogspot.com/