Selasa, November 24, 2009

Takwim Hijrah

Takwim Hijrah atau Takwim Islam merupakan takwim yang digunakan di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Ia merupakan sejenis kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun.

Sejarah

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

Penggunaan

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya dihadapan pemimpin.

Dengan pencerapan begini mendorong Muslim berkecimpung dalam bidang astronomi, yang meletakkan Islam terkehadapan dalam sains tersebut buat beberapa kurun. Amalan tradisi ini masih diikuti di negara-negara lain seperti Pakistan and Jordan. Walau bagaimanapun, kebanyakan peraturan astronomi negara Muslim membenarkan penggunaan calendar dan tidak tertakluk sentiasa kepada cara ini. Malaysia, Indonesia, dan beberapa negara yang lain memulakan bulan ketika matahari terbenam pada hari pertama ketika bulan terbenam selepas matahari terbenam. Di Mesir, bulan bermula ketika matahari terbenam pada hari pertama yang bulan terbenam sekurang-kurangnya lima minit selepas matahari terbenam.

Umm al-Qura yang rasmi, kalendar Arab Saudi menggunakan kaedah astronomi yang berlainan hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini [1]. Sebelum 1420H (sebelum 18 April 1999), jika usia bulan yang terbenam di Riyadh sekurang-kurangnya 12 jam, maka hari yang tamat ketika matahari terbenam itu merupakan hari pertama setiap bulan. Ini menyebabkan negara tersebut meraikan hari-hari raya sehari atau dua hari awal berbanding negara lain termasuklah Haji yang hanya menggunakan tarikh Arab Saudi kerana berlangsung di Makkah. Pada tahun 1380-an H (1970-an), negara Muslim berlainan menamatkan puasa Ramadan pada empat hari yang berbeza. Perayaan Aidil Fitri lebih seragam pada 1420H. Bagi 1420-22H, jika bulan terbenam selepas matahari terbenam di Makkah, maka hari yang bermula ketika matahari terbenam tersebut adalah hari pertama bulan Saudi, peraturan yang sama juga bagi Malaysia, Indonesia, dan yang lain (kecuali tempat rukyah dijalankan).

Sejak 1423 H (16 Mac 2002), peraturan telah dijelaskan sedikit yang memerlukan gabungan geosentrik matahari dan bulan untuk berlaku sebelum matahari terbenam, sebagai tambahan untuk memerlukan bulan terbenam berlaku selepas matahari terbenam di Makkah. Ini memastikan yang bulan telah berlalu melepasi matahari ketika senja, walaupun langit masih terlalu terang sebaik sebelum betul-betul kelihatan anak bulan. Secara tegasnya, kalendar Umm al-Qura digunakan untuk kegunaan awam sahaja. Pembuatnya menyedari yang untuk dapat benar-benar mencerap hilal buat kali pertamanya boleh berlaku dua hari selepas apa yang dikira dalam kalendar Umm al-Qura.

Sejak 1419 H (1998/99) beberapa pegawai jawatan kuasa pencerap hilal telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menentukan rukyah anak bulan bagi permulaan bulan. Tidak kurang juga, pegawai agama Arab Saudi turut menerima saksi pencerapan oleh sesiapa yang kurang berpengalaman lalu mengumumkan yang hilal dapat dilihat walaupun pihak pegawai tidak dapat melihatnya. Kebanyakan kesnya, pencerapan tersebut amat sukar dan terdapat yang salah lihat.

Bulan terbenam terkemudian daripada matahari bagi negara yang di barat, maka negara Muslim di sana sering menyambut hari perayaan sehari awal berbanding negara Muslim di timur.

Terdapat pelbagai kalendar Islam yang digelar kalendar Islam tabular yang bulannya dikira melalui kaedah hisab berbanding rukyah atau pengiraan falak. Ia mempunyai kitaran setiap 30 tahun dengan 11 tahun lompat dengan 355 hari dan 19 tahun dengan 354 hari. Bagi jangka masa panjang, ia tepat kepada satu hari dalam 2500 tahun. Ia juga menyisihkan 1 atau 2 hari bagi jangka pendek.

Microsoft menggunakan "algoritma Kuwaiti" untuk menukar kalendar Gregori kepada kalendar Islam. Ia didakwa menggunakan analisis statistik data bersejarah dari Kuwait tetapi sebenarnya menggunakan taburan kalendar Islam tabular.

Pengharaman mengubah bilangan bulan

Pada tahun kesembilan Hijrah, Allah berfirman akan pengharaman mengubah pengharaman bulan seperti tertera dalam al-Quran dalam Surah At-Taubah:36-37

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."

"Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang kafir."

Pengharaman ini turut diulang baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam khutbah terakhir baginda di Arafah iaitu ketika berlangsungnya Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah 10H di Makkah (perenggan ini sering dibuang daripada khutbah oleh penyunting moden kerana dianggap tidak penting):

Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkan-rendahkan apa yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah s.w.t. adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban.

Terdapat tiga bulan suci (atau bulan haram) berturut-turut yang dinyatakan oleh baginda iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram lantas mengelakkan pertambahan sebarang bulan sebelum Muharram. Bulan suci yang tunggal lain ialah Rejab. Bulan-bulan ini dianggap suci dalam kalendar Islam baru dan juga kalendar ketika zaman jahiliyah Makkah yang dari itu ia diterbitkan dengan membuang bulan-bulan yang tidak perlu atau ditambah-tambah pada penghujung 10 H. Turutan bulan yang ditambah-tambah, sebelum dibuang, tidaklah diketahui.

Nama bulan Islam

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

1. Muharam al-Haram (dipendekkan kepada Muharram )

Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.

2. Safar

Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.

3. Rabiulawal

Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.

4. Rabiulakhir

Bulan kedua musim bunga.

5. Jamadilawal

Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.

6. Jamadilakhir

Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.

7. Rejab

Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.

8. Syaaban

Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.

9. Ramadan

Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.

10. Syawal

Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.

11. Zulkaedah

Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.

12. Zulhijah

Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.

Sumber: http://www.smkevii.edu.my/

Tiada ulasan: