Perkara-perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa itu ialah:
1. Meninggalkan adab-adab puasa.
Meninggalkan adab-adab yang dianjurkan dalam ibadat puasa itu bererti melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dihindari untuk mencapai kesempurnaan dalam ibadat tersebut.
Adab-adab puasa itu termasuklah mengerjakan perkara-perkara yang sunat dikerjakan ketika berpuasa selain meninggalkan perkara-perkara yang dituntut supaya ditinggalkan. Perkara-perkara yang sunat dilakukan oleh orang yang berpuasa itu umpamanya ialah menyegerakan berbuka puasa. Menyegerakan berbuka puasa terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang Maghrib adalah sunat, kerana ia merupakan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sebagai contoh lagi bagi perkara-perkara yang disunatkan itu ialah melambatkan waktu bersahur. Kadar waktu yang disunatkan untuk bersahur ialah ketika hampir waktu fajar, iaitu tempoh masanya kira-kira dalam kadar membaca lima puluh atau enam puluh ayat al-Qur’an sebelum terbit fajar.
Daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallambersabda:
Maksudnya: “Umatku sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur.”
(Hadits riwayat Ahmad)
Meninggalkan perkara-perkara yang disunatkan sudah tentu kurang menepati apa yang telah dikehendaki oleh syara‘.
Begitu juga makruh melakukan perbuatan-perbuatan yang dituntut oleh agama untuk meninggalkannya walaupun pada dasarnya perbuatan-perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa. Perbuatan yang dimaksudkan itu seperti tidak memelihara anggota tubuh badan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong, berangan-angan yang terlalu panjang dan sebagainya. Meninggalkan perkara-perkara maksiat adalah lebih-lebih lagi dituntut seperti mengeluarkan kata-kata yang ditegah atau haram umpamanya mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah (berdebat) kerana perkelahian dan bersumpah bohong .
Walaupun meninggalkan perkara-perkara di atas ketika mengerjakan ibadat puasa merupakan perkara sunat, hal ini tidak mengubah kedudukan asalnya sebagai perkara-perkara haram yang wajib dijauhi. Dalam makna yang lain, apabila seseorang menjauhkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara di atas, dia akan memperolehi dua pahala; pahala wajib kerana memelihara anggota tubuh-badannya daripada perkara yang haram dan pahala sunat kerana meninggalkan perkara tersebut semasa mengerjakan puasa..
Sebaliknya pula, jika orang yang berpuasa itu tidak memelihara lidahnya daripada perkara-perkara yang keji dan terlarang seperti berdusta atau mengumpat, dia mendapat dosa kerana melakukan perkara yang haram dan dia juga telah menyalahi tuntutan perkara sunat kerana tidak menjaga dirinya daripada perkara-perkara di atas ketika berpuasa.
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang batil (dusta) dan (sebaliknya) melakukannya (pula) maka Allah tidak menghendaki (memerlukan) untuk dia meninggalkan makanan dan minumannya.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadits yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sebenar-benarnya ialah menahan diri daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata yang keji.”
(Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
2. Mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Ketika mengerjakan ibadat puasa, menjaga rongga-rongga anggota badan seperti lubang mulut, telinga, hidung, dubur dan sebagainya daripada dimasuki oleh benda-benda yang membatalkan puasa adalah wajib. Oleh kerana itu, mendedahkan rongga-rongga tersebut kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa adalah makruh dan perlu dielakkan.
Antara perbuatan-perbuatan yang boleh mendedahkan rongga-rongga anggota badan kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah mubalaghah atau berlebih-lebihan semasa berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung, menyelam dalam air, mengunyah dan juga merasa makanan dengan lidah.
i. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung ketika berwudhu’ asalnya sunat dilakukan hatta ketika mengerjakan ibadat puasa. Bagaimanapun, berlebih-lebihan dalam perkara tersebut ketika berpuasa adalah makruh. Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu mengumur-ngumurkann ya sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam. Manakala berlebih-lebihan semasa memasukkan air ke lubang hidung itu bererti menyedut air dengan nafas hingga sampai ke pangkal hidung (khaisyum).
‘Ashim bin Laqith bin Shaburah Radhiallahu ‘anhu daripada bapanya telah berkata, “Wahai Rasulullah! Terangkan kepadaku tentang hal wudhu”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sempurnakanlah wudhu’ (iaitu dengan menyampaikan air ke seluruh anggota yang wajib dikenakan air wudhu’), bukalah celah-celah jari-jemarimu, dan bersungguh-sungguhl ah memasukkan air ke dalam lubang hidung kecuali jika kamu sedang berpuasa.”
(Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Apabila air masuk melalui mulut atau lubang hidung melewati batas yang dibenarkan, iaitu air tersebut masuk ke bahagian had batin mulut (tempat makhraj huruf hamzah (ء) atau ha marbuthah (هـ)) atau melebihi pangkal hidung disebabkan mubalaghah ketika berkumur-kumur atau memasukkan air ke lubang hidung, mengikut pendapat yang ashah (lebih tepat) dalam mazhab asy-Syafi‘i, akan membatalkan puasa walaupun perbuatan tersebut dilakukan dalam perkara-perkara yang dituntut agama seperti wudhu’ dalam bilangan yang wajib ataupun sunat. Jika tidak dilakukan secara berlebih-lebihan puasa tidak menjadi batal asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dengan senghaja.
Jika air masuk kerana perkara-perkara yang tidak dituntut agama seperti mengambil air wudhu’ lebih daripada bilangan tiga kali, atau semata-mata untuk membasahkan dan menyejukkan mulut, maka puasa menjadi batal, tidak kira sama ada ia dilakukan secara berlebih-lebihan atau sebaliknya.
ii. Menyelam dalam air akan menyebabkan puasa menjadi batal jika air memasuki rongga-rongga anggota tubuh-badan yang perlu dijaga. Oleh sebab itu, perbuatan tersebut adalah makruh dilakukan sekalipun dalam perkara-perkara yang dituntut seperti mandi wajib atau mandi-mandi sunat.
Jika air masuk dengan tidak senghaja ketika seseorang itu mandi tanpa menyelam dalam air, puasa tidak akan menjadi batal.
iii. Makruh merasa makanan dengan lidah kerana ia boleh menyebabkan makanan tertelan masuk ke dalam perut. Perbuatan itu juga boleh membuka selera makan bagi orang yang berpuasa itu, dan ini boleh membawa kemungkinan yang dia tidak mampu menahan dirinya untuk terus berpuasa.
Bagaimanapun, tidaklah makruh bagi orang yang sedang berpuasa untuk merasa makanan yang dimasaknya jika terdapat keperluan untuk merasa dan memperbaiki makanan yang dimasaknya itu.
Begitu juga makruh mengunyah makanan, kerana di samping sebab-sebab di atas, ia boleh menyebabkan air liur berkumpul dan menjadi banyak. Menurut pendapat jumhur ulama’, air liur yang mempunyai rasa atau bau makanan itu tidak membatalkan puasa, walau bagaimanapun apabila ditelan hukumnya adalah makruh.
Makanan yang dikunyah itu juga boleh menyebabkan orang yang berpuasa merasa dahaga. Di samping itu, bau mulut kesan mengerjakan ibadat puasa yang sepatutnya dijaga boleh menjadi hilang.
Dalam sebuah hadits mauquf, Ummu Habibah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Orang yang berpuasa tidak wajar mengunyah makanan.”
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
Bagaimanapun, tidak makruh mengunyahkan makanan untuk dimakan oleh anak kecil jika tidak dapat dielakkan daripada melakukannya, seperti kerana ketiadaan orang lain ataupun tiada cara lain selain daripada mengunyahkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan