Dua kalimat selalu berada di bibir segolongan orang Melayu, seolah itu sahaja perkataan diguna Allah untuk melarang sesuatu perbuatan. Sementara yang lain akan mencari kalimat-kalimat tersebut pada ayat-ayat, dan jika tidak ditemui maka perbuatan yang ingin dilakukan akan terus dilakukan. Itu mungkin kerana tidak menyedari perkataan-perkataan lain seperti pelanggaran, sumbang, atau kejahatan juga membawa larangan dengan pemberatan yang sama, atau lebih.
Kalimat-kalimat yang dimaksudkan ialah dosa dan haram. Mereka selalu dibebelkan hingga terdapat orang atau anak-anak berkata asyik dosa saja atau asyik haram saja untuk menggambarkan kehidupan yang disempitkan dengannya. Oleh itu, dosa dan haram yang dipercayai golongan tersebut disyaki ada mengandungi selain daripada yang benar.
Dosa dan haram adalah berpasangan menurut petunjuk al-Qur'an. Bilangan ayat mereka banyak, dan satu daripada kalimat tersebut diterjemah daripada kata asal yang berlainan pula. Demikian itu adalah lazim kerana bahasa asal Kitab didapati kaya dalam perbendaharaan kata.
Perbincangan mengenai dua kalimat tersebut bermula dengan dosa. Ayat-ayat yang mengandunginya adalah jelas, jenis muhkamat, untuk menjadi mudah difahamkan serta diikuti. Ayat pertama diutarakan di sini berbunyi,
"Hanyalah benda-benda ini yang Dia mengharamkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan, dan tidak menderhakai, maka tidaklah berdosa kepadanya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:173)
Mesej yang sama didapati diulang lagi, di dalam ayat 5:3 dan 16:115. Itu menunjukkan larangan menjadi berat, walaupun terdapat keringanan di dalamnya. Justeru benda-benda yang berdosa apabila dimakan ialah:
bangkai
darah
daging babi, dan
apa-apa yang disucikan kepada selain Allah.
Antara mereka, babi dipilih untuk dilanjutkan perbincangan, kerana telah mengejutkan dunia dengan suatu penyakit daripadanya seminggu lalu. Berbilion manusia memakannya dengan memikirkan ia tidak mendatangkan keburukan, walaupun kitab-kitab agama utama di dunia melarangnya, termasuk kitab Bible. Sedikit masa dahulu haiwan tersebut menggemparkan dengan serangan JE , hari ini Swine Flu, dan esok, entah apa pulak, tapi yang pasti manusia akan dibiarkan senang dalam kelampauan batas mereka.
Dosa-dosa lain yang dilakukan oleh manusia, seperti disebut di dalam ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan dan kata akar yang sama, disenaraikan di bawah dengan ayat-ayatnya diringkaskan:
menukar kandungan wasiat orang lain (2:181)
makan harta sesama sendiri dengan cara palsu (2:188)
tidak takut kepada Allah (2:206)
berdegil dalam ketidakpercayaan (2:276)
mengkhianati diri sendiri (4:107)
menyembunyikan kesaksian Allah (5:106)
berdusta (24:11)
menyeru tuhan lain bersama Allah, membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, dan berzina (25:68)
menyamar (26:222)
sebahagian sangkaan adalah dosa. (49:12)
menghalang kebaikan, melampaui batas (68:12) dan,
mendustakan Hari Pengadilan (83:12)
Daripada akar lain pula, bilangan contoh perbuatan dosa yang terdapat di dalam ayat-ayatnya didapati lebih sedikit daripada yang pertama. Sebutan contoh dimulakan dengan ayat-ayat berikut:
"Dan apabila orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, 'Salamun alaikum (Kesejahteraan ke atas kamu).' Pemelihara kamu menuliskan (menetapkan) untuk diri-Nya pengasihan, bahawa sesiapa antara kamu membuat kejahatan dalam kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih.
Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat, supaya jalan orang-orang yang berdosa menjadi nyata." (6:54-55)
Kata kunci yang dipilih ialah Salamun alaikum, kejahatan, dan jalan orang berdosa. Sekiranya diterima pendapat yang mengatakan kata-kata kunci itu berhubungan antara satu sama lain maka memberi salam, jika tidak diamalkan, menjadi suatu tanda bagi kejahatan dan dosa. Ayat terakhir menyatakan bahawa ayat-ayat adalah jelas dan nyata, atau bermaksud tidak memerlukan lagi sebarang penjelasan. Maka ia boleh dikatakan dosa dan dimasukkan ke dalam senarai kedua seperti di bawah:
tidak memberi salam (6:54-55)
Dosa-dosa lain yang disebut di dalam ayat-ayat mengandungi kata yang sama didapati agak banyak. Mereka disenaraikan dalam senarai kedua, dan seperti senarai lain, ia disusun menurut kronologi ayat, seperti berikut:
membuat tipu daya terhadap ayat-ayat Allah (6:123)
memperdayakan ayat-ayat Allah (6:124)
mendustakan ayat-ayat Allah, dan menyombongkan diri terhadapnya (7:40)
membenci ayat-ayat-Nya (8:8)
tidak percaya setelah keimanan kamu (9:66)
mengada-adakan dusta terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya (10:17)
mengada-adakan dalam agama (11:35)
berpaling daripada ayat-ayat-Nya (11:52)
membuat kezaliman mengikuti kesenangan yang mereka diberi untuk bersukaria (11:116)
memperolok-olokkan rasul dan tidak mempercayainya (15:11-13).
mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan (25:30)
tidak mempercayai setelah ayat-ayat dibacakan (26:199)
tidak membuat kerja-kerja kebaikan (32:12)
diperingatkan dengan ayat-ayat Pemelihara kemudian berpaling daripadanya (32:22)
menyombongkan diri setelah ayat-ayat dibacakan, kerana tidak percaya (45:31) dan,
mendustakan Jahanam, iaitu seperti dijelaskan Allah (55:43).
Kebanyakan daripada dosa di atas terbit daripada sikap negatif terhadap ayat-ayat Allah. Dicelahnya pula terdapat dosa akibat mengada-adakan sesuatu dalam agama, misalan, mengada-adakan hukum, yang tidak diizinkan Allah.
Dosa yang nyata
Daripada grup yang pertama tadi (dan tidak disebut di dalam yang kedua) terdapat satu kategori dosa, dipanggil dosa yang nyata. Senarai perbuatannya tidak panjang, seperti di bawah ini:
mengambil balik, dengan cara umpat, apa yang telah diberi kepada isteri semasa bercerai (4:20)
mengada-adakan dusta terhadap Allah (4:50)
membalingkan pelanggaran atau dosa yang dibuat kepada orang yang tidak bersalah (4:112) dan,
menyakiti orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, tanpa apa yang mereka mengusahakan (33:58)
Ayat atau dosa ketiga yang dicatat di atas menyamakan dosa dengan pelanggaran, iaitu satu lagi perkataan yang diguna di dalam al-Qur'an untuk menyatakan larangan. Beberapa contoh pelanggaran adalah:
melanggar tanda-tanda Allah, bulan-bulan haram, kegiatan dalam Haji termasuk larangan memburu binatang buruan (5:2)
melanggar perjanjian dibuat sesama sendiri (8:56)
melanggar perjanjian Allah (13:20), perjanjian Allah ditepati (16:91)
melanggar sumpah-sumpah yang Allah dijadikan penjamin (16:91)
Dan yang terakhir ialah beberapa pelanggaran yang menyebabkan kaum Nuh ditenggelamkan. Pelanggaran-pelanggaran tersebut adalah:
menentang Nuh, dan mengikuti orang berharta dan anak-anak yang merugikan
membuat tipu daya dengan tipu daya yang besar, dan
mentaati tuhan-tuhan lain, atau idola-idola bernama Wadd, Suwaa, Yaghut, Yakuq, dan Nasr (71:21-25).
Mungkin nama-nama itu merupakan nama imam-imam mereka yang ditaati, disanjung, dan dipuja. Mungkin sahaja!
Dosa besar
Satu lagi kategori bagi dosa ialah dosa besar. Ayat-ayat yang menyebutnya tidak banyak, antaranya mengandungi perbuatan-perbuatan:
minum arak dan berjudi (2:219)
menyekutukan Allah (4:48)
Minum arak dan berjudi sama berat dengan menyekutukan Allah. Perbuatan menyekutukan Allah tidak disalahfahamkan dengan menghadkan kepada menyembah selain Allah sahaja, bahkan turut bermaksud mengikuti petunjuk selain daripada petunju-Nya jua. Sila rujuk Al-Qur'an dan Sekutu Allah dan Tuhan Lain. Terima kasih.
Dosa besar disebut bersama perbuatan sumbang, untuk menunjukkan pertalian rapat. Ayat yang menyebutnya berbunyi,
"Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan kesumbangan, kecuali kesalahan kecil - sesungguhnya Pemelihara kamu luas dalam keampunan-Nya. Dia sangat mengetahui mengenai kamu apabila Dia menumbuhkan kamu dari bumi, dan apabila kamu belum dilahirkan di dalam rahim ibu-ibu kamu; maka janganlah menganggap diri kamu suci; Dia sangat mengetahui siapa yang bertakwa." (53:32)
Daripada al-Qur'an didapati perbuatan-perbuatan yang dikatakan sumbang berkait dengan keinginan seks yang bersalah, misalan empat di bawah ini:
lesbian (4:15),
homosekual (4:16); homoseksual kaum Lut (7:80, 27:54 dan 29:28),
mengahwini perempuan-perempuan yang bapa-bapa telah mengahwini (4:22) dan
zina (17:32) - tadi ia dikatakan berdosa (25:68).
Sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, adalah haram hukumnya, bersama beberapa perbuatan lain yang ditentukan di dalam ayat-ayat bermaksud,
"Katakanlah, 'Marilah, aku akan membacakan apa yang Pemelihara kamu mengharamkan kamu: bahawa kamu tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya, dan berbuat baik kepada ibu bapa, dan tidak membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan; Kami memberi rezeki kepada kamu, dan kepada mereka; dan bahawa kamu tidak mendekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan bahawa kamu tidak membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, kecuali dengan patut. Itulah yang Dia mewasiatkan kamu dengannya, supaya kamu faham." (6:151)
"Katakanlah, 'Pemeliharaku hanya mengharamkan kesumbangan yang nampak dan yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, dan keangkuhan tanpa patut, dan kamu menyekutukan Allah dengan apa yang Dia tidak menurunkan kuasa, dan kamu mengatakan mengenai Allah apa yang kamu tidak tahu.'" (7:33)
Dosa besar terakhir di sini dipetik daripada ayat yang mengandungi kalimat lain, iaitu kaba'ir. Kalimat tersebut turut diterjemah kepada dosa besar. Amalannya disebut di dalam dua ayat sebelum. Kesemua ayat berbunyi,
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan cara palsu, kecuali dalam perdagangan, dengan persetujuan bersama antara kamu, dan jangan membunuh diri-diri kamu (sesama sendiri). Sesungguhnya Allah adalah pengasih kepada kamu.
Tetapi sesiapa berbuat yang demikian itu dalam permusuhan, dan kezaliman, dialah yang Kami pasti akan memanggangkan di Api, dan itu bagi Allah adalah mudah.
Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang kamu dilarang daripadanya, Kami akan melepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan Kami memasukkan kamu melalui pintu yang mulia." (4:29-31)
Daripada ayat-ayat itu, perbuatan-perbuatan yang disifatkan juga sebagai dosa besar adalah:
makan harta sesama sendiri dengan cara palsu, dan
membunuh sesama sendiri
Di situ juga dosa besar dikaitkan dengan perbuatan jahat. Lantaran, al-Qur'an diselak lagi untuk mencari contoh-contoh kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Hasilnya diringkaskan begini:
menulis kitab dan mengatakan ia daripada Allah, dan berkata neraka adalah tempat sementara (2:79-81)
homoseksual kaum Lut (11:78); tadi disebut sebagai sumbang
menyekutukan Allah, menyembah selain daripada-Nya, dan mengharamkan selain daripada perintah-Nya (16:34-35)
menyeru tuhan selain Allah, membunuh orang, dan berzina (25:68-70); tadi zina dihukum berdosa dan sumbang
zalim (39:48 dan 51) dan,
tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan Saat (45:31-33)
Sedikit mengenai zina, yang dikategorikan berdosa, sumbang dan jahat. Di sini ia dicangkungkan bersama kejahatan menyeru tuhan selain Allah, dan membunuh orang. Itu menjadikannya amat berat.
Hati berdosa
Hati pun boleh berdosa menurut sebuah ayat. Ayat lain pula menyatakan bahawa orang yang berdosa hanya mengusahakan bagi dirinya sendiri, dan dia, yang berdosa, tidak seharusnya ditaati oleh orang lain. Firman-firman-Nya yang bercangkuk adalah:
"Dan jika kamu dalam perjalanan, dan kamu tidak mendapati seorang penulis (bagi kontrak secara hutang), maka adakanlah satu cagaran yang dipegang. Tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, hendaklah orang yang dipercayai menunaikan amanatnya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, Pemeliharanya. Dan jangan menyembunyikan kesaksian, dan sesiapa menyembunyikannya, maka hatinya berdosa; dan Allah mengetahui apa yang kamu buat. (2:283)
"Dan sesiapa mengusahakan dosa, hanyalah dia mengusahakan bagi dirinya sendiri; dan Allah adalah Mengetahui, Bijaksana." (4:111)
"Maka bersabarlah kamu atas putusan Pemelihara kamu, dan janganlah mentaati seorang pun antara mereka, yang berdosa atau yang tidak percaya." (76:24)
Dan sebuah firman berupa nasihat berbunyi, "Tinggalkanlah dosa yang nampak, dan yang tersembunyi; sesungguhnya orang-orang yang mengusahakan dosa akan dibalas dengan apa yang mereka memperolehkan" (6:120). Ia turut menandakan sudah sampai di hujung perbincangan mengenai dosa di sini.
Haram
Seiring sejalan dengan dosa ialah haram, yang selalu disebut, tetapi kebanyakannya disebut dengan tanpa petunjuk daripada Allah. Lalu terdapat yang tidak haram dijadikan haram, atau yang baik dijadikan buruk, untuk menunjukkan ketiadaan sebab yang munasabah. Sebab yang diberi-Nya pula, atas pengharaman sesuatu, ialah kerana sesuatu itu buruk. Firman-Nya,
"Orang-orang yang mengikuti rasul, Nabi yang ummiy, yang mereka mendapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada kemungkaran, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang buruk-buruk, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang percaya kepadanya, dan meneguhkannya, dan menolongnya, dan mengikuti cahaya yang diturunkan bersamanya; merekalah orang-orang yang beruntung." (7:157)
Senarai segala yang dihukum haram, dalam agama Allah, didapati tidak begitu panjang. Ia dimulakan di sini dengan menyebut ayat yang menyentuh hal makanan. Ayat tersebut membawa larangan memakan empat benda, dan ia berbunyi,
"Hanyalah benda-benda ini yang Dia mengharamkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan, dan tidak menderhakai, maka tidaklah berdosa kepadanya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:173)
Mesej yang sama dapat dibaca seterusnya daripada dua ayat lain, 5:3 dan 16:115, supaya senang diingati. Oleh itu, benda-benda yang haram dimakan adalah hanya (dicatat lagi):
bangkai
darah
daging babi
apa-apa yang disucikan kepada selain Allah
Kecuali terpaksa. Untuk menjadi sejelas-jelasnya, Allah merakamkan di dalam al-Qur'an sebuah sabda Nabi (yang diimani dewasa ini) atas perkara yang sama, pada ayat 6:145, bermaksud,
"Aku (Muhammad) tidak mendapati, dalam apa yang diwahyukan kepadaku, tiada yang diharamkan untuk dimakan kepada orang yang memakan daripada itu, kecuali ia bangkai, atau darah yang tercurah, atau daging babi - itu adalah kotoran - atau kefasiqan yang disucikan kepada selain daripada Allah; namun begitu, sesiapa yang terpaksa dengan tidak menginginkan, dan tidak juga menderhakai, sesungguhnya Pemelihara kamu Pengampun, Pengasih."
Pun begitu, menurut Allah, ramai didapati mencabuli hukum makanan-Nya, untuk menyesatkan orang lain dengan keinginan mereka, tanpa sebarang pengetahuan (daripada Kitab al-Qur'an). Firman-Nya lagi,
"Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak makan daripada apa yang padanya diingatkan nama Allah, padahal Dia telah menjelaskan kepada kamu apa yang Dia mengharamkan kamu, kecuali kamu terpaksa padanya? Tetapi, sesungguhnya ramai orang menyesatkan dengan keinginan mereka tanpa sebarang pengetahuan; Pemelihara kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang mencabul." (6:119)
Selain makanan terdapat beberapa lagi perbuatan yang disifatkan sebagai haram. Antara ayat-ayat yang menunjuk kepada perbuatan itu disenaraikan di sini, juga dengan ringkas sahaja, seperti berikut:
riba (2:275),
haram dikahwini atas seseorang - ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara, anak saudara, ibu yang menyusukan, saudara yang sesusuan, ibu isteri, anak tiri, isteri anak, dan dua perempuan adik-beradik (4:23)
binatang buruan darat semasa Haji (5:96),
menyekutukan sesuatu dengan-Nya, tidak berbuat baik kepada ibu bapa, membunuh anak kerana kemiskinan, mendekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan tidak membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, kecuali dengan patut (6:151), dan
kesumbangan yang nampak dan yang tersembunyi, perbuatan dosa, keangkuhan tanpa patut, menyekutukan Allah dengan apa yang Dia tidak menurunkan kuasa, dan mengatakan mengenai Allah apa yang kamu tidak tahu." (7:33),
mengatakan halal haram sewenang-wenangnya, adalah juga berdusta terhadap Allah (16:116),
membunuh orang kecuali dengan patut (17:33 dan 68), dan
penzina haram dikahwini orang mukmin (24:3).
Tidak ketinggalan disebut di dalam al-Qur'an ialah suatu nasihat menyentuh pengharaman benda-benda baik yang dihalalkan. Nasihat tersebut bermaksud,
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengharamkan benda-benda yang baik yang Allah menghalalkan bagi kamu, dan jangan mencabul; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul." (5:87)
Maka orang-orang yang percaya kepada-Nya tidak mencabul dengan mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya. Sementara orang-orang yang mengharamkan apa yang tidak diharamkan disamakan pula dengan perbuatan mendustakan ayat-ayat-Nya, tidak mempercayai akhirat, dan menyetarakan Pemelihara mereka (6:150). Mereka juga dikatakan orang-orang yang mempersekutukan Allah, dan jahat (6:148 dan 16:35).
Selain makanan yang segolongan manusia sewenang-wenang menetapkan hukum halal-haram, terdapat dua lagi keperluan manusia yang ke atasnya dilakukan dengan serupa. Mereka adalah perhiasan dan rezeki. Bebelan halal dan haram mengenai mereka juga kerap didengar, mungkin kerana tidak menyedari tentang kewujudan ayat-ayat yang melarang sesuatu perhiasan atau rezeki diharamkan dengan sesuka hati, berbunyi,
"Katakanlah, 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang Dia mengeluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan benda-benda yang baik daripada rezeki-Nya?'" (7:32)
"Katakanlah, 'Adakah kamu memikirkan rezeki yang Allah menurunkan untuk kamu, dan kamu membuat sebahagiannya haram, dan sebahagiannya halal?' Katakanlah, 'Adakah Allah memberi izin kepada kamu, atau kamu mengada-adakan terhadap Allah?'" (10:59)
Izin daripada Allah diperlukan untuk mengharamkan sesuatu. Untuk mendapatkannya pula, al-Qur'an harus dirujuk, bukan kitab lain, supaya tidak terjerumus ke dalam lopak mengada-adakan sesuatu terhadap Allah, kerana Islam adalah agama-Nya. Jika itu dibuat maka bibir-bibir yang pantas mengeluarkan kata dosa dan haram dapat ditutup, lalu pendengaran masyarakat tidak lagi dicemari oleh suara orang jahat yang keluar melaluinya.
Sumber: http://www.e-bacaan.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan