Mandi bunga bukanlah suatu yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafussoleh terdahulu. Ia berasal daripada kepercayaan lama yang dipegang oleh orang Melayu, kononnya untuk membuang sial dan menaikkan seri wajah.
Melakukan mandi bunga atas dasar para pakar perubatan telah mengesahkan kebaikan dan khasiatnya kepada tubuh badan, bukanlah satu kesalahan. Yang salah ialah berjumpa bomoh atau pawang dan meminta dimandikan dengan membaca mentera tertentu untuk menaikkan seri wajah. Semua mentera yang dibaca oleh para bomoh itu kebanyakannya ada unsur syirik dan khurafat. Rasulullah s.a.w melarang umatnya berjumpa bomoh dan mempercayai kata-katanya. Oleh itu hindarilah dosa yang membawa kepada syirik kerana ia merupakan salah satu dosa yang tidak diampunkan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau bomoh, lalu percaya kepada apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhamad s.a.w." – Hadis sahih riwayat Abu Daud dan Ashab al-Sunan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi bomoh, kemudian bertanya kepadanya sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari." – Riwayat Muslim.
Tidak ada ayat tertentu yang boleh dibaca untuk mempercepatkan jodoh. Al-Quran mempunyai misi yang lebih besar daripada itu, iaitu sebagai petunjuk kepada sekalian alam dan menyelamatkan umat manusia daripada Neraka. Ia tidak akan membincangkan hal remeh-temeh seperti mencari jodoh atau menyerikan wajah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan