Jumaat, Mei 29, 2009

Mendirikan Solat dalam Gereja

Adakalanya timbul soalan bagi seseorang yang melancong atau dalam sesuatu urusan di luar negara apabila mereka tidak menemui masjid atau tempat yang sesuai untuk mendirikan solat-solat fardhu, maka bolehkah solat tersebut dilaksanakan di Gereja-gereja kaum Kristian? Jawapannya ialah - Dibolehkan bagi umat Islam melaksanakan solat-solat mereka di gereja-gereja kaum Kristian dengan syarat gereja tersebut di dalamnya tidak mengandungi kubur-kubur dan/atau patung-patung dan/atau gambar-gambar makhluk hidup, tidak kira samada gambar tersebut sempurna atau separa sempurna. Hukum ketetapan yang sama adalah juga bagi mana-mana rumah peribadatan kaum lain seperti Biara, Kuil dan sebagainya.

Dalil yang membolehkan rumah peribadatan kaum bukan Islam dijadikan tempat umat Islam bersolat ialah hadith berikut: Muhammad ibnu Abdullah ibnu Iyadh berkata, Bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah menyuruh Usman ibnu Abil Ash radiallahu-anhu membangunkan masjid di Taif di mana di sana pernah ada berhala-berhala mereka (kaum musyrik).

Dilarang bagi umat Islam bersolat di rumah-rumah peribadatan yang mengandungi kubur-kubur di dalamnya berdasarkan perintah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut: Jundab bin Abdullah radiallahu-anhu berkata, aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda kira-kira 5 hari sebelum kewafatannya: Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu biasa menjadikan kubur Nabi-nabi mereka serta kubur orang-orang salih di kalangan mereka sebagai tempat solat. Ingatlah ! Jangan sekali-kali kamu menjadikan kubur-kubur sebagai tempat solat, sesungguhnya aku melarang kamu dari berbuat demikian.

Dilarang bagi umat Islam bersolat di rumah-rumah peribadatan yang mengandungi patung-patung di dalamnya samada patung tersebut adalah sempurna atau separa sempurna berdasarkan kepada perintah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam di ketika Pembukaan Kota Mekah (Fath-ul-Makkah) di mana beliau menyuruh agar semua patung-patung yang berada di dalam Kaabah dan di sekitar Masjidil Haram dikeluarkan dan dihancurkan terlebih dahulu sebelum umat Islam seluruhnya dibolehkan untuk solat dan tawaf di dalamnya. Pernah sekali apabila Umar al-Khattab melawat negeri Syam lalu beliau disambut oleh seorang tokoh Kristian ketika itu seraya berkata: Saya harap Tuan memuliakan saya dengan memperkenankan undangan saya (ke gereja ini). Umar menjawab: Kami tidak boleh masuk ke dalam gereja Tuan kerana di dalamnya ada berhala-berhala (patung-patung).

Dilarang bagi umat Islam bersolat di rumah-rumah peribadatan yang mengandungi gambar-gambar makhluk ber-roh di dalamnya, samada gambar makhluk tersebut lengkap atau separa lengkap kerana mengingatkan kepada perintah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang menyuruh agar gambar-gambar yang berada di dalam Kaabah bersama patung-patung lainnya di keluarkan terlebih dahulu sebelum beliau solat sunat dua rakaat di dalamnya, di kala peristiwa Fath-ul-Makkah. Sahabat terkenal, Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berpendapat adalah makruh bersolat di dalam gereja yang di dalamnya terdapat gambar-gambar. Amirul Mukminin Umar al-Khattab radiallahu-anhu pernah berkata: Sesungguhnya kami dahulu tidak memasuki gereja yang ada gambar-gambar di dalamnya.

Dari keterangan-keterangan di atas, para fuqaha membolehkan seseorang itu melaksanakan solat-solat fardhu mereka di dalam rumah-rumah peribadatan kaum lain asalkan ianya bersih dari 3 perkara iaitu tiada kubur-kubur di dalamnya, tiada patung-patung di dalamnya, tiada gambar-gambar makhluk bernyawa di dalamnya. Ketiga-tiga perkara di atas perlu dijauhi kerana ia mempunyai unsur-unsur syirik yang mencemar nilai-nilai tauhid agama Islam. Selain itu perkara-perkara di atas juga perlu dijauhi kerana kesyumulan agama Islam ini tidaklah sepatutnya dicampuri dengan bayangan-bayangan agama lain.

Sebenarnya seseorang itu tidak perlu memaksa dirinya untuk memasuki gereja-gereja atau apajua rumah peribadatan lain untuk mendirikan solat-solatnya. Seseorang itu boleh sahaja bersolat di mana-mana asalkan bersih dan tidak menggangu atau diganggu orang. Jikalau masih tiada ruang sebaiknya untuk bersolat maka laksanalah ia secara duduk samada dalam bas atau di mana-mana tempat duduk yang ada. Kemudahan hukum-hukum Islam yang sedia ada amat patut diambil-guna jikalau seseorang itu terperangkap dalam suasana-suasana yang sedemikian. Rujuklah kembali kepada bab-bab sebelum ini dalam permasalahan solat.

Kesimpulan

1. Dibolehkan solat di dalam rumah-rumah peribadatan kaum lain apabila ia bersih dari unsur-unsur syirik dan sifat-sifat keagamaan mereka, iaitu bersih dari kubur-kubur, patung-patung dan gambar-gambar.

Tiada ulasan: