Rabu, April 08, 2009

Golongan Kafir

1. Tiada orang yang dilahirkan kafir

Kafir bermakna orang yang “menyembunyikan kebenaran” atau orang yang “menolak kebenaran.”

Bagaimana seseorang boleh menolak kebenaran ketika dia baru dilahirkan, sedangkan kebenaran belum lagi dipersembahkan kepadanya?


2. Setiap orang dilahirkan sebagai Muslim.

Berbanding dengan agama Kristian yang percaya bahawa setiap manusia dilahirkan dalam keadaan dosa, umat Islam percaya bahawa setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah – suci, muslim.

Setiap bayi itu dilahirkan sebagai seorang muslim walaupun iba bapanya non-muslim.

Sekiranya seorang kanak-kanak meninggal dunia sebelum dia mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk, dia meninggal dunia dalam keadaan suci daripada sebarang dosa. Dia meninggal dunia sebagai seorang muslim dan akan selamat daripada neraka.

RasuluLLah SAW bersabda:

"Setiap bayi yang lahir itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Kristian." (Riwayat Bukhari & Muslim)

3. Tidak semua non-muslim dianggap kafir.

Berdasarkan definisi kafir yang diberikan di atas, seseorang itu hanya dianggap kafir sekiranya dia menolak kebenaran (Islam) setelah Islam dipersembahkan kepadanya dengan betul.

Sekiranya dia belum mendapat seruan Islam yang sebenar dalam apa jua bentuk, dia tidak dianggap sebagai kafir.

4. Allah mengazab mereka yang menolak hidayah.

Firman Allah:
“Dan Barangsiapa yang menentang Rasul SETELAH diperjelaskan kepadanya hidayah (petunjuk kebenaran) dan (lalu) mengikuti jalan yang bukan jalan-jalan mukmin,
Kami biarkan dia dalam jalan yang dipilihnya dan (kelak) akan kami masukkan ke dalam
neraka – seburuk-buruk tempat tinggal.” (An-Nisaa 4:115)

5. Orang-orang kafir yang baik juga diazab?

Katakan ada 2 orang pekerja – pekerja A dan pekerja B.

Pekerja A adalah seorang yang rajin bekerja, serta berjimat-cermat dalam perbelanjaan. Dia menyimpan sebanyak RM 2000 sebulan.

Pekerja B pula seorang yang malas bekerja. Gaji yang dia dapati pula banyak dibelanjakan. Dia hanya menyimpan sebanyak RM 500 sebulan.

Setelah lebih 20 tahun bekerja, pekerja A dan pekerja B bersara. Tetapi apabila mereka memeriksa baki akaun mereka, pekerja B mempunyai baki sebanyak RM 120, 000 manakala pekerja A mempunyai baki sebanyak RM 0!

Setelah diperiksa, mereka mendapati pekerja A sebenarnya telah memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun yang salah! Segala usaha kerasnya selama 20 tahun hanya berakhir dengan sia-sia.

Dalam kehidupan ini, berbuat baik sahaja tidak cukup penting. Mempunyai kepercayaan yang benar adalah jauh lebih utama. Ia menentukan perbuatan baik kita akan mendapat ganjaran daripada Allah atau berakhir dengan sia-sia. Oleh itu, pastikan akaun anda betul!

Tiada ulasan: