MASIH ramai Muslim yang menganggap remeh pada amalan solat lima waktu sehari semalam.
Malah banyak yang bukan sahaja mengabaikannya tetapi bersikap sinis terhadap rukun Islam kedua selepas syahadah, yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang mukalaf itu.
Sama ada di kalangan pemimpin, ahli korporat, akademik, profesional, pentadbir dan pelajar yang berilmu, apa lagi golongan biasa yang sederhana dan kurang ilmu, kefarduan solat, rukun serta hukum meninggalkannya tetap sama.
Sebabnya, solat adalah amal ibadah yang pertama sekali akan dihisab apabila manusia dihidupkan kembali untuk melalui kehidupan kekal di akhirat, selepas berlaku hari kiamat.
Jika amalan solat yang diibaratkan tiang tidak ditegakkan, mana mungkin akan melekat amalan-amalan maaruf atau terdirinya komponen-komponen binaan yang lain.
Solat, sembahyang atau solah juga merupakan mukjizat yang tersurat iaitu dapat dilihat (melalui perbuatan untuk diamalkan) sebagaimana al-Quran (melalui huruf-huruf, kalimah dan mushaf untuk dibaca dan diamalkan) yang hanya diterima oleh Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT untuk seluruh manusia.
Jika al-Quran adalah mukjizat yang diwahyukan secara berperingkat-peringkat melalui perantara Jibril di bumi, tetapi solat diterima terus oleh Rasulullah daripada Allah SWT di Sidratul Muntaha semasa Mikraj ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj yang baru sahaja diraikan oleh Muslim pada setiap 27 Rejab.
Harus diingat, amalan solat lima waktu sehari semalam itu juga adalah pembeza sama ada seseorang itu Muslim atau kafir. Jadi, jangan diabaikannya..
Terlalu banyak perkataan, suruhan, ajakan, ganjaran dan peringatan mengenai solat yang tertera dalam al-Quran. Antara lain Allah SWT berfirman dalam marfhum Nya;
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al’Ankabuut: 45)
Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat (mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah solat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (An-Nissa’: 103)
Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudara mu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui. (At-Taubah: 11)
Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (At-Taubah: 18)
Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat. (An-Nur: 56)
Jadi wajarkah untuk kita mendabik dada sebagai Muslim jika rukun paling utama sebagai penganut Islam pun tidak kita laksanakan?
Itu bab melengkapkan perlaksanaan solat lima waktu sehari semalam. Bagaimana pula dengan kekhusyukan dan ketepatan waktu dalam mengerjakan ibadah tunggak keislaman itu.
Kemungkaran
“Jarang dari kita yang memberi fokus sepenuhnya dalam amalan solat yang dikerjakan. Sebab itulah bermacam kemungkaran dan masalah berlaku meskipun solat dilaksanakan,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Teknologi Significant Teknologi Sdn. Bhd., Profesor Dr. Mohamad Khazani Abdullah.
Menurut matan pensyarah sains fizik dan Timbalan Dekan Pengajian Siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, setiap sesuatu perkara yang dilakukan mestilah mempunyai fokus yang jitu.
Ini kerana katanya, tidak akan terkesan dan berjaya sesuatu amal perbuatan yang dilaksanakan jika ia dibuat secara sambil lewa.
“Setiap rukun dan syarat sebelum dan semasa mengerjakan solat ada sebab dan hikmah yang tersendiri.
“Kesan terhadap solat yang khusyuk dan memberi fokus sepenuhnya akan memberi impak besar pada fizikal, spiritual, psikologi dan kesihatan hidup seharian seseorang,” katanya.
Bagaimanapun kesedaran Muslim terhadap kepentingan dan hikmah dalam ibadah solat masih terlalu kurang, kata Dr. Mohamad Khazani.
Beliau yang juga matan Ketua Makmal Optik Telekom Malaysia dan pensyarah sains fizik di Fakulti Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata demikian ketika memperkatakan mengenai ‘Solat, anugerah hebat dari Allah’ pada seminar Keajaiban al-Quran dan sains kelolaan Masjid Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di dewan syarahan Masjid Negara baru-baru ini.
Katanya, kejayaan dan kebahagiaan adalah matlamat hidup setiap insan yang mampu dicapai oleh setiap yang normal.
“Tetapi tidak semua kejayaan dan kebahagiaan yang diraih mampu memberi kegembiraan, kepuasan dan ketenangan dalam kehidupan,” ujarnya.
Sebaliknya katanya, ramai manusia yang berjaya tetapi diselubungi ketakutan, kebimbangan, kekecewaan dan kesedihan.
Ini kerana kata Dr. Mohammad Khazani, kejayaan hanyalah matlamat manakala kebahagiaan merupakan proses melalui jalan dan hasil yang berbagai-bagai.
“Di sinilah pentingnya solat dan kekhusyukan ketika beramal bagi membentuk insan yang penyabar, berdisiplin, terfokus dan sihat yang berjaya dan bahagia,” katanya.
Menurut Dr. Mohamad Khazani lagi, kehebatan solat yang khusyuk setanding dengan tahap kelajuan cahaya yang mencapai 300,000 meter sesaat.
Jika itu dapat dicapai tambah beliau, masyarakat Islam tidak perlu mengguna kepakaran kafir untuk meraih kejayaan dan menangani permasalahan.
Sebaliknya tegas beliau, Islam dan Muslimlah yang akan menjadi sumber rujukan dan bantuan kaum kafir untuk mentadbir dan menguruskan alam semesta..
Itulah yang telah dilaku dan tunjukkan oleh Rasulullah SAW, para Sahabat serta ahli tabie silam dan pejuang moden Islam, Salahuddin Al-Ayuubi satu ketika dahulu, ujarnya. Menurutnya, tidak ada sebab untuk Islam dihina dipersenda dan menjadi Islamfobia jika seluruh Muslim melaksanakan solat dan khusyuk dalam amalannya.
Sebab itu tegas beliau, pentingnya bagi setiap Muslim kembali menjadikan solat sebahagian dari kehidupan harian di samping menyempurnakan amalan ibadah fardu lain.
Malah katanya, selagi solat lima waktu sehari semalam mengikut ketetapan diabaikan serta tidak khusyuk, jangan harap untuk menikmati kepuasan dan ketenangan dari kejayaan yang dicapai.
Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam marfhumnya:
Apakah kamu tiada mengetahui, bahwa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohonan, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak di antara manusia yang telah ditetapkan azab atasnya. Dan barang siapa yang dihinakan Allah maka tidak seorangpun yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.”
“Hai orang-orang yang beriman, ruku' lah kamu, sujud lah kamu, sembah lah Tuhan mu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. (Al-Hajj:18 dan 77)
Peliharalah semua solat (mu), dan (peliharalah) solat wusthaa [Shalat wusthaa ialah shalat yang di tengah-tengah dan yang paling utama. Ada yang berpendapat, bahwa yang dimaksud dengan solat wusthaa ialah solat Ashar. Menurut kebanyakan ahli hadis, ayat ini menekankan agar semua solat itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya]. Berdirilah untuk Allah (dalam solat mu) dengan khusyuk.
“Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solat sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka sebutlah Allah (solat lah), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. (Al-Baqarah: 238-239)
Dan perintahkanlah kepada keluarga mu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa. (Thaahaa: 132)
Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan