Rabu, Disember 30, 2009

Ashabul Kahfi

Pemuda sebagai tunggak kepada kekuatan ummah seharusnya mempunyai aqidah Islam yang teguh, kefahaman Islam yang jitu, akhlak Islam yang mantap dan semangat keislaman yang waja.

Pemuda Islam mesti menyedari tanggungjawab mereka sebagai harapan agama dan ummah iaitu;

1. Untuk mengabdikan diri kepada Allah
2. Untuk berkomitmen dengan manhaj Rabbani dan memperjuangkanya.
3. Membantu membangunkan ummah dan negara

Pemuda Islam juga harus menyedari asas-asas kekuatan mereka sebagai seorang muslim di mana tanpanya mereka tidak akan mampu merealisasikan tanggungjawab mereka itu. Asas-asas kekuatan itu ialah;

1. Iman yang mantap di dalam jiwa
2. Keikhlasan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaanNya
3. Keazaman yang kukuh, yang tidak pernah mengenal erti takut, segan dan malu.
4. Amal/kerja yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa jemu dan malas.
5. Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal kecuali menang atau syahid.

Di dalam al-Quran, Allah telah membentangkan satu kisah untuk tatapan pemuda Islam sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.

Kisah yang kita maksudkan ialah kisah; “Ashabul Kahfi”.

Kisah ashabul kahfi adalah kisah yang menonjolkan contoh pemuda yang memiliki segenap ciri Pemuda Islam yang sebenar iaitu;

1. Teguh dengan iman dan prinsip hidup sebagai seorang muslim
2. Yakin kepada diri sendiri
3. Berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran
4. Sentiasa bersemangat mengharungi liku-liku hidup
5. Mampu berhujjah mempertahankan pandangan dan prinsip hidup
6. Sanggup berkorban
7. Setiakawan dalam mengharungi cabaran bersama
8. Sentiasa menjaga keta’atan kepada Allah walau dalam suasana mana sekalipun

Kisah ashabul kahfi (yang bermaksud penghuni-penghuni gua) diceritakan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam surah al-Kahfi, bermula dari ayat 9 hingga ayat 26 (iaitu kira-kira 15 ayat). Sebab turun ayat-ayat yang menceritakan kisah dalam surah al-Kahfi ini sebagaimana yang diceritakan oleh ulama’-ulama’ tafsir ialah;

“Paderi-paderi yahudi berhasrat untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. sama ada ia benar-benar seorang Nabi atau tidak. Lalu mereka menyuruh orang-orang musyrikin supaya menguji baginda dengan bertanyakan tiga kisah yang ajaib yang berlaku pada zaman dahulu iaitu;

1. Kisah pemuda-pemuda yang bersembunyi dalam gua iaitu kisah ashabul Kahfi.
2. Kisah seorang raja adil yang mengelilingi dunia (timur dan barat) iaitulah Iskandar Zulkarnain.
3. Kisah tentang hakikat ruh.

Setelah 15 hari Rasulullah s.a.w. menunggu, maka turunlah wahyu menceritakan ketiga-tiga kisah tersebut”.

Allah memulakan penceritaan dengan membentangkan rasa takjub manusia tentang kisah ini walaupun sebenarnya mereka tidak perlu rasa takjub kerana ia datang dari kudrat Allah, bahkan di sana terdapat banyak lagi tanda-tanda kekuasaan Allah yang lebih hebat dari peristiwa ini (seperti penciptaan langit dan bumi, penciptaan nabi Adam dan sebagainya). Firman Allah;

“Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo`a: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas –menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;

1. Maksalmina
2. Tamlikha
3. Martunus
4. Bainunus atau Nainunus
5. Sarbunus
6. Dzunuanus
7. Kasyfitatanunus

Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka.

Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya;

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.

Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh.

Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung. Firman Allah;

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.

Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah. Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh menceritakan tentang mereka di dalam gua;

“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11).

Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.

“Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18)

Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja.

“Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19)

Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak. Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu;

“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah.

Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah. FirmanNya;

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah-, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya.

Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya. Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi.
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya.

Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;

“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: "Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)

Selasa, Disember 22, 2009

Asal-Usul Krismas dan Easter

Penganut Kristian telah dibiasakan menerima bahawa Krismas dan Easter adalah sebahagian daripada tradisi Kristian. Hakikatnya: Kedua-duanya bukan Kristian tetapi sebaliknya berpunca daripada kultus-kultus misteri, Saturnalia, sistem penyembahan dewi Ibu dan pemujaan dewa Matahari. Kedua-duanya bertentangan secara langsung dengan hukum-hukum Tuhan dan sistemNya.

Agama Kristian moden merayakan dua perayaan utama Krismas dan Easter. Satu pada bulan Disember dan satu lagi pada Mac-April. Alkitab tidak merayakan apa-apa perayaan agama pada bulan Disember sementara perayaan Mac-April yang diperintah Alkitab untuk dirayakan adalah Paskah. Ia jatuh pada Mac-April tetapi tidak dipanggil Easter dan tidak jatuh pada hari seperti yang ditentukan dengan perkiraan bagi Easter.

Lebih penting lagi, terdapat perayaan-perayaan lain yang diperintahkan Alkitab yang juga tidak dirayakan. Juga, Sabat yang diperintahkan oleh perintah hukum keempat tidak dipelihara tetapi sebaliknya hari Minggu dipelihara sebagai gantinya. Bagaimanakah ini terjadi? Bagaimana asal-usulnya? Adakah ia berunsurkan Alkitab dan adakah ia berciri Kristian? Jawapan-jawapannya terdapat di dalam sejarah, dan sungguh menakjubkan.

Khamis, Disember 17, 2009

Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun

Hikmah membaca doa akhir tahun Hijrah adalah kita memperingati amalan-amalan pada tahun lalu; sama ada yang amalan yang membawa kebaikan mahupun amalan yang membawa kepada dosa dan lalu meminta ampun atas kesalahan-kesalahan serta meminta perlindungan Allah swt. daripada kejahatan syaitan dan manusia

Manakala hikmah membaca doa awal tahun Hijrah pula adalah kita memperbaharui azam untuk melakukan kebaikan dan meminta kekuatan dan hidayah untuk melaksanakannya
DOA AKHIR TAHUN



Bismillahirrahmanirrahim...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.


Ya Allah, telah berlalu setahun dalam hidup kami. Sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kami nikmat-Mu yang tidak dapat kami menjangkau kehebatannya. Engkau telah memelihara kami daripada keburukan yang tidak mampu kami menolaknya. Kami telah melakukan dalam tahun tersebut perbuatan dan amalan yang Engkau Maha mengetahui baik dan buruknya.


Ya Allah, sekiranya amalan tersebut bersesuain dengan ketetapan-Mu, terimalah dan catatkannya sebagai amalan soleh kami di sisi-Mu. Dan sekiranya amalan tersebut berbaur dengan sifat riya', ujub, dan menunjuk-nunjuk atau kami lakukan perilaku dosa, kesalahan dan keinginan yang buruk, maka kami pohon pengampunan-Mu dan tutupilah segala keaiban dan kesalahan. Kurniakanlah ke atas kami kelebihan dan keluasan sifat pemurah-Mu. Itulah kemuncak permintaan dan doa kami.


Ya Allah, sesungguhnya telah datang kepada kami tahun baru setelah kami meninggalkan tahun ini sebentar nanti, kami tidak tahu apakah yang terkandung dalam pengetahuan-Mu mengenai diri kami. Kami jahil ke mana arahnya penghidupan kami di alam maya ini. Harapan kami agar Engkau membuka lembaran tahun baru ini pintu taubat yang jujur dan tulus untuk kami, yang tidak berakhir dengan kekufuran dan kesesatan. Dan Engkau kurniakan taufiq kepada kami pada tahun ini untuk melakukan amalan-amalan soleh yang Engkau redai, kehidupan yang murni yang Engkau rahmati.


Ya Allah, peliharalah anggota kami agar melakukan ketaatan kepada-Mu. Peliharalah hati kami agar dipenuhi dengan kecintaan. Lapangkan hati kami agar dapat kami mendekati-Mu seperti mana Engkau telah lapangkan hati hamba-hamba-Mu yang soleh. Jadikan kami di antara orang-orang yang menepati janji dalam menjalankan hak. Jadikan kehidupan kami sebagai saksi yang benar terhadap setiap amalan seperti mana yang Engkau syariatkan kepada kami, Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penganugerah

DOA AWAL TAHUN



Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.


Ya Allah, kami menadah tangan kepada-Mu pada waktu malam dan siang dalam keadaan kami bertawassul dengan nama-nama Mu, dalam keadaan kami mengharapkan gedung rahmat yang sarat di samping Mu. Dan dalam keadaan kami cinta sesungguhnya kepada-Mu dan cinta apa yang menghiasi kebesaran-Mu.


Ya Allah, Ya Rabbul Jalil. Dengan sunnah-Mu menjelang kini tahun baru yang telah Engkau tentukan mengikut qada dan qadar di Loh Mahfuz-Mu. Kami meredahnya di bawah Iradah dan Qudrat-Mu. Sebagai makhluk-Mu yang sentiasa mencari keredaan-Mu. Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon rahman-Mu, kami pertautkan permohonan kami sekental-kentalnya kepada Mu. Kami mengharap perdampingan taufik dan hidayah-Mu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami. Engkau sempurnakan perlindungan dan pemberian-Mu yang begitu melimpah kepada kami. Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh anggota badan kami jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan pemikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama, dan kebaikan untuk diri kami dan orang-orang sekitar kami.


Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindung kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan. Ya Allah, rahmatilah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepada-Mu, Wahai Penolong hamba yang meminta pertolongan, tolonglah kami. Wahai Pencegah kemusnahan, hindarilah kami dari kemusnahan dan keporak-perandaan. Ya Rahman Ya Rahim! Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama-Mu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat-Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerunsingan. Ya Allah, kekalkanlah tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami kenikmatan yang ada padanya. Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang, semulia-mulia tahun yang Engkau berkati ke atas kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersama-Mu. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami. Wassallalahu Ala Sayyidina Muhammad wa Ala Aalihi wa Sahbihi Wassalam.

Sumber: http://halimislam.multiply.com/

Jumaat, Disember 04, 2009

Pengertian Hijrah

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam makna yang lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad tetapi turut dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti mana firman-Nya al-Quran yang bermaksud: “Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26).

Di samping Nabi Ibrahim, Nabi Musa juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa. Selain Nabi Ibrahim dan Nabi Musa, Nabi Noh juga diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Peristiwa hijrah tersebut menyingkap satu perjuangan yang ‘pantang menyerah atau mengaku kalah’ di samping ia menjadi garisan pemisah di antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan sebagai satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Nabi iaitu, pertama di Makkah selama 13 tahun, dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ini bermakna Rasulullah berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa hadapan. Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan yang sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi. Rasulullah dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah demi menyahut panggilan dan keimanan.

Dalam erti kata lain, hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah. Mereka juga menyedari bahawa tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu. Mereka menghadapi apa sahaja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan keteguhan hati. Hijrah Nabi dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah. Ia menunjukkan bagaimana Nabi mengutamakan masjid, iaitu mendirikan masjid pertama di Madinah di satu tempat bernama Quba’ yang akhirnya dikenali sebagai Masjid Quba’. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda yang kedua ialah mempersaudarakan dua golongan, iaitu kaum Muhajirin (sahabat Nabi yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah. Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni, dengan umat beragama lain. Hijrah baginda bukan untuk kerehatan tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia untuk menghayati roh hijrah ini untuk diaplikasikan dalam konteks semasa iaitu untuk membina semula kegemilangan tamadun Islam. Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan hanya slogan-slogan indah atau retorik-retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji-panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan ini akhirnya dapat disatukan. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyaksikan pelbagai ras, bangsa dan kaum, maka amat wajar umat Islam di Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai al-Din yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Justeru, Islam dari awal-awal lagi menganjurkan umat Islam agar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu-satu kaum atau bangsa-bangsa tertentu. Malah kesemuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya, sedangkan Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anbia, ayat 107 maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.

Sumber: http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki/

Khamis, November 26, 2009

Kaedah-Kaedah Mengenal Hadis Palsu

Ulama-ulama hadith memang terkenal dengan usaha-usaha agung mereka dalam memelihara hadith-hadith Rasulullah SAW daripada dicemari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Di antara usaha-usaha murni mereka ialah memgenal pasti hadith-hadith palsu serta mengadakan kaedah-kaedah am atau garis panduan untuk mengenali hadith-hadith tersebut. Menurut Syeikh Umar bin Hasan Uthman Fallatah dalam tesis Phd beliau yang bertajuk الوضع في الحديث , sebahagian kaedah-kaedah tersebut ada yang bersifat umum berkenaan sifat-sifat kepalsuan hadith dan ada yang lebih bersifat terperinci. Ini semua hasil daripada penelitian yang berterusan dan istiqra’ yang menyeluruh terhadap sanad-sanad hadith berserta matan-matanya yang akhirnya membolehkan untuk mereka merumuskan perkara tersebut.

Antara kaedah-kaedah atau tanda-tanda khusus tersebut adalah:

1. Setiap hadith yang menyebutkan (pada teksnya) iman itu bertambah atau berkurang, atau sebaliknya tidak bertambah dan tidak berkurang, maka matan-matan sedemikian adalah palsu atau maudhu’

2. Setiap hadith yang menyebutkan bahawa al-Quran itu makhluk, atau bukan makhluk, begitu juga mana-mana hadith yang menyatakan ancaman terhadap orang yang berkata sedemikian ( makhluk atau tidaknya al-Quran) kesemuanya adalah palsu.

3. Kesemua hadith yang mengisbatkan disyariatkan untuk mengelap anggota wudhu selepas berwudhu juga tidak ada yang sahih.

4. Hadith yang menetapkan tempoh minimum bagi haidh begitu juga tempoh maksimum.

5. Setiap hadith yang menyebut; barangsiapa berbuat amalan tertentu mendapat pahala seorang Nabi atau lebih. Maka kesemuanya adalah palsu.

6. Mana-mana hadith yang menyatakan adanya solat-solat sunat pada malam-malam tertentu atau pada siangnya, seperti solat malam Ahad atau Isnin atau pada setiap hari daripada seminggu. Tidak ada satu pun yang sahih dari Nabi.

7. Hadith solat Ragha’ib الرغائب (solat sunat pada malam pertama bulan Rajab)

8. Hadith solat khas malam Nisfu Sya’ban.

9. Hadith solat sunat hari Asyura’ عاشوراءbegitu juga galakan untuk melakukan perkara-perkara lain seperti bercelak, berhias, mengadakan kenduri. Kesemuanya tidak thabit dari Nabi melainkan hadith-hadith berkenaan puasa pada siangnya.

10. Hadith-hadith berkenaan puasa pada bulan Rajab dan solat pada sebahagian malamnya.

11. Hadith-hadith yang melarang atau tidak menggalakan pernikahan sebaliknya menggalakan hidup berseorangan العزوبة.

12. Hadith-hadith yang menggalakan untuk menyimpan perempuan, dengan anggapan bahawa perempuan sedemikian memiliki rahim-rahim yang diberkati.

13. Hadith-hadith yang mencela zuriat dan galakan untuk tidak beranak yang kononnya Allah tidak lagi berhajat kepada mana-mana anak yang dilahirkan selepas seratus tahun dari kewafatan nabi.

14. Hadith-hadith yang menyebutkan akan Khidr dan pertemuanya dengan Rasulullah, Ilyas dan Jibril pada setiap tahun di Arafah.

15. Hadith yang mengisbatkan bahawa nabi menta’yinkan (menyatakan dengan menyebut nama seseorang) sebagai khalifah selepasnya.

16. Mana-mana hadith yang ada disebutkan lafaz Ya Humaira’ يا حميراء atau al-Humaira’ الحميراء

17. Hadith-hadith manaqib Muawiyah معاوية atau keburukanya secara langsung atau yang mencela Amru ibnu ‘Ash.عمرو بن العاص

18. Hadith-hadith yang mencela Abu Musa al-‘Asyari أبو موسى الأشعري .

19. Hadith-hadith yang mencela Marwan bin al-Hakam atau al-Walid bin Abdul Malik.

20. Hadith-hadith yang menaskan khilafah untuk anak al-‘Abbas atau yang mengharamkan mereka daripada neraka, juga yang memuji ahli Khurasan yang keluar bersama Abdullah bin Ali bin al-Abbas atau mana khulafa Bani Abbas atau yang memuji al-Mansur, al-Saffah atau al-Rasyid.

21. Hadith-hadith yang menyebutkan manaqib مناقب (kebaikan) imam-imam mazhab yang empat dengan nama-nama mereka begitu juga yang mencelanya.

22. Setiap hadith yang memuji Baghdad (بغداد) Basrah (بصرة) Kufah(الكوفة) Marwu (مرو) Asqalan(عسقلان) Iskandariah(الاسكندارية) Antakiah (الأنطاقية) atau mencelanya. Begitu juga yang menyebutkan pada permulaanya ‘bandar ini Bandar syurga atau bandar itu Bandar neraka.

23. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan al-Khalil الخليل (Palestin) begitu juga as-Sakhrah الصخرة .

24. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan setiap surah al-Quran satu persatu,

25. Hadith-hadith yang mencela Habasyah, Sudan, Turki, Mamalik, dan Khasiyan.

26. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan ayam jantan dan galakan untuk membelanya, tidak ada hadith yang thabit berkenaan tersebut melainkan dua hadith, Pertama: “janganlah kamu mencela ayam jantan kerana ia mengejutkan kamu untuk solah” (H.R Abu Dawud dalam bab hadith-hadith berkenaan ayam jantan dan binatang-binatang ternak). Kedua: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mintalah kepada Allah akan kelebihan-kelebihanya kerana ia telah melihat malaikat…” (H.R Ahmad dan lain-lain). Kedua-duanya adalah sahih. Begitu juga hadith-hadith berkenaan membela merpati dan ayam betina.

27. Hadith-hadith yang memuji kacang Dal, beras, Baqilla’ الباقلاء ( sejenis tumbuhan rumpai) terung, delima, kismis, tembikai, Kurrath الكراث dan Hindia’ الهندباء ( kedua-duanya sejenis tumbuhan), lobak, dan keju.

28. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan beberapa jenis bunga seperti Nirjisiah, Ward (ros), al-Ban, dan Marzinjusy.

29. Hadith-hadith yang memuji inai dan kelebihannya, melainkan hadith riwayat Abu Daud: sebaik-baik yang kamu gunakan untuk mengubah putih uban ialah Hinna’ الحناء dan Katam الكتم( jenis dedaun seperti inai)

30. Hadith-hadith yang menyebut rupa paras yang cantik dan memujinya dan menggalakan memandang kearahnya serta meminta bantuan darinya, begitu juga yang menyatakan bahawa neraka tidak akan menyentuhnya.

31. Hadith-hadith yang melarang tabarrum تبرم (menyebut secara marah dan putus asa) tatkala menunaikan hajat manusia.

32. Kesemua hadith yang melarang dari mencela Baraghithالبراغيث ( sejenis binatang kecil seperti pepijat)

33. Hadith yang menyatakan sesiapa yang diberikan sesuatu hadiah maka orang yang ada bersamanya sama-sama ada hak terhadap hadiah tersebut.

34. Hadith yang menggalakan untuk memakai cincin daripada batu Aqiq.

35. Hadith-hadith yang menyatakan keharusan atau pengharaman bermain catur.

36. Hadith-hadith yang menyebutkan jenis-jenis wali seperti yang masyhur dalam dunia kesufian seperti al-Abdal الأبدال, al-Aqthab الأقطاب, al-aghwat الأغواث, al-Nuqaba’النقباء, al-Nujabaالنجباء, dan al-Awtadالأوتاد

37. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan aqal.

38. Hadith-hadith yang menyebutkan طنين الأذنان bunyi-bunyian dengungan telinga.

39. Setiap hadith yang menyebut tarikh-tarikh tertentu di masa akan datang atau yang menyebutkan pada tahun sekian berlakunya sekian atau yang seumpama denganya.

Inilah di antara ciri-ciri khusus terhadap hadith palsu. Maka apabila terdapat mana-mana hadith yang mengandungi lafaz lafaz sebagaimana yang disebutkan maka dikhuatiri ianya adalah hadith yang palsu. Tidak dinafikan ada di antara perkara-perkara yang disebutkan itu benar dari sudut fakta dan hakikatnya tetapi yang menjadi kesalahannya disini ialah menyandarkanya kepada Rasulullah S.A.W, beliau sendiri telah memberi amaran keras berkenaan ini dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atasku tidaklah sama seperti berdusta keatas orang lain, maka sesiapa yang telah berdusta keatas ku secara sengaja maka siapkanlah tempat duduknya di dalam neraka.” ( H.R al-Bukhari: 1291, Muslim)

Selamat Hari Raya Aidiladha / Happy Eid ul Adha

Selasa, November 24, 2009

Takwim Hijrah

Takwim Hijrah atau Takwim Islam merupakan takwim yang digunakan di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Ia merupakan sejenis kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun.

Sejarah

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

Penggunaan

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya dihadapan pemimpin.

Dengan pencerapan begini mendorong Muslim berkecimpung dalam bidang astronomi, yang meletakkan Islam terkehadapan dalam sains tersebut buat beberapa kurun. Amalan tradisi ini masih diikuti di negara-negara lain seperti Pakistan and Jordan. Walau bagaimanapun, kebanyakan peraturan astronomi negara Muslim membenarkan penggunaan calendar dan tidak tertakluk sentiasa kepada cara ini. Malaysia, Indonesia, dan beberapa negara yang lain memulakan bulan ketika matahari terbenam pada hari pertama ketika bulan terbenam selepas matahari terbenam. Di Mesir, bulan bermula ketika matahari terbenam pada hari pertama yang bulan terbenam sekurang-kurangnya lima minit selepas matahari terbenam.

Umm al-Qura yang rasmi, kalendar Arab Saudi menggunakan kaedah astronomi yang berlainan hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini [1]. Sebelum 1420H (sebelum 18 April 1999), jika usia bulan yang terbenam di Riyadh sekurang-kurangnya 12 jam, maka hari yang tamat ketika matahari terbenam itu merupakan hari pertama setiap bulan. Ini menyebabkan negara tersebut meraikan hari-hari raya sehari atau dua hari awal berbanding negara lain termasuklah Haji yang hanya menggunakan tarikh Arab Saudi kerana berlangsung di Makkah. Pada tahun 1380-an H (1970-an), negara Muslim berlainan menamatkan puasa Ramadan pada empat hari yang berbeza. Perayaan Aidil Fitri lebih seragam pada 1420H. Bagi 1420-22H, jika bulan terbenam selepas matahari terbenam di Makkah, maka hari yang bermula ketika matahari terbenam tersebut adalah hari pertama bulan Saudi, peraturan yang sama juga bagi Malaysia, Indonesia, dan yang lain (kecuali tempat rukyah dijalankan).

Sejak 1423 H (16 Mac 2002), peraturan telah dijelaskan sedikit yang memerlukan gabungan geosentrik matahari dan bulan untuk berlaku sebelum matahari terbenam, sebagai tambahan untuk memerlukan bulan terbenam berlaku selepas matahari terbenam di Makkah. Ini memastikan yang bulan telah berlalu melepasi matahari ketika senja, walaupun langit masih terlalu terang sebaik sebelum betul-betul kelihatan anak bulan. Secara tegasnya, kalendar Umm al-Qura digunakan untuk kegunaan awam sahaja. Pembuatnya menyedari yang untuk dapat benar-benar mencerap hilal buat kali pertamanya boleh berlaku dua hari selepas apa yang dikira dalam kalendar Umm al-Qura.

Sejak 1419 H (1998/99) beberapa pegawai jawatan kuasa pencerap hilal telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menentukan rukyah anak bulan bagi permulaan bulan. Tidak kurang juga, pegawai agama Arab Saudi turut menerima saksi pencerapan oleh sesiapa yang kurang berpengalaman lalu mengumumkan yang hilal dapat dilihat walaupun pihak pegawai tidak dapat melihatnya. Kebanyakan kesnya, pencerapan tersebut amat sukar dan terdapat yang salah lihat.

Bulan terbenam terkemudian daripada matahari bagi negara yang di barat, maka negara Muslim di sana sering menyambut hari perayaan sehari awal berbanding negara Muslim di timur.

Terdapat pelbagai kalendar Islam yang digelar kalendar Islam tabular yang bulannya dikira melalui kaedah hisab berbanding rukyah atau pengiraan falak. Ia mempunyai kitaran setiap 30 tahun dengan 11 tahun lompat dengan 355 hari dan 19 tahun dengan 354 hari. Bagi jangka masa panjang, ia tepat kepada satu hari dalam 2500 tahun. Ia juga menyisihkan 1 atau 2 hari bagi jangka pendek.

Microsoft menggunakan "algoritma Kuwaiti" untuk menukar kalendar Gregori kepada kalendar Islam. Ia didakwa menggunakan analisis statistik data bersejarah dari Kuwait tetapi sebenarnya menggunakan taburan kalendar Islam tabular.

Pengharaman mengubah bilangan bulan

Pada tahun kesembilan Hijrah, Allah berfirman akan pengharaman mengubah pengharaman bulan seperti tertera dalam al-Quran dalam Surah At-Taubah:36-37

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."

"Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang kafir."

Pengharaman ini turut diulang baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam khutbah terakhir baginda di Arafah iaitu ketika berlangsungnya Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah 10H di Makkah (perenggan ini sering dibuang daripada khutbah oleh penyunting moden kerana dianggap tidak penting):

Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkan-rendahkan apa yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah s.w.t. adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban.

Terdapat tiga bulan suci (atau bulan haram) berturut-turut yang dinyatakan oleh baginda iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram lantas mengelakkan pertambahan sebarang bulan sebelum Muharram. Bulan suci yang tunggal lain ialah Rejab. Bulan-bulan ini dianggap suci dalam kalendar Islam baru dan juga kalendar ketika zaman jahiliyah Makkah yang dari itu ia diterbitkan dengan membuang bulan-bulan yang tidak perlu atau ditambah-tambah pada penghujung 10 H. Turutan bulan yang ditambah-tambah, sebelum dibuang, tidaklah diketahui.

Nama bulan Islam

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

1. Muharam al-Haram (dipendekkan kepada Muharram )

Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.

2. Safar

Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.

3. Rabiulawal

Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.

4. Rabiulakhir

Bulan kedua musim bunga.

5. Jamadilawal

Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.

6. Jamadilakhir

Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.

7. Rejab

Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.

8. Syaaban

Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.

9. Ramadan

Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.

10. Syawal

Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.

11. Zulkaedah

Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.

12. Zulhijah

Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.

Sumber: http://www.smkevii.edu.my/

Khamis, November 19, 2009

Hikmah dan Hukum Ibadah Korban

Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:

“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.

Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).

Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian." – Surah al-Soffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.


KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAH KORBAN

Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." – Surah al-Haj: 36-37.

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:

1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.

2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.

3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.

4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.

5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.


HUKUM IBADAH KORBAN

Para ulamak berbeza pendapat mengenai hukum melakukan ibadah korban. Ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:

1. Wajib bagi yang mampu.

Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:

"Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANnmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." – Surah al-Kautsar: 2.

Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadah korban sebagaimana kewajipan mengerjakan solat. Ini kerana, kedua-dua ibadah tersebut dihubungkan dengan kata penghubung wau (و) bermaksud 'dan' yang mana ia menunjukkan ada persamaan hukum.

Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali r.a berkata:

"Nabi s.a.w solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 985.

Perintah Rasulullah s.a.w agar mengulangi ibadah korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia termasuk perkara wajib. Jika tidak, sudah pasti baginda tidak akan memerintahkan agar penyembelihan diulangi.

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami." – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114

Hadis ini berupa ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada hari raya Aidiladha tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Ancaman berat ini tidak akan dikeluarkan oleh baginda melainkan ia sebagai bukti mengenai kewajipannya.

Mikhnaf bin Sulaim r.a berkata:

"Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah lalu berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahun (mengerjakan ibadah) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab)." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunan Tirmizi, hadis no: 1438.

Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadah korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walau bagaimanapun, hukum bagi ‘atirah telah dimansuhkan. Namun, ia tidak memansuhkan ibadah korban. Bahkan, kewajipannya masih berterusan hingga sekarang.

2. Sunat atau sunat muakkad (sunnah yang amat dituntut) bagi yang mampu.

Inilah pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam Syafie r.h. Golongan ini berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:

Menurut Ummu Salamah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:

"Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu semua ingin menyembelih (haiwan) korban, janganlah memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Dalil ini menunjukkan bahawa ibadah korban tidak wajib berdasarkan kata-kata baginda 'dan salah seorang antara kamu semua yang ingin'. Ia menggambarkan kepada kita bahawa baginda memberi pilihan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk menyembelih atau sebaliknya. Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti baginda memberi pilihan kepada seseorang sambil berkata: “Janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”

Jabir r.a berkata:

"Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w solat Aidiladha di musolla (tanah lapang). Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu Akbar (Dengan nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar). Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum meyembelih." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2427.

Selain itu, kata-kata baginda 'ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih' diungkapkan secara lafaz mutlak dan umum bukan secara khusus. Bermakna, memadai ibadah ini diwakilkan kepada seseorang sebagaimana baginda mewakili seluruh para sahabat yang masih belum melakukan korban.

Inilah dalil menunjukkan ibadah korban tidak wajib. Sekiranya ia wajib, tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadah tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada seseorang.

Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:

"Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir dijadikan ikutan orang terkemudian." – Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, jil. 9, ms. 295. Syeikh al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil, hadis no: 1139.

Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti Abu Bakar dan Umar r.a akan mendahului umat Islam dalam melakukan ibadah korban.

Sebelum membuat rumusan tentang hukum ibadah korban, kita hendaklah fahami bahawa hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu ibadah hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun tidak sahaja. Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu amalan itu tsabit daripada baginda s.a.w mereka akan berusaha bersungguh-sungguh mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.

Namun, kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah daripada baginda s.a.w dan seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti r.h berkata:

"Aku telah meneliti dalil-dalil daripada sunnah mengenai pendapat yang mewajibkan dan yang tidak mewajibkan ibadah korban. Menurut pandangan kami, tidak ada satu dalil dari kedua-dua pendapat tersebut yang kuat, pasti dan selamat dari kritikan sama ada menunjukkan ia wajib atau tidak…
Yang rajih (tepat) menurutku dalam hal yang tidak jelas mengenai nas-nas dalam suatu perkara kepada suatu perkara yang lain bahkan tanpa mempunyai dalil yang kuat dan jelas ialah berusaha sedaya mungkin keluar dari khilaf dengan melakukan korban apabila mampu. Ini kerana, Nabi s.a.w bersabda: “Tinggalkanlah perkara yang ragu kepada yang tidak ragu.”
Sepatutnya, seseorang tidak meninggalkannya apabila mampu kerana menunaikannya sudah pasti menghilangkan tanggung jawabnya." – Rujuk Kitab Adhwaa’ al-Bayaan Fi Idhah al-Quran bil Qur’an karya Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, jil. 5 ms. 618.

Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur (majoriti) ulama kerana mustahil Abu Bakar dan Umar r.a meninggalkan sesuatu amalan yang wajib apatah lagi mereka berdua merupakan imam yang layak manjadi ikutan dan kelayakkan mereka telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sekiranya mereka semua mentaati Abu Bakar dan Umar, pasti mereka mendapat petunjuk." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 681

Sumber: http://al-fikrah.net/

Haji Mabrur

Haji mabrur bermaksud haji yang diterima. Ibn Kholawaih mentakrifkan alMabrur sebagai alMaqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan oleh Imam Nawawi dengan pendapat tersebut (tidak bercampur dosa).

Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ”Kelebihan Haji Mabrur”. Manakala, Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab “Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan”.

Cara Mencapai Haji Mabrur

Secara umumnya, untuk mencapai haji yang diterima disisi Allah hendaklah memenuhi kriteria berikut;

1: Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riyak (menunjuk-menunjuk).
Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith diatas dengan berkata “mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan almabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak ria’ pada hajinya”

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riya’ iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan ALlah

Di dalam Musnad Ahmad, ada sebuah hadith:

“Sesiapa yang keluar dari rumahnya, pada tangannya ada dua bendera, satu bendera pada malaikat dan satu bendera pada syaitan, jikalau dia keluar dengan niat kerana Allah, malaikat akan mengekorinya bersama bendera tadi, maka bendera tadi masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya, dan jikalau dia keluar dari rumahnya melakukan kemurkaan kepada Allah, maka syaitan akan mengekorinya bersama benderanya, dan bendera tersebut masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya”

2: Kesemua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:

“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin megikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat alQuran

“Wahai sekalian Rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan [Surah alMukminun : 51]”

Kemudian Rasulullah membacakan lagi :

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” [Surah alBaqarah 172]

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata “Ya Tuhanku” sedangnya punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima??”

Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji meneliti dan bermuhasabah kembali sumber-sumber pendapatan, perbelanjaannya dan bekalannya disana dari sumber-sumber yang halal.

3: Melakukan fardhu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah didalam sunnahnya. Sebagai seorang muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah-nambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.

Ini sesuai dengan sabda Baginda;

“Sesiapa yang memperbaharui urusan agama (menokok tambah), maka mereka bukan dari kalangan kami (umat Muhammad)”

Syeikh Mustafa azZarqa’ ketika ditanya makna haji yang mabrur, beliau menyatakan diantara ciri-ciri hajinya diterima ialah “hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau didalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”

4: Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya
Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab “Kau hanya sebuah batu yang tidak mempu memberi faedah dan mudarah, kalau bukanlah kerana Rasulullah mengucupnya, sudah aku aku tidak aku mengucupnya”

Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.

5- Setelah menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji:
Ini sesuai dengan hadith :

“Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah : Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita tersebut : Ya. Sabda Nabi : Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)”.

Didalam hadith yang lain:

“Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas hamba-hambanya menunaikan haji. Bapaku seorang yang tua tidak mampu pergi bermusafir (ke Mekah), adakah aku perlu menunaikan haji untuknya? Sabda Rasulullah : Ya”

Sumber: www.islamic.com.my

Rabu, November 18, 2009

Sejarah Pengumpulan Al-Quran

Misionaris Kristian di dalam artikel mereka telah membuat dakwaan bahawa al-Qur’an adalah tidak sempurna pengumpulannya. Setelah meneliti secara sepintas lalu artikel tersebut, didapati semua itu hanyalah dendam dan dengki musuh-musuh Islam terhadap Islam. Dalam usaha menyangkal tuduhan-tuduhan palsu musuh-musuh Islam itu, selain dari mengguna-pakai hujah-hujah para ulama Islam, kita juga boleh menggunakan hujah sesetengah orientalis Barat yang mengkaji perkara ini dan mengakui kebenarannya. Barangkali dengan ini, hujah musuh-musuh Islam lebih senang disangkal.Sebelum itu, perlu diingatkan tidak semua Orientalis mengkaji ilmu-ilmu Islam untuk menghina Islam. Ada juga mereka yang mengkaji dengan tujuan untuk mencari kebenaran. Hal ini memang telah terbukti.

Berhubung masalah yang dikemukakan di atas, kita mengambil apa yang telah ditulis oleh Sir William Muir dalam “The Life of Mohammad”, supaya mereka yang sangat berlebih-lebihan dalam memandang sejarah dan dalam memandang diri mereka yang biasanya menerima begitu saja apa yang dikatakan orang tentang pemalsuan dan perubahan al-Qur’an itu dapat melihat sendiri. Muir adalah seorang penganut agama Kristian yang teguh dan juga berdakyah untuk agamanya. Walaupun ia seorang orientalis, dia tidak membiarkan setiap orang mengambil kesempatan melakukan kritik terhadap Nabi s.a.w. dan al-Qur’an.

Ketika berbicara tentang Qur’an, Sir William Muir menulis seperti berikut.

Wahyu Ilahi itu adalah dasar rukun Islam. Membaca beberapa ayat merupakan bahagian pokok dari sembahyang sehari-hari yang bersifat umum atau khusus. Melakukan pembacaan ini adalah wajib dan sunnah, yang dalam erti agama adalah perbuatan baik yang akan mendapat pahala bagi yang melakukannya. Inilah sunnah pertama yang sudah merupakan konsensi. Dan itu pula yang telah diberitakan oleh wahyu. Oleh karena itu penghafal al-Qur’an di kalangan Muslimin yang mula-mula itu banyak sekali, kalau bukan semuanya. Ada di antara mereka pada awal masa kekuasaan Islam itu dapat membaca sampai pada ciri-cirinya yang khas. Tradisi Arab telah membantu pula mempermudahkan pekerjaan ini. Kecintaan mereka luar biasa besarnya. Oleh karena untuk memburu segala yang datang dari para penyairnya tidak mudah dicapai, maka seperti dalam mencatat segala sesuatu yang berhubungan dengan nasab keturunan dan kabilah-kabilah mereka, sudah biasa pula mereka mencatat sajak-sajak itu dalam lembaran hati mereka sendiri. Oleh karena itu daya ingat (memori) mereka tumbuh dengan subur. Kemudian pada masa itu mereka menerima al-Qur’an dengan persiapan dan dengan jiwa yang hidup. Begitu kuatnya daya ingat sahabat-sahabat Nabi, disertai pula dengan kemahuan yang luar biasa hendak menghafal al-Qur’an, sehingga mereka, bersama-sama dengan Nabi dapat mengulang kembali dengan ketelitian yang meyakinkan sekali segala yang diketahui daripada Nabi sehingga waktu mereka membacanya itu.

Sebab al-Qur’an Ditulis Semula

Semasa Sayyidina Uthman bin Affan menjadi Khalifah pengaruh Islam telah berkembang luas. Islam telah sampai ke Afrika Utara di barat dan hingga ke Azarbaijan di timur. Ini bermakna telah begitu ramai orang yang bukan Arab memeluk Islam. Keadaan ini memerlukan ramai guru yang boleh membaca al-Qur’an dan memahami Islam dengan baik untuk mengajar orang yang baru memeluk Islam. Beberapa orang sahabat telah dihantar ke tempat-tempat tertentu untuk mengajar al-Qur’an.

Masing-masing tempat membaca al-Qur’an mengikut bacaan sahabat yang mengajar mereka. Dengan ini timbul sedikit perbezaan dari segi bacaan dan sebutan huruf al-Qur’an di antara tempat-tempat tersebut. Di Sham contohnya, mereka membaca mengikut bacaan Abdullah bin Mas’ud. Di tempat lain pula membaca mengikut bacaan Abu Musa al-‘Asya’ariy.

Keadaan ini hampir-hampir menyebabkan berlaku permusuhan dan persengketaan di antara saudara-saudara baru Islam. Masing-masing mengatakan bacaannya yang betul menyalahkan orang lain. Seorang sahabat bernama Huzaifah bin al-Yaman yang bersama-sama dengan orang Sham dan Iraq dalam peperangan di Armenia dan Azarbaijan melihat sendiri keadaan itu. Sekembalinya ke Madinah, beliau terus pergi berjumpa Khalifah Uthman bin Affan dan menceritakan hal tersebut.

Beliau mencadangkan supaya khalifah menulis semula al-Qur’an dalam beberapa naskah untuk dihantar ke bandar-bandar besar supaya semua orang Islam dapat membaca al-Quran dengan satu cara yang sama. Khalifah bersetuju dengan cara itu dan seterusnya menubuhkan panitia untuk menulis al-Qur’an. Al-Qur’an yang ditulis semula inilah yang dinamakan Mushaf Uthmaniy.

Dalam bahasa yang mudah, sebab al-Qur’an ditulis semula ialah untuk menyelamatkan umat Islam dan juga al-Qur’an itu sendiri. Selain itu bertujuan agar semua orang Islam membaca al-Quran dengan satu cara bacaan sahaja, melainkan bagi orang-orang yang belajar membaca al-Qur’an dengan Tujuh Huruf, maka mereka boleh membacanya dengan berbagai-bagai Qira’at dengan syarat-syarat dan kaedah-kaedah tertentu.

Persatuan Islam Zaman Uthman

Maka yang sampai kepada kita adalah sekarang adalah Mushaf Uthman. Begitu cermat penjagaan al-Qur’an itu, sehingga hampir tidak kita dapati – bahkan memang tidak kita dapati – perbezaan apapun daripada naskah-naskah yang tidak terhitung banyaknya, yang tersebar ke seluruh pelusuk dunia Islam yang luas ini. Sekalipun akibat terbunuhnya Uthman sendiri – seperempat abad kemudian sesudah Muhammad wafat – telah menimbulkan adanya kelompok-kelompok yang marah dan memberontak sehingga dapat menggoncangkan kesatuan dunia Islam – dan memang demikian adanya – namun al-Qur’an yang satu, itu juga yang selalu tetap menjadi al-Qur’an bagi semuanya.

Demikianlah, Islam yang hanya mengenal satu kitab itu ialah bukti yang nyata sekali, bahwa apa yang ada di depan kita sekarang ini tidak lain adalah teks yang telah dihimpun atas perintah dan usaha murni Sayyidina ‘Uthman bin Affan.

Di seluruh dunia ini tiada sebuah kitab pun selain al-Qur’an yang berbelas-belas abad lamanya tetap lengkap dengan teks yang begitu murni dan rapi. Adanya cara membaca yang berbeza-beza itu sedikit sekali sampai menimbulkan kehairanan. Perbezaan ini kebanyakannya terbatas hanya pada cara penyebutan huruf hidup saja atau pada tempat-tempat tanda berhenti, yang sebenarnya timbul hanya belakangan saja dalam sejarah, yang tidak ada hubungannya dengan Mushaf Uthman. Sekarang, sesudah ternyata bahwa al-Qur’an yang kita baca ialah teks Mushaf Uthman yang tidak berubah-ubah.

Perbincangan berikutnya, adakah teks ini yang memang persis bentuknya seperti yang dihimpun oleh Zaid sesudah adanya persetujuan menghilangkan segi perbezaan dalam cara membaca yang hanya sedikit sekali jumlahnya dan tidak pula penting itu? Segala pembuktian yang ada pada kita amat meyakinkan, bahawa memang demikian. Tidak ada dalam berita-berita lama atau yang patut dipercaya yang melemparkan kesangsian terhadap Uthman sedikitpun, bahwa dia bermaksud mengubah al-Qur’an demi kepentingannya.

Memang benar, bahawa Syi’ah kemudian menuduh bahawa Uthman mengabaikan beberapa ayat yang mengagungkan Ali. Akan tetapi dugaan ini tidak dapat diterima oleh akal kita sama sekali. Ketika Mushaf ini diakui, antara pihak Umawiy dengan pihak Alawiy (golongan Mu’awiyah dan golongan Ali) belum terjadi sesuatu perselisihan faham. Bahkan persatuan Islam masa itu benar-benar kuat tanpa ada sebarang pengancaman bahaya. Di samping itu juga, Ali belum melukiskan tuntutannya dalam bentuknya yang lengkap. Jadi tiadalah maksud-maksud tertentu yang akan mendorong Uthman melakukan pelanggaran yang sangat dibenci oleh umat Islam itu. Orang-orang yang benar-benar memahami dan hafal al-Qur’an seperti yang mereka dengar sendiri waktu Nabi membacanya, mereka masih hidup tatkala Uthman mengumpulkan mushaf itu.

Andai kata ayat-ayat yang mengagungkan Ali itu sudah ada, tentu terdapat juga teksnya di tangan pengikut-pengikutnya yang banyak itu. Dua alasan ini saja sudah cukup untuk menyokong usaha menghilangkan ayat-ayat itu. Lagi pula, pengikut-pengikut Ali sudah berdiri sendiri sesudah Uthman wafat, lalu mereka mengangkat Ali sebagai pengganti. Dapatkah diterima akal — pada waktu mereka sudah memegang kekuasaan — bahawa mereka akan menerima al-Qur’an yang sudah terpotong-potong, dan terpotong yang disengaja pula untuk menghilangkan tujuan pemimpin mereka?! Sungguhpun begitu, mereka tetap membaca al-Qur’an yang juga dibaca oleh lawan-lawan mereka. Tiada bayangan sedikit pun bahawa mereka akan menentangnya. Bahkan Ali sendiri telah memerintahkan supaya menyebarkan naskah itu sebanyak-banyaknya. Malah ada diberitakan, bahawa ada beberapa di antaranya yang ditulis dengan tangannya sendiri.

Memang benar bahawa para pemberontak itu telah membuat pangkal pemberontakan mereka karena ‘Uthman telah mengumpulkan al-Qur’an lalu memerintahkan supaya semua naskah dimusnahkan selain Mushaf Uthman. Jadi tentangan mereka ditujukan kepada langkah-langkah ‘Uthman dalam hal itu saja, yang menurut anggapan mereka tidak boleh dilakukan. Tetapi sebaliknya, tidak seorang yang menunjukkan adanya usaha mengubah atau menukar isi al-Qur’an. Tuduhan demikian pada waktu itu adalah suatu usaha untuk merosakkan secara terang-terangan. Hanya kemudian golongan Syi’ah saja yang mengatakan itu untuk kepentingan mereka sendiri.

Sekarang kita dapat mengambil kesimpulan dengan yakin dan tegas, bahawa Mushaf Uthman itu tetap dalam bentuknya yang persis seperti yang dihimpun oleh Zaid bin Thabit, dengan lebih disesuaikan bahan-bahannya yang sudah ada lebih dulu dengan dialek Quraisy. Kemudian menyisihkan bacaan-bacaan selebihnya yang pada waktu itu terpancar-pancar di seluruh daerah itu.

Mushaf Uthman Cermat Dan Lengkap

Sungguhpun begitu, masih ada suatu persoalan penting iaitu adakah yang dikumpulkan oleh Zaid itu merupakan bentuk yang sebenarnya dan lengkap seperti yang diwahyukan kepada Muhammad?

Pertimbangan-pertimbangan di bawah ini cukup memberikan keyakinan, bahwa itu adalah susunan sebenarnya yang telah selengkapnya dicapai waktu itu.

Pertama: Pengumpulan pertama selesai di bawah pengawasan Abu Bakar al-Siddiq. Sedangkan Abu Bakar seorang sahabat yang jujur dan setia kepada Muhammad. Dia juga adalah orang yang sepenuhnya beriman pada kesucian sumber al-Qur’an; orang yang hubungannya begitu erat sekali dengan Nabi selama 20 tahun terakhir dalam hayatnya, serta kelakuannya dalam khilafah dengan cara yang begitu sederhana, bijaksana dan bersih dari gejala buruk. Ia beriman bahawa apa yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w itu adalah wahyu dari Allah, sehingga tujuan utamanya ialah memelihara pengumpulan wahyu itu semua dalam keadaan murni sepenuhnya.

Pernyataan semacam ini berlaku juga terhadap Umar yang sudah menyelesaikan pengumpulan itu pada masa khilafahnya. Pernyataan semacam ini juga yang berlaku terhadap semua kaum Muslimin waktu itu, tidak ada perbezaan antara para penulis yang membantu melakukan pengumpulan itu, dengan seorang mu’min biasa yang miskin, yang memiliki wahyu tertulis di atas tulang-tulang atau daun-daunan, lalu membawanya semua kepada Zaid. Semangat mereka semua sama, ingin memperlihatkan kalimat-kalimat dan kata-kata seperti yang dibacakan oleh Nabi, bahawa itu adalah risalah dari Tuhan. Keinginan mereka hendak memelihara kemurnian itu sudah menjadi perasaan semua orang, sebab tiada sesuatu yang lebih dalam tertanam dalam jiwa mereka seperti rasa kudus yang agung itu, yang sudah mereka percayai sepenuhnya sebagai firman Allah.

Dalam al-Qur’an terdapat peringatan-peringatan bagi sesiapa yang mengadakan kebohongan atas Allah atau menyembunyikan sesuatu dari wahyuNya. Kita tidak akan dapat menerima, bahwa pada kaum Muslimin yang mula-mula dengan semangat mereka terhadap agama yang begitu rupa mereka sucikan itu, akan terlintas fikiran yang akan membawa akibat begitu jauh membelakangi iman.

Kedua: Pengumpulan tersebut selesai selama dua atau tiga tahun sesudah Muhammad wafat. Kita sudah melihat beberapa orang pengikutnya, yang sudah hafal wahyu itu dan setiap Muslim sudah hafal sebagian, juga sudah ada sekumpulan ahli-ahli al-Qur’an yang ditunjuk oleh pemerintah dan dikirim ke segenap penjuru daerah Islam untuk melaksanakan upacara-upacara dan mengajar orang memperdalami ilmu agama. Dari mereka semua itu terjalinlah suatu penghubung antara wahyu yang dibaca Muhammad pada waktu itu dengan yang dikumpulkan oleh Zaid. Kaum Muslimin bukan saja bermaksud jujur dalam mengumpulkan al-Qur’an dalam satu mushaf itu, tapi juga mempunyai segala kerjasama yang dapat menjamin terlaksananya maksud tersebut, menjamin terlaksananya segala yang sudah terkumpul dalam kitab itu, yang ada di tangan mereka sesudah dengan teliti dan sempurna dikumpulkan.

Ketiga: Kita juga mempunyai jaminan yang lebih kuat dipercayai tentang ketelitian dan kelengkapannya itu, yakni bahagian-bahagian al-Qur’an yang tertulis, yang sudah ada sejak masa Muhammad masih hidup, dan yang sudah tentu jumlah naskahnya pun sudah banyak sebelum pengumpulan al-Qur’an itu. Naskah-naskah demikian ini kebanyakan sudah ada di tangan mereka semua yang dapat membaca. Kita mengetahui, bahwa apa yang dikumpulkan Zaid itu sudah beredar di tangan orang dan langsung dibaca sesudah pengumpulannya.

Maka amat logik kita mengambil kesimpulan bahwa semua yang terkandung dalam bahagian itu, sudah mencakupi. Oleh karena itu keputusan mereka semua sudah tepat pada tempatnya. Tidak ada suatu sumber yang sampai kepada kita yang menyebutkan, bahwa para penghimpun itu telah sengaja membuang sesuatu bahagian, atau sesuatu ayat, atau kalimat, ataupun apa yang terdapat di dalamnya itu, berbeza dengan yang ada dalam mushaf yang sudah dikumpulkan itu. Dalam erti kata lain, dalam Mushaf Uthman tidak ada sesuatu yang diabaikan, sekalipun yang kurang penting.

Keempat: Isi dan susunan al-Qur’an itu jelas sekali menunjukkan cermatnya pengumpulan. Bahagian-bahagian yang bermacam-macam disusun satu sama lain secara sederhana tanpa dipaksa-paksa atau dibuat-buat.
Tiada tangan yang cuba mahu mengubah atau mahu memperlihatkan kebolehannya sendiri. Itu menunjukkan adanya iman dan kejujuran si penulis dalam menjalankan tugasnya itu. Ia tidak berani mengambil ayat-ayat suci itu melebihi daripada yang apa adanya, lalu meletakkannya yang satu di samping yang lain.

Jadi kesimpulan yang dapat kita sebutkan dengan meyakinkan sekali ialah bahawa Mushaf Zaid dan Uthman itu bukan hanya hasil ketelitian saja, bahkan — seperti beberapa kejadian menunjukkan — penghimpunnya tidak bermaksud mengabai apa pun dari wahyu itu. Kita juga dapat meyakinkan, berdasarkan bukti-bukti yang kuat, bahawa setiap ayat dari al-Qur’an itu, memang sangat teliti sekali seperti yang dibaca oleh Muhammad.

Inilah pandangan Sir William Muir seperti yang disebut dalam kata pengantar “The Life of Mohammad” (m.s. xiv-xxix). Dengan apa yang sudah kita kutip itu tidak perlu lagi rasanya kita menyebut tulisan Lammens atau Von Hammer dan Orientalis lain yang sependapat. Secara positif, mereka memastikan tentang persisnya al-Qur’an yang kita baca sekarang, serta menegaskan bahawa semua yang dibaca oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah wahyu yang benar dan sempurna diterima dari Allah s.w.t.

Kalau ada sebagian kecil kaum Orientalis atau Kristian berpendapat lain dan beranggapan bahawa al-Qur’an sudah mengalami perubahan, dengan tidak menghiraukan alasan-alasan logik yang dikemukakan oleh Muir tadi dan sebahagian besar Orientalis, yang telah mengutip dari sejarah Islam dan dari sarjana-sarjana Islam, maka itu adalah suatu dakwaan yang hanya didorong oleh rasa dengki saja terhadap Islam dan terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Betapa pandainya si pengkritik menyusun tuduhannya, namun mereka tidak akan dapat menafikan hasil penyelidikan ilmiah yang murni. Dengan cara ini, mereka tidak akan dapat menipu kaum Muslimin, kecuali beberapa pemuda yang masih beranggapan bahwa penyelidikan yang bebas itu mengharuskan mereka mengingkari masa lampau mereka sendiri, memalingkan muka dari kebenaran karena sudah terhasut oleh kepalsuan yang indah-indah. Mereka percaya kepada semua yang mengecam masa lampau sekalipun pengecamnya itu tidak mempunyai dasar kebenaran ilmiah dan sejarah.

Sumber: http://malay.bismikaallahuma.org/

Umat Kristian Gagal Mematuhi Ajaran Bibel

Sesuatu agama adalah tertegak berdasarkan apa yang terkandung di dalam kitab suci mereka, kerana kitab suci ini berasal dari Tuhan. Tetapi apakah yang akan terjadi sekiranya kitab suci itu sekarang sudah dinodai, apakah masih layak ia disebut sebagai sebuah kitab suci?

Itulah Alkitab yang berada di tangan orang Kristian sekarang, mereka begita bangga namun tidak pernah teliti membacanya. Bagaimankah boleh seorang Kristian yang dilarang makan babi, tetapi mereka memakannya? Seorang Kristian yang seharusnya bersunat, tetapi mereka menolaknya? Seorang Kristian yang seharusnya kalau mati dikafani, mereka malah menggunakan peti? Ini merupakan suatu pelanggaran berat kerana mereka melanggar syariat agamanya sendiri.

Semua percanggahan ajaran di dalam Alkitab ada dalam tulisan ini, oleh sebab ia adalah sangat penting dibaca bagi mereka yang terpedaya oleh dakyah misionaris-misionaris Kristian dan lemah iman mereka.

A. Pelanggaran Orang Kristian Terhadap Alkitab Mereka

1. Injil Melarang Memakan Daging Khinzir

Inilah sebuah fakta mengenai kebohongan orang Kristen yang mengatakan bahwa mereka sangat taat pada ajaran Yesus yang terkandung dalam kitab suci mereka. Kebohongan ini terungkap ketika Alkitab sebagai kitab suci mereka dengan tegas melarang makan babi, dalilnya ada pada Kitab Ulangan 14 : 8 yang berbunyi:

“Juga babi hutan, karena memang berkuku belah, tetapi tidak memamah biah, haram itu bagimu…”

Selasa, November 17, 2009

Fardu Kifayah

BERDASARKAN ajaran al-Quran dan Sunnah, pada umumnnya ada dua kewajipan utama bagi umat Islam mukalaf (dewasa dan berakal) laksanakan iaitu ibadah fardu ain dan fardu kifayah.

Fardu ain, ibadah yang pada prinsipnya boleh dilaksanakan sendiri oleh setiap orang Islam seperti digariskan dalam Rukun Iman dan Rukun Islam.

Fardu ain lebih utama daripada fardu kifayah kerana fardu ain, tanggungjawab individu dan tidak boleh menggantikannya kepada orang lain.

Tuntutan fardu ain adalah ibadah akar umbi bagi menguatkan keimanan umat Islam ke arah menjalankan tugas atau ibadah yang lebih luas kepada agama, masyarakat dan negara. Sebahagian besar fuqaha berpendapat fardu bermakna wajib berdasarkan dalil dalam al-Quran, sunnah, ijma dan qias.

Fardu kifayah pula, ibadah yang pada prinsipnya untuk manfaat orang ramai atau ibadah yang sukar dilaksanakan secara individu kerana memerlukan ilmu, kemahiran atau membabitkan kos tinggi.

Dalam kitab fiqh, contoh ibadah fardu kifayah seperti menjawab salam, menziarah orang sakit, menguruskan jenazah, mendirikan solat jenazah, berjihad, menerbitkan tafsir al-Quran, hadis dan ijtihad.

Hukum Islam menetapkan, memadai jika fardu kifayah itu dilaksanakan sekurang-kurangnya seorang atau sekumpulan saja, maka umat Islam di sesuatu kariah atau kelompok berkenaan terlepas daripada memikul dosa.

Sekali imbas berdasarkan contoh itu, konsep fardu kifayah berkisar kepada perkara yang berkaitan dengan agama saja.

Bagaimanapun, kalau kita perhatikan semangat dan kekuatan daripada contoh ibadah yang diberikan oleh fuqaha, didapati konsep fardu kifayah merujuk kepada tanggungjawab ibadah secara jemaah ke arah memenuhi tanggungjawab sosial dan penghayatan ajaran Islam menyeluruh.

Ini bermakna konsep fardu kifayah luas dan tidak berkisar kepada ibadah atau pekerjaan yang bersifat keagamaan semata-mata.

Oleh yang demikian, bidang pertanian, perundangan, pendidikan, kesihatan, perikanan, pengangkutan, ilmu sains dan teknologi, kesenian dan isu tanggungjawab sosial yang membawa keseiahteraan kepada agama, masyarakat dan negara adalah tuntutan fardu kifayah.

Dalam al-Quran diterangkan bahawa Allah memerintahkan, hendaklah ada sekumpulan di kalangan umat-Nya menyeru dan melaksanakan kebajikan, kebaikan dan mencegah kemungkaran bagi mendekatkan kita kepada Allah (ali-Imran: 104).

Abu Umamah meriwayatkan Rasulurah bersabda, "bahawa Allah, malaikat serta seluruh penghuni langit dan bumi termasuk semut di darat dan ikan di laut mengucap salawat (meminta ampun) untuk orang yang memberi perkhidmatan yang berfaedah kepada manusia (riwayat Tirmizi).

Ajaran Islam lebih mudah berkembang dan tersebar dengan pembabitan secara berjemaah.

Setiap individu mempunyal tanggungjawab bersama bagi membina kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara. Semua tanggungjawab itu bukan hanya untuk masyarakat atau negara, tetapi menjurus mendekatkan diri kita kepada AIlah.

Ketika zaman pemerintahan Abasiyah pada abad ke-11 Masehi, ulama dan umat Islam menterjemahkan konsep fardu kifayah itu dalam skop lebih luas. Sumbangan fardu kifayah mereka bukan saia dalam isu keagamaan tetapi juga dalam hal tanggungjawab sosial.

Sumbangan besar itu termasuk bidang perubatan, pendidikan, senibina, geografl, matematik dan ilmu sains. Kesan sumbangan besar.tamaddun Islam itu boleh dilihat hingga kini dan memberi manfaat besar kepada manusia.

Pada masa ini, bangsa Yahudi, Eropah, dan jepun dikagumi kerana mereka menjadi bangsa penggerak kemajuan dunia.

Bangsa ini menjadikan bidang ilmu yang berorientasikan teknologi tinggi dan professional sebagai pemangkin membawa kemajuan kepada mereka. Oleh itu kita dapati semua negara maju semakin pantas meneroka dengan mencipta pelbagai produk bersumberkan kepada ilmu sains dan teknologi.

Kalau dibandingkan dengan beberapa kaum minoriti di negara kita, ternyata umat Islam ketinggalan jauh dalam bidang sains teknologi walaupun umat Islam menjadi penduduk majoriti. Kelemahan ini boleh menggugat jati diri umat Islam.

Apakah faktor kelemahan itu sebahagiannya berpunca daripada salah faham terhadap konsep fardu kifayah ? Memang benar pembabitan minimum dalam fardu kifayah itu membebaskan umat Islam daripada berdosa tetapi Islam menghendaki umatnya berfikir secara positif, iaitu pembabitan umat Islam secara maksima paling afdal kerana mempercepatkan memenuhi tuntutan Allah itu.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi dalam buku'nya Fiqh al Aulawiyat, bidang fardu kifayah mempunyai darjat berbeza-beza mengikut masa dan keadaan. Keperluan bidang fardu kifayah di sesuatu tempat yang tidak banyak umat Islam mengambil bahagian lebih afdal berbanding bidang yang banyak umat Islam terbabit.

Malah, menurut Syeikh Yusuf lagi bidang fardu kifayah itu boleh bertukar menjadi fardu ain jika keperluan itu amat terdesak dan menjaga maslahah umat Islam.

Ulama dan cendekiawan Islam wajar memberi perhatian terhadap pandangan Syeikh Yusuf itu. Kita yakin adalah tidak bercanggah dengan ajaran Islam jika kita mengkategorikan beberapa bidang ilmu sains teknologi dan beberapa bidang yang lain sebagai fardu ain bagi menggerakkan umat Islam, melaksanakan tuntutan Allah itu.

Dalam kelas pengajian di masjid dan surau di seluruh negara, kita dapati kelas fardu ain sejak turun temurun lagi ialah mempelajari sifat 20, iaitu ilmu mengenal Allah.

Sebahagian besar orang tua, terutama di luar bandar menghafaz sifat ini walaupun mereka sukar memahaminya. Mereka berbuat demikian kerana ia sebahagian tuntutan fardu ain dan jika tidak melaksanakannya maka mereka akan berdosa.

Konsep fardu ain dan fardu kifayah adalah dua konsep yang berkait rapat, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan mempunyai kepentingan bagi meningkatkan jati diri umat Islam.

Kombinasi konsep ini, jika dihayati sepenuhnya akan mengseimbangkan pembangunan rohani dan fizikal. Pembangunan yang seimbang ini akan melahirkan umat Islam sebagai umat terbaik dan melahirkan negara aman makmur yang dinaungi Allah, iaitu baldatun tayyibatun warabbul ghafur.

Sumber: http://www.virtualfriends.net/

Tanda-tanda Amalan Ikhlas Kerana Allah

FIRMAN Allah Taala bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar". - Surah al-Bayyinah, ayat 5

Menerusi ayat di atas, Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang mengikhlaskan hidupnya semata-mata kepada Allah Taala. Ia digambarkan melalui dua bentuk ibadat khusus iaitu solat sebagai hubungan antara manusia dengan Allah dan ibadat zakat yang menghubungkan antara manusia dengan manusia.

Ertinya segala aktiviti hidup seorang Muslim hendaklah ikhlas kerana Allah Taala. Dengan demikian, ikhlas dalam konteks sebagai seorang Muslim bermaksud ia mestilah mengharapkan keredaan Allah dan ganjaran pahala daripada-Nya. Justeru itu, segala kata-kata, amal perbuatan dan jihad perjuangannya tidak mengambil kira sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran mahupun kedudukan tinggi. Baginya, syarat amalan yang diterima Allah ialah niat yang ikhlas dan bertepatan dengan syariat dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Dalam hal ini, ulama telah menggariskan tanda-tanda ikhlas itu kepada beberapa perkara sebagai berikut:

Pertama, takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa kepada fitnah sama ada kepada dirinya mahupun agamanya, terutama sekiranya ia seorang yang berkebolehan. Kerana ia yakin bahawa Allah menerima sesuatu amalan itu berdasarkan batin, bukan lahirnya semata-mata.

Kedua, orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati daripada dimasuki sifat bangga diri, sombong dan kagum dengan diri sendiri.

Ketiga, lebih suka melakukan amalan atau kerja secara sembunyi daripada diiklankan dan mencari populariti. Dalam konteks sebuah organisasi, ia lebih suka menjadi tunjang pokok walaupun tiada yang nampak kerana berada dalam perut bumi, namun ia adalah asas bagi pokok itu hidup, tegak dan kuat.

Keempat, baginya sama saja berkerja sebagai pemimpin atau pengikut, selagi kedua-duanya adalah berkhidmat untuk agama. Hatinya tidak dapat dipengaruhi perasaan cinta untuk muncul ke depan atau berada di barisan hadapan.

Kelima, tidak menghiraukan kepuasan hati manusia sekiranya ia membawa kepada kemurkaan Allah Taala.

Keenam, suka atau bencinya, memberi atau menolaknya, rela atau marahnya, semuanya kerana Allah Taala dan agamanya.

Ketujuh, ia tidak bersifat malas, lemah disebabkan perjalanan yang jauh, lambat dapat memetik hasil dan lambat mencapai kejayaan.

Kelapan, gembira dengan kemunculan orang yang berkelayakan dalam barisan perjuangan bersamanya.

Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan bahawa syaitan sama sekali tidak mampu menguasai orang yang bersifat ikhlas, sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka". - Surah al-Hijr, ayat 39-40

Al-Fudhail bin Iyadh, seorang ulama terkenal ketika mendengar firman Allah yang bermaksud: "(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". - Surah al-Mulk, ayat 2, lalu berkata: Sebaik-baik amal itu ialah yang paling ikhlas dan yang paling betul.

Kemudian ia ditanya: "Bagaimana yang paling ikhlas dan betul itu ? Jawabnya: sesuatu amal itu sekiranya ia ikhlas tetapi tidak betul, maka ia tidak diterima, dan sekiranya ia betul tetapi tidak ikhlas juga, maka ia tidak diterima. Jadi, ia hendaklah memiliki kedua-dua sekali iaitu ikhlas dan betul.

Ikhlas hanya semata-mata kerana Allah dan betul pula mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau membaca firman Allah Taala bermaksud: "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya". - Surah al-Kahf, ayat 110.

Selasa, November 10, 2009

Bukan Islam Memasuki Masjid

Soalan

Ustaz, di ketika ini agak heboh perbincangan berkenaan boleh atau tidak orang bukan Islam masuk masjid dan meberi ucapan. Saya ingin bertanya kepada ustaz tentang hal ini, adakah perbincangan ulama di dalam hal ini atau memang tidak dibenarkan?

Jawapan

Sebelum menjawab persoalan yang diutarakan oleh saudara penyoal, saya ingin terlebih dahulu menjelaskan, paling kurang terdapat tiga isu yang diperbincangkan oleh ulama Islam di dalam hal ini.

Pertama : Bukan Islam memasuki Masjidil Haram.

Kedua : Sebab mengapa bukan Islam dilarang memasuki masjidil haram.

Ketiga: Bukan Islam memasuki masjid selain masjidil Haram

Saya akan cuba meringkaskan jawapan bagi ketiga-tiga persoalan sekaligus secara padat dan mampu difahami, InshaAllah.

Asas rujukan hukum bagi persoalan ini diambil dari dua ayat berikut :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini.. (At-Taubat : 28)

Satu lagi adalah :-

أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ

Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu salat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja." ( 4:43 )

MASUK MASJIDIL HARAM

Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki masjidil haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat diatas. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad mempunyai sedikit perincian dalam hal tersebut.

Berdasarkan dua ayat ini, majoriti ulama dari kalangan mazhab maliki dan Syafie melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, namun demikian dibenarkan bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.

Imam Abu Hanifah pula menyatakan non-muslim dibenarkan untuk memasuki masjidil haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal. Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan Islam memasuki masjid tanpa syarat.

Imam Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan maintainance. Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam.

Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada sahabat

"Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"

Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditanglkap atas kesalahan tertentu),

بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Ertinya : Rasulullah s.a.w menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.[1]

HUKUM MASUK MASJID SELAIN MASJIDIL HARAM

Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Beliau juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah tersebut.

Imam Nawawi menghuraikan :

وفي هذا جواز ربط الأسير وحبسه وجواز إدخال المسجد الكافر ومذهب الشافعي جوازه بإذن مسلم سواء كان الكافر كتابيا أو غيره وقال عمر بن عبد العزيز وقتادة ومالك لا يجوز

Ertinya : Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie : menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. (Syarah Sohih Muslim, 12/87)

Selain yang diatas, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.

Al-Mawardi memetik kata Al-Muzani iaitu :-

لأنه لو جاز ذلك له لكان الجنب المسلم أولى به لموضع حرمته وتشريفه فلما لم يجز للمسلم المبيت فيه كان المشرك أولى

Ertinya : Sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika TIDAK HARUS bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah bukan Islam lebih lagi dilarang (kerana mereka dikira sentiasa berjunub) ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

Imam Al-Mawardi As-Syafie membawakan pula teks kata-kata Imam Syafie dalam hal ini iaitu :-

ولا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام

Ertinya : Tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram. ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

KESIMPULANNYA

Majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI masjidil haram, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain.

Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-

* 1) Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.

* 2) Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.

* 3) Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.

Sumber: http://www.zaharuddin.net/