Rabu, Disember 17, 2008

Syirik

Syirik adalah kesesatan nyata, dosa tidak akan diampun
Oleh Masmawi Abdullah

SELURUH risalah Nabi dan Rasul berintipatikan tauhid. Mereka menyeru manusia ke arah mengesakan Tuhan. Mereka (Nabi dan Rasul) yang mulia itu sentiasa menyeru untuk manusia (umat pada zaman masing-masing) ke arah hanya beribadat dan menyembah Tuhan yang Esa.

Rasul dan Nabi yang mulia, sentiasa menentang syirik atau perbuatan mempersekutukan Allah SWT dengan apa juga. Malah tugas mereka yang utama ialah membasmi syirik dalam apa bentuk serta ragam yang menyebabkan manusia jauh daripada Allah SWT.

Apabila zaman berubah maka bentuk syirik juga turut berubah tetapi asasnya, mempercayai selain daripada Allah SWT yang menyebabkan rosak akidah.

Syirik berasal daripada perkataan syrika yang membawa erti mengambil bahagian atau mengikut sertakan. Menurut syariah, syirik memberi erti kemusyrikan atau pemujaan berhala dan lawan syirik ialah tauhid.

Tauhid adalah penolakan secara menyeluruh terhadap segala rupa bentuk mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah; sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Maha Esa dan sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu persekutukan dengan Allah.” (Surah al-Anjaam, ayat 19)

Syirik adalah dosa besar seperti diterangkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Barang siapa mempersekutukan Allah, sesungguhnya ia telah membuat dosa yang besar.” (Surah al-Nisa, ayat 48)

Orang yang mensyirikkan Allah SWT juga digelar sebagai bodoh. Bukan saja setakat bodoh biasa, tetapi bodoh yang besar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami seberangkan Bani Israil ke seberang lautan itu, maka setelah mereka sampai kepada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka. Bani Israil berkata: Hai Musa, buatlah untuk kami sebuah Tuhan (berhala). Musa menjawab: Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang tidak mengetahui (sifat) Tuhan.” (Surah al-A’raf, ayat 138)

Syirik juga adalah lambang atau petunjuk kepada kesesatan seseorang. Malah, syirik adalah suatu kesesatan yang paling jelas dan nyata. Kesesatan mereka yang syirik begitu jauh, iaitu jauh daripada kebenaran (Tauhid).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan siapakah lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan selain Allah yang yang tiada dapat memperkenankan (doanya) sampai hari kiamat dan mereka lalai (memperhatikan doa) mereka.” (Surah al-Ahqaaf, ayat 5)
Syirik adalah suatu kehinaan, ertinya mereka yang mempersekutukan Allah SWT itu orang yang hina di sisi Allah SWT. Apakah yang lebih malang daripada syirik? Jika hidup selalu berada di dalam kehinaan, alangkah parahnya derita yang akan ditanggung orang musyrik itu.

Semua dosa akan diampun Allah SWT, kecuali syirik seperti firman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menjadi anak lembu (sebagai sembahannya), kelak akan menimpa ke atas mereka kemurkaan Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang yang membuat-buat pembohongan..” (Surah al-A’raaf, ayat 152)

Paling menyedihkan, mereka yang mensyirikkan Allah SWT tidak akan dapat memasuki syurga. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, pasti Allah mengharamkan kepada syurga, dan tempatnya neraka.” (Surah al-Maidah, ayat 72)

Tiada ulasan: