Jumaat, Disember 05, 2008

Adab Berjiran dengan Bukan Islam

Menjaga perhubungan sosial dengan jiran tetangga adalah sesuatu yang amat dititik berat oleh Islam sebagaimana menjaga perhubungan persaudaraan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar R A yang bermaksud: "Jiran terdiri daripada tiga; Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran seorang Muslim yang ada hubungan kekeluargaan. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran seorang Muslim. Baginya hak sebagai orang Islam dan hak kejiranan. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran seorang musyrik (hanya mempunyai hak kejiranan)". (Kitab al-Mughni)

Hak kejiranan adalah menahan diri daripada melakukan perkara yang mendatangkan sakit hati jiran dan melakukan kebajikan kepada mereka. Antaranya menziarahi ketika sakit, mengucap tahniah dan takziah sesuatu perkara yang berlaku terhadap mereka, memaafkan kesilapan, tidak mengintai-intai ke dalam rumah, tidak mencuri dengar perbualan dan menutup rahsia dan keaiban mereka. merendahkan pandangan terhadap ahli keluarga mereka dan mengambil berat terhadap keperluan ahli keluarga mereka jika ketiadaan ketua keluarga di rumah.

Justeru, hak kejiranan orang Islam dan bukan Islam adalah sama seperti bersopan santun, bertatasusila dan bantu-membantu serta bekerjasama kecuali dalam perkara yang bercanggah dengan akidah. syariat dan akhlak sebagai muslim. Contohnya, orang Islam tidak boleh menerima jemputan majlis tari-menari atau majlis berunsur keagamaan jiran bukan Islam.

Tiada ulasan: