Kebiasaannya pengamal sihir akan meminta bantuan daripada syaitan atau jin yang kafir. Segala permintaan dan bantuan yang diterima oleh pengamal sihir mesti didahului dengan pengakuan terhadap kekuasaan dan ketuanan jin dan syaitan. Selagi mana manusia memohon bantuan daripada selain Allah SWT dalam urusan kehidupan mereka, maka ia dikira syirik kepada Allah SWT.
Tegahan beramal dan pengamal sihir dihukum dengan kufur. Hal ini jelas di dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud: …akan tetapi puak-puak syaitanlah yang kufur (dengan amalan sihir itu); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir… (al-Baqarah:102).
Justeru itu pula Islam menentang keras perbuatan sihir dan tukang sihir. Tentang orang yang belajar ilmu sihir, al-Quran mengatakan yang bermaksud: Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka. (al-Baqarah: 102)
Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang akan mengheret si pengamalnya merosak dan menghancurkan sesuatu bangsa sebelum terkena kepada peribadi seseorang, dan dapat menurunkan kedudukan pelakunya di dunia ini sebelum pindah ke akhirat.
Oleh yang demikian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jauhilah tujuh perkara besar yang membawa kerosakan. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab baginda, iaitu:
1) Menyekutukan Allah;
2) Sihir;
3) Membunuh orang yang diharam Allah diharamkan melainkan orang memang patut dibunuh;
4) Makan harta riba;
5) Makan harta anak yatim,
6) Lari dari peperangan;
7) Menuduh perempuan-perempuan baik melakukan perbuatan jahat sedang mereka adalah wanita yang terjaga dan beriman. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Segolongan ahli fiqh menghukum perbuatan sihir dengan kekufuran, yang bermaksud sihir membawa kepada kufur.
Sementara itu ada juga yang berpendapat bahawa: ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat daripada bahaya sihir.
Al-Quran telah mengajar penganut agama Islam supaya berlindung diri dan bergantung harap hanya kepada Allah daripada kejahatan tukang sihir. Firman Allah yang bermaksud : (Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul. (al-Falaq: 4)
Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis diriwayatkan yang bermaksud: "Barang siapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barang siapa menyihir maka sesungguhnya dia telah berbuat syirik". (riwayat Tabarani)
Sebagaimana halnya Islam telah mengharamkan orang Islam bertemu dukun untuk menanyakan perkara-perkara ghaib, maka begitu juga Islam mengharamkan perbuatan sihir atau pergi ke tukang sihir untuk mengubati suatu penyakit yang telah dicubakan kepadanya, atau untuk mengatasi suatu masalah yang dideritainya.
Amalan semacam ini menyebabkan kelak Baginda tidak mengakui pengamal itu sebagai umatnya. Sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Tidak termasuk golongan kami, barang siapa yang menganggap sial kerana alamat (tahayyur) atau minta ditebak kesialannya dan menenung atau minta ditenungkan, atau menyihir atau minta disihirkan". (riwayat al-Bazzar dengan sanad yang baik).
Ibnu Mas'ud juga pernah berkata yang bermaksud: "Barang siapa bertemu tukang ramal, atau tukang sihir atau tukang tenung, kemudian ia bertanya dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW". (riwayat al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang baik).
Dan bersabda pula Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga pencandu arak, dan tidak pula orang yang percaya kepada sihir dan tidak pula orang yang memutuskan silaturahim". (riwayat Ibnu Hibban).
Haramnya sihir di sini tidak hanya terbatas kepada si tukang sihir saja, bahkan meliputi setiap orang yang mempercayai kepada sihir yang diamalkan dan percaya kepada apa yang dikatakan oleh si tukang sihir itu.
Lebih dahsyat lagi apabila sihir itu dipergunakan untuk tujuan-tujuan yang jahat, seperti memisahkan antara suami dan isteri, mengganggu seseorang dan sebagainya yang biasa dikenal dan diamalkan di kalangan ahli-ahli sihir.
Manakala hukum mempelajarinya juga haram. Dr. Umar Sulaiman al-Asqar berpendapat: "Walaupun perbuatan sihir tidak memperlihatkan secara langsung akan perbuatan kekufuran namun ia haram kerana terdapat unsur kerosakan pada akidah secara umumnya, ini kerana apabila seorang awam melihat perbuatan tukang sihir sehingga tidak dapat membezakan antara perbuatan makhluk dan pemberian Tuhan". (Dr. Umar Sulaiman al-Asqar, Alam al-Sihr, hlm: 217). Ibn Hajar al-'Asqalaniy berpendapat, sesungguhnya ayat 102 dari surah al-Baqarah menunjukkan bahawa sihir itu adalah kekufuran dan yang mempelajarinya juga adalah kufur. Yang demikian jelas dari sebahagian perbuatan si tukang sihir apabila meminta bantuan daripada syaitan, jin atau menyembah sesuatu objek".
Imam al-Nawawi berpendapat: "Mengamalkan sihir adalah haram, termasuk dalam dosa-dosa besar dan baginda telah menggolongkan dalam tujuh dosa besar. Manakala belajar dan mengajar adalah haram". (Ibnu Hajar al-'Asqalaniy, Fathu al-Bariy, jld:10, hlm: 224)
Ibnu Qudamah berpandangan: "Mempelajari ilmu sihir dan mengajarnya adalah haram, tidak kami dapati sebarang percanggahan dalam hal ini (belajar dan mengajar sihir)".
Dapat disimpulkan di sini bahawa perbuatan sihir adalah haram, mempercayai dan beramal dengan sihir juga haram. Manakala mempelajarinya dihukum haram. Namun adalah lebih baik sebagai seorang Muslim yang beriman kepada qada dan qadar Allah SWT tidak mendekatkan diri kepada sihir sama ada beramal mahupun belajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan