Bila datangnya bulan Ramadhan, umat Islam hendaklah menumpukan sepenuh perhatian untuk melaksanakan ibadah dan ketaatan dengan sebaik mungkin kepada Allah swt. Namun, apa yang menyedihkan ialah seringkali berlaku perbalahan dan pertelingkahan dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat dalam bulan Ramadhan terutamanya mengenai bilangan rakaat solat sunat Tarawih. Di samping itu, terdapat pula masyarakat Islam yang begitu beria-ia dan berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk mengerjakan solat sunat Tarawih, pada masa yang sama mereka meninggalkan solat fardhu seperti Maghrib dan Subuh. Mengapa perkara begini boleh berlaku, adakah masyarakat kita masih tidak boleh membezakan mana yang lebih utama antara sunat dan fardhu?
Perbalahan dalam perkara-perkara khilaf seperti bilangan rakaat solat tarawih ini telah menyebabkan ada yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Tidakkah mereka terfikir bahawa bermasam muka dan tidak bertegur sapa itu adalah haram, sedangkan puncanya datang daripada persoalan sunat yang menjadi khilaf di antara ulama?. Syeikh Dr. Fadl Hassan 'Abbas telah menyatakan bahawa lebih elok ditutup pintu masjid agar tidak ditunaikan solat sunat tarawih sekiranya perbalahan tentangnya menyebabkan perpecahan berlaku di antara umat Islam! Manakah yang lebih penting, solat sunat atau persaudaraan Islam?
Ada pula masyarakat Islam yang memang seronok melihat perbalahan dan pergeseran berlaku di kalangan jemaah di masjid dan di surau. Lalu mereka sentiasa membawa serta membesar-besarkan isu ini dan mengapi-apikannya. Sedangkan mereka sendiri hanya menunaikan dua rakaat solat tarawih sahaja, lantas terus ke kedai kopi untuk berbual dan membuang masa. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menghindarkan diri daripada perbalahan yang tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah kita menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah yang patut dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Solat Tarawih ialah solat sunat muakkad. Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat Tarawih, dia tidak berdosa, akan tetapi seseorang itu akan mendapat dosa sekiranya mewujudkan perbalahan tentang bilangan rakaatnya sehingga menimbulkan pergeseran di antara umat Islam di masjid. Solat Tarawih bermula sebaik sahaja seorang itu selesai daripada mengerjakan solat fardhu ‘Isya (seeloknya selepas mengerjakan solat sunat Ba‘diyah ‘Isya’ kerana solat tersebut juga adalah sunat muakkad). Waktu untuk menunaikan solat Tarawih berkekalan sehingga terbit fajar. Ia dikerjakan dengan dua-dua rakaat. Jika dikerjakan solat Tarawih itu empat rakaat dengan satu salam, maka tidak sah solatnya, kerana menyalahi yang disyariatkan. (lihat kitab Al-Majmuk: 4/38)
Persoalan mengenai jumlah raka’at solat Tarawih, sebenarnya ia merupakan perkara lama yang telah pun dibincangkan oleh ulama-ulama mu’tabar, tetapi malangnya ia sentiasa diungkit-ungkit dan ditimbulkan kekecohan oleh pihak-pihak yang masih tidak berpuas hati. Bilangan rakaat solat Tarawih adalah perkara yang termasuk di dalam perbezaan pendapat Ulama. Seseorang Muslim tidak boleh bersikap bersikap keras dalam perkara yang ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.
Mengikut Syeikh Dr. Abdul Malik al-Sa'di, tidak terdapat dalil yang benar-benar pasti tentang bilangan rakaat solat tarawih yang dilakukan oleh Rasulullah saw kerana terdapat pelbagai riwayat tentang bilangan rakaatnya. (Lihat buku al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 119). Oleh itu, semakin banyak Ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan, maka semakin banyaklah pahala yang akan diperolehi.
Terdapat segelintir umat Islam bersikap keras dengan menyatakan bahawa solat Tarawih hanya 8 rakaat, dan sesiapa yang melakukan lebih daripada 8 rakaat merupakan suatu perkara bid'ah. Hujahnya ialah hadis daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman yang bertanyakan Sayyidatuna Aisyah r.a : "Bagaimanakah solat Nabi s.a.w. di dalam bulan ramadhan?" Maka jawab Sayyidatuna Aisyah: "Nabi tidak melebihkannya di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan melebihi 11 rakaat ...(11 rakaat ialah setelah dicampur 3 rakaat Witir)" (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Kalau diteliti hadis ini, ia hanya menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w. menunaikan solat malam di dalam bulan Ramadhan dan selainnya dengan 11 rakaat. Namun begitu, dalil-dalil yang jelas menunjukkan bahawasanya solat malam ini termasuklah solat tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu, sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu 'Umar, seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang solat malam, Maka jawab baginda : "Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika seseorang kamu bimbangkan masuknya waktu subuh maka dia solatlah satu rakaat sebagai solat witir." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru apabila dilihat pendapat para ulama yang mu'tabar, akan didapati bahawa bilangan rakaat solat Tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu. Menurut Jumhur ulama' pula iaitu yang terdiri daripada ulama' aliran mazhab Syafie, Hanafi, yang rajih di sisi Imam Ahmad, al-Thauri, Daud dan sebagainya, mereka menyatakan bahawa bilangan solat Tarawih ialah 20 rakaat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya yang bermaksud: “Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) nabi, mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan Ramadhan pada zaman Umar bin al-Khattab dengan 20 rakaat.” (Telah mensahihkannya al-Hafiz al-'Iraqi dan al-Subki).
Di samping itu, terdapat riwayat daripada para ulama' salaf yang menunaikan solat sunat Tarawih lebih daripada 20 rakaat. Terdapat di kalangan mereka yang menunaikan sebanyak 46 rakaat, 41 rakaat, 39 rakaat, 36 rakaat, 34 rakaat dan 24 rakaat. Ada pula yang menunaikan 16 rakaat dan 13 rakaat. (Rujuk buku al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 120).
Menurut Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin dalam kitabnya (Fatawa Syeikh Ibn 'Uthaimin - 1/407), beliau berkata: "Dan perkara ini (bilangan rakaat Tarawih) adalah luas. Maka tidak diingkari ke atas siapa yang solat dengan 11 rakaat atau 23 rakaat….", Katanya lagi: "Tidak sewajarnya bagi kita untuk berlebih-lebihan dan melampau-lampau. Sebahagian manusia ada yang melampau-lampau dalam bentuk (kononnya) beriltizam dengan Sunnah (Nabi) dalam bab bilangan (solat Tarawih), mereka mengatakan : "Tidak boleh ada tambahan atas bilangan (solat tarawih) yang datang dari sunnah. Mereka juga mengingkari dengan keengkaran yang keras terhadap sesiapa yang melakukan penambahan dalam perkara ini, mereka mengatakan perkara tersebut adalah dosa dan derhaka. Perbuatan ini tidak syak lagi kesalahannya. Bagaimana boleh jadi dosa dan derhaka, (kerana) telah ditanya kepada Nabi s.a.w. tentang solat malam, kemudian Nabi mengatakan : "Dua rakaat, dua rakaat", dan baginda tidak menghadkan bilangan rakaatnya.... Maka apabila Nabi s.a.w. menerangkan kaifiat (cara solat) tanpa menghadkan bilangan (rakaat), telah diketahui bahawasanya dalam perkara ini adanya keluasan...."
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula berkata : "Dan solat tarawih itu bahawasanya solatnya sepertimana mazhab Abu Hanifah, al-Syafi'e, dan Ahmad dengan 20 rakaat, ataupun sepertimana mazhab Malik dengan 37 rakaat, atau 13 rakaat, atau dengan 11 rakaat, sesungguhnya (semua ini) baik, sepertimana yang telah dinaskan oleh Imam Ahmad dengan ketiadaan at-Tauqif. Maka boleh dilakukan dengan banyak rakaat dan sedikit berdasarkan panjang atau pendeknya qiam."
Ibn Qudamah pula menyatakan : "Dan yang terpilih di sisi Abu Abdillah (iaitu Imam Ahmad) r.a. (solat malam) 20 rakaat, dan inilah pendapat at-Thauri, Abu Hanifah, as-Syafi'e, dan berkata pula Malik : "36 rakaat." (Lihat kitab al-Mughni - 1/457). Imam al-Nawawi pula menyatakan: "Solat tarawih itu merupakan sunnah dengan ijmak para ulama. Mazhab kami (berpendapat) bahawasanya (bilangannya) 20 rakaat dengan 10 kali salam, boleh dilakukan sendirian dan berjemaah." (Lihat kitab al-Majmu' - 4/31).
al-Suyuti pula berkata : "Hadith-hadith yang sahih dan hasan dalam perkara qiyam Ramadhan dan galakan melakukannya tidak mengkhususkan bilangan (rakaat). Ia juga tidak juga thabit bahawasanya Nabi s.a.w. solat tarawih dengan 20 rakaat. Adapun solat malam ini, solat yang tidak disebutkan bilangannya. Baginda menghentikan (solat berjemaah) pada malam yang keempat kerana bimbang difardhukan ke atas umat, maka perkara ini akan menyusahkan mereka....." (Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah - 27/142-145) .
Jelasnya, bilangan rakaat solat Sunat Tarawih termasuk dalam perkara khilafiah yang tidak sepatutnya diperbalahkan. Sebaliknya setiap umat Islam hendaklah menumpukan perhatian untuk mewujudkan kualiti dalam Ibadah yang dilakukan serta mengikhlaskan diri kepada Allah swt. Rebutlah peluang, bonus dan ganjaran besar yang disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini. Jauhilah pertelingkahan dan pergaduhan dalam perkara-perkara furu' kerana ia hanya akan merugikan umat Islam.
Oleh: Ustaz Shauqi Othman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan