Zakat adalah salah satu Rukun Islam dan sendi untuk melengkapkan agama Islam. Pelaksanaannya dibuat selepas perintah mendirikan solat, yang menjadi tiang agama.
Firman Allah bermaksud: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.” (Surah al-Baqarah, ayat 110)
Rasulullah SAW bersabda: “Islam itu didirikan di atas lima perkara iaitu menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba-Nya serta utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa bulan Ramadhan dan beribadat haji di Baitullah bagi orang yang mampu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah memberikan amaran keras kepada orang yang lalai atau sambil lewa untuk melaksanakan kewajipan ini. Firman-Nya bermaksud: “Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak suka membelanjakannya dalam fisabilillah, maka beritahukanlah kepada mereka itu akan memperolehi seksa yang amat pedih sekali.” – (Surah Taubat, ayat 34)
Ahnaf bin Qais berkata: “Pada suatu ketika saya berada di dalam kelompok orang Quraisy. Abu Dzar lalu di kawasan itu dan dia berkata: “Beritahukanlah kepada orang yang suka menyimpan hartanya dan tidak suka berzakat bahawa mereka akan ditusuk ke dalam punggung dengan api itu sehingga keluarlah besinya dari rusuk, juga ditusuk dari dalam tengkuknya sehingga keluar besi itu dari dahi mereka.”
Ancaman itu membuktikan bahawa menunaikan zakat adalah cukup penting dan ia termasuk dalam urusan agama yang mesti diberikan perhatian.
Pada Ramadhan yang mulia ini setiap umat Islam diwajibkan menunaikan zakat fitrah. Bagi mereka yang mempunyai keupayaan menanggung keluarganya pada malam Aidilfitri dan siangnya, wajiblah dia menunaikan zakat fitrah. Kadarnya mengikut bilangan keluarga yang wajib diberi nafkah.
Walaupun bayi yang baru saja di lahirkan dan ia mendapat sebahagian daripada Ramadhan.
Sesiapa meninggal dunia sebelum tenggelamnya matahari atau lahir selepas tenggelamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan itu tidak wajib zakat fitrah ke atasnya.
Ia kerana tidak berhimpun pada mereka itu puasa Ramadhan dan berbuka puasa pada Syawal.
Menunaikan zakat fitrah sangat penting serta perlu dijadikan sebagai agenda utama bagi setiap umat, pemerintah serta kerajaan Islam.
Membayar zakat fitrah pada Ramadhan bukan saja menambahkan kemeriahannya, tetapi tersirat seribu makna dan maksud tersendiri.
Antaranya, ia menyelamatkan setiap individu dalam masyarakat daripada kehancuran.
Mengabaikan tanggungjawab berzakat sebenarnya mengundang bala dan kehancuran bagi sesebuah masyarakat.
Si kaya yang tidak berzakat tidak terdidik jiwanya menjadi manusia pengasih dan merendah diri. Jika ia berlaku lahirlah masyarakat yang anggotanya dipenuhi orang mementingkan diri sendiri dan tidak teragak-agak memijak serta menganiayai orang lain asalkan matlamatnya tercapai.
Berzakat turut mewujudkan masyarakat penyayang. Ia tuntutan agama serta fitrah manusia, malah syarat mewujudkan sebuah negara maju yang makmur.
Zakat fitrah titik-tolak untuk kita menjadikan kasih sayang serta perasaan cinta menyintai sesama insan sebagai asas perbelanjaan dan pengagihan kemewahan terkumpul.
Asas ini sangat penting supaya segala bentuk kezaliman sesama insan dapat dihapuskan dan kehidupan harmoni di dunia diwujudkan.
Berkasih sayang penting kerana:
Ia syarat mendapat kasih sayang dari Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang pengasih akan dikasihi Tuhan, kasihilah makhluk di dunia ini, nescaya kamu akan dikasihi Allah.”
Ia menjadi sumber kekuatan kepada sesebuah masyarakat.
Firman Allah: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan (jika kamu lakukan) nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”
Ia syarat untuk memasuki syurga Allah. Sabda Rasulullah SAWb diriwayatkan Imam Al-Bukhari: “Dan demi nyawaku di dalam genggamannya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman sepenuhnya sehingga kamu sayang menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih sayang, ia adalah memberi salam sesama kamu.”
Umat Islam hendaklah bersegera dalam mengeluarkan zakat dengan menyedari bahawa ia adalah antara tuntutan Rukun Islam.
Sesungguhnya, Islam seseorang belum lagi sempurna jika tidak mengeluarkan zakat.
Setiap Muslim hendaklah mengeluarkannya dengan hati terbuka, ikhlas dan bukannya berasakan ia adalah satu paksaan. Kefarduan mengeluarkan zakat fitrah pada Ramadhan adalah bukti bahawa umat Islam perlu hidup bertolak ansur dan bersatu padu tanpa membezakan status ekonomi, keturunan, pendidikan dan kadar ketakwaan.
Zakat fitrah diwajibkan pada Ramadhan kerana Allah memberi keistimewaan kepada Ramadhan sebagai bulan toleransi dan perpaduan antara kaya dan miskin.
Zakat fitrah juga berfungsi membersihkan jiwa pembayar serta menimbulkan nilai toleransi dan perpaduan orang kaya terhadap orang miskin.
Hikmatnya zakat juga dapat menyucikan diri orang yang berpuasa kerana ada kemungkinan dirinya itu mengalami kesan kelalaian, kerosakan puasanya. Begitu juga dia akan mengelakkan orang fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan