Apa itu solat Terawih?
Solat Terawih adalah solat yang dilakukan pada setiap malam di bulan Ramadhan selepas menunaikan solat Isyak dan sebelum solat witir. Ia disunatkan kepada kaum lelaki dan juga wanita.
Solat Terawih sentiasa dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan baginda menggalakkan kaum muslimin supaya mengerjakannya. Begitu juga, para sahabat dan tabi’in selepas baginda. Ia adalah antara syi’ar di bulan Ramadhan yang mempunyai fadhilat yang amat besar di sisi Allah. Di dalam hadis soheh, Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Sesiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
Maksud qiyam Ramadhan di dalam hadis di atas ialah menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah. Menurut ulamak, secara khususnya qiyam Ramadhan terhasil dengan mengerjakan solat Terawih iaitu solat sunat yang disyari’atkan khusus dalam bulan Ramadhan. Namun secara umumnya segala jenis ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan dengan niat untuk menghidupkan malam-malam itu sama ada ibadah itu berupa solat sunat, bacaan al-Quran, berzikir, menuntut ilmu dan sebagainya, semuanya dapat dianggap sebagai qiyam Ramadhan.
Bilangan Rakaat Solat Terawih
Segolongan ulamak berpendapat; bilangan rakaat solat Terawih ialah 11 rakaat termasuk witir. Mereka berdalilkan hadis dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan;
“Rasululllah s.a.w. tidak pernah menunaikan solat sama ada di bulan Ramadhan atau bulan lainnya melebihi dari 11 rakaat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Jumhur ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal berpandangan; bilangan rakaat solat Terawih ialah 20 rakaat tidak termasuk witir. Mereka berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan lainnya dengan isnad yang soheh dari sahabat yang bernama as-Saib bin Yazid r.a. (السائب بن يزيد) yang menceritakan;
“Umat Islam pada zaman Umar menunaikan solat Terawih di bulan Ramadhan 20 rakaat”.
Begitu juga, Imam Malik meriwayatkan dalam al-Muwatta’ dari Yazid bin Ruman;
“Orang ramai menunaikan solat Terawih pada zaman Umar bin al-Khattab sebanyak 23 rakaat (iaitu 20 rakaat Terawih dan 3 rakaat Witir)”.
Bagi Imam Malik; solat Terawih ialah 36 rakaat tidak termasuk witir. Beliau berhujjah dengan amalan penduduk Madinah. Berkata Imam Nafi’; “Aku mendapati orang ramai menghidupkan malam Ramadhan dengan (mengerjakan solat) 39 rakaat, mereka berwitir dengan tiga rakaat darinya”.
Jadi dalam mengerjakan solat Terawih ini terdapat keluasan bagi umat Islam. Mereka boleh memilih sama ada ingin mengerjakan 11 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w., atau 23 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh kaum muslimin di zaman Umar r.a. atau mengerjakan 39 rakaat sebagaimana amalan penduduk Madinah.
Berkata Syeikh Mahmud Khattab as-Subki dalam kitabnya ad-Din al-Khalis; “Beramal sebagaimana yang dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakar r.a. dan awal pemerintahan Umar r.a. adalah lebih utama dan lebih baik iaitu dikerjakan solat Terawih sebanyak lapan atau sepuluh rakaat tidak termasuk witir. Yang afdhal berikutnya ialah menunaikannya sebanyak dua puluh rakaat sebagaimana yang diamalkan di hujung pemerintahan Umar r.a. dan pada zaman pemerintahan Usman dan Ali r.a.. Qiyam Ramadhan (yakni solat Terawih) adalah ibadah yang digalakkan (yakni sunat) dan tidak terdapat nas dari Syarak yang membataskan bilangan rakaatnya. Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda;
“Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafak yang mendapat petunjuk (selepasku). Berpegang lah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu…”. (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Abi Najih al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.)
Jamaah Solat Terawih
Jumhur ulamak berpandangan; menunaikan solat Terawih di Masjid secara berjamaah adalah lebih baik dari mengerjakannya di rumah sendirian kerana solat secara berjamaah adalah salah satu dari syi’ar Islam sebagaimana solat hari raya dan juga kerana banyak pahalanya di mana ia melebihi dari solat sendirian sebanyak 27 darjat.
Para zaman Nabi s.a.w., para sahabat baginda mengerjakannya secara berjamaah di Masjid. Malah Nabi s.a.w. juga turut berjamaah bersama mereka walaupun diperingkat awalnya sahaja iaitu selama tiga malam. Sama halnya pada zaman Khulafak ar-Rasyidin iaitu solat Terawih dikerjakan berjamaah di masjid.
Imam Muslim meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan:
“Rasulullah s.a.w. keluar pada satu malam (di bulan Ramadhan) ke masjid, lalu menunaikan solat (yakni solat qiyam Ramadhan atau Terawih). Beberapa lelaki (yang kebetulan berada di dalam masjid) ikut sama bersolat dengan baginda. (Besoknya) orang ramai bercakap-cakap tentang hal itu menyebabkan lebih ramai yang berkumpul di masjid (pada malam kedua). Rasulullah s.a.w. keluar pada malam kedua (untuk menunaikan solat) dan orang ramai turut bersolat dengan baginda. (Besoknya) orang ramai menyebut-nyebut lagi hal itu, menyebabkan semakin ramai yang datang ke masjid pada malam ketiga. Rasulullah s.a.w, keluar lagi (pada malam ketiga untuk menunaikan solat) dan orang ramai turut bersolat dengan baginda. Pada malam ke empat, (semakin ramai yang datang) sehingga masjid menjadi sempit sehingga tidak dapat menampung orang ramai. Namun pada malam ke empat itu Rasulullah tidak keluar. Walaupun beberapa lelaki melaungkan “as-Solah!”, baginda tetap tidak keluar. Sehinggalah (apabila menjelang subuh) barulah baginda keluar untuk menunaikan solat subuh. Selesai mengerjakan solat subuh, baginda mengadap orang ramai dan berucap kepada mereka; ‘Sesungguhnya aku mengetahui keadaan kamu malam tadi. Namun (aku sengaja tidak keluar untuk mengerjakan solat bersama kamu kerana) aku bimbang akan difardhukan ke atas kamu solat malam, lalu kamu tidak mampu mengerjakannya’”. (Riwayat Imam Muslim)
Sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki berpendapat; mengerjakan solat Terawih di rumah adalah lebih baik kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Tunaikanlah solat wahai sekelian manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling baik ialah solat yang dikerjakan oleh seseorang di rumahnya kecuali solat fardhu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Tsabit r.a.)
Sebahagian ulamak yang lain pula membuat perincian bagi masalah ini untuk menghimpun antara hadis-hadis di atas di mana menurut mereka; jika sekiranya seorang muslim itu penghafal al-Quran dan tidak ada sebarang gangguan (di rumah) yang akan menghalangnya dari solat terawikh serta ia tidak rasa khuatir akan lumpuh solat di Masjid tanpa kehadirannya, maka baginya solat di rumah adalah lebih utama. Namun jika dikhutiri perkara-perkara tersebut berlaku, maka solat di Masjid adalah lebih utama.
Bacaan di dalam Solat Terawih
Disunatkan memanjangkan bacaan al-Quran di dalam solat terawih, begitu juga di di dalam solat-solat yang lain sama ada solat fardhu atau sunat. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersanda;
“Solat yang paling baik ialah yang lama berdirinya” (HR Imam Ahmad dan Muslim dari Jabir r.a.).
Maksud lama berdiri itu ialah; memanjangkan bacaan al-Quran di dalam solat kerana tempat bacaan al-Quran di dalam solat ialah ketika kita berdiri (sebelum ruku’).[1]
Namun jika kita menjadi imam hendaklah mengambil kira keadaan makmum di belakang kita. Janganlah keterlaluan memanjangkan bacaan hingga menyusahkan makmum di belakang kerana ada di antara mereka yang dhaif, tua, sakit, sibuk dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah dipendekkan bacaan sesuai dengan keadaan makmum itu.
Sabda Nabi s.a.w.;
“Jika seseorang dari kamu menunaikan solat dengan orang ramai (yakni menjadi imam kepada mereka), hendaklah ia meringankan solatnya kerana di kalangan mereka itu ada yang dhaif/lemah, sakit dan tua. Tetapi jika ia menunaikan solat seorang diri, maka perpanjangkanlah solatnya mengikut yang ia kehendaki” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Namun perlu diingatkan; maksud memendekkan bacaan bukanlah dengan terlalu pendek seperti membaca satu ayat yang pendek umpamanya membaca “سبح اسم ربك الأعلى”, kemudian terus ruku’. Sekurang-kurangnya ialah dengan membaca satu surah yang pendek seperti surah al-Kausar, al-Kafirun, al-Ikhlas dan seumpamanya atau membaca tiga ayat yang menyamai panjang surah-surah pendek itu atau membaca satu ayat panjang yang menyamainya.
Sumber: http://fiqh-am.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan