MENURUT ulama termasuk ulama besar ilmu tafsir, ada banyak faedah dan fadilat yang diperoleh daripada amalan ayat seribu dinar iaitu baris terakhir ayat kedua dan bersambung dengan ayat ketiga daripada surah al-Talaq.
Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir, melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan dan kesusahan maut.
Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin Malik al-Asyja'i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin.
Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu."
Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.
Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: "Siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya." (Hadis riwayat Ibnu Jarir)
Menyingkap khasiat dan kegunaan pelbagai surah dalam al-Quran, buku Amalan Mustajab dan Murah Rezeki hasil tulisan Nurhafiz Abdullah memberi tumpuan kepada hikayat yang dikaitkan dengan ayat seribu dinar.
Ini termasuk riwayat hartawan yang bermimpi didatangi lelaki meminta beliau bersedekah 1,000 dinar kepada fakir miskin dan kisah Malik bin Dinar yang dapat dibaca pada bahagian awal buku berkaitan ayat seribu dinar.
Pada masa sama, buku setebal 162 halaman ini turut mendedahkan fadilat dan khasiat ayat surah al-Fatihah, al-Kursi, al-Qadr, al-Ikhlas dan beberapa surah lain supaya dapat diamalkan pembaca bagi menyelesaikan masalah dihadapi dalam kehidupan.
Begitu juga doa untuk kejayaan, keberkatan hidup serta murah rezeki yang dilampirkan dalam usaha mengajak manusia tabah menghadapi ujian yang didatangkan dan berusaha mencari jalan penyelesaian dengan bermohon kepada Allah.
Ada 30 doa memohon pertolongan Allah disediakan dalam buku Amalan Mustajab dan Murah Rezeki yang boleh dijadikan panduan serta amalan harian termasuk doa memohon dibuka pintu rezeki, diberi kecerdasan akal dan hati serta memohon sentiasa dicintai Allah.
Kandungan buku ini menekankan hal berkaitan fadilat dan khasiat beramal dengan ayat wahyu Allah dalam al-Quran serta hadis Rasulullah SAW sebagai jalan keluar bagi mereka yang berhadapan kesusahan selain ingin mencapai hajat untuk diri, keluarga serta orang lain.
Buku Amalan Mustajab dan Murah Rezeki adalah rujukan sumber ilmu yang bukan saja menjadi penawar malah, malah mendorong pembaca memperbanyakkan ibadat sunat dengan membaca ayat al-Quran seterusnya menjadikannya sebahagian amalan harian.
Ilmu yang berkat adalah ilmu yang dimanfaatkan, semoga usaha penulis menyampaikan maklumat kepada pembaca yang akan memanfaatkannya membawa kedua-duanya beroleh keredaan Allah serta rahmat dalam kehidupan di dunia dan akhirat. a
Tiada ulasan:
Catat Ulasan