ALAT SEBAT
Alat sebat tidaklah dalam satu jenis dan satu bentuk sahaja sebat bolehlah dijalankan dengan menggunakan rotan atau pelepah tamar atau ranting kayu ataupun hujung kain bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksudnya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.
Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya maka itu hendaklah sederhana ukurannya jangan terlalu muda atau terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah. Ini kerana tujuan yang sebenar hukuman sebat bukan hendak membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.
Maksudnya : Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya, seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah SAW. didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda minta tongkat yang lain, apabila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah SAW menolaknya lagi dan meminta tongkat yang sangat sederhana yang tidak keras, Rasulullah SAW menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya.
CARA MELAKSANAKAN SEBAT
Ketika melaksanakan hukuman sebat hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya sehingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkatan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya.
ANGGOTA-ANGGOTA YANG BOLEH DIPUKUL
Pukulan hendaklah diatur supaya kena merata-merata anggota tubuh badan pesalah itu kecuali muka, kepala dan dada ditegah sama sekali memukulnya dan tidaklah boleh disebat hanya setempat sahaja.
KEADAAN PESALAH
Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakain yang tebal atau beralas yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereka berpakaian demikian "tebal" hendaklah diganti dengan pakaian yang nipis "sederhana".
PESALAH MENGANDUNG
Dan jika pesalah mengandung hendaklah ditunggu sehingga melahirkan anak sama ada anak kandungan itu dari perbuatan zina atau tidak dan sembuh dari sakit beranak serta suci dari darah nifas dan tenaganya sudah pulih. Ini berdasarkan kepada hadis berikut :
Maksudnya : Dari Sayyidina Ali RA bahawa beliau berkata : Bahawa seorang Amah "Hamba" Rasulullah SAW telah berzina maka Rasulullah SAW telah mengarahkan kepadaku supaya aku jalankan hukuman sebat ke atasnya sedangkan ianya masih baru melahirkan anak, maka aku bimbang jika aku jalankan sebat ke atasnya akan membunuhnya, lalu aku beritahu keadaan itu kepada Rasulullah SAW , maka sabda Rasulullah "Biarlah dahulu dia sehingga sembuh dari sakit beranaknya kemudian boleh sesudah itu kamu jalankan hukuman ke atasnya".
PESALAH SAKIT
Jika didapati pesalah dalam keadaan sakit dan penyakitnya ada harapan untuk sembuh maka hendaklah ditunggu sehingga dia betul-betul sembuh kerana jika dijalankan juga semasa pesalah itu sedang sakit akan bertambah berat penyakitnya dan mungkin boleh membinasakannya. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta-merta tanpa menunggu dan membuang masa lagi tetapi dengan satu syarat, bahawa rotan yang digunakan tidak akan membinasakannya. Oleh itu hendaklah menggunakan ranting kayu atau rotan yang kecil atau pun pelepah tamar yang kecil dan jika ukuran ini juga dibimbang akan membawa maut kepadanya maka bolehlah dikumpulkan seratus ranting kayu atau seumpamanya dan diikat dalam satu ikatan dan disebat dengannya satu kali. Cara begini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW supaya dilakukan ke atas seseorang lelaki yang berzina yang sakit berat tidak mempunyai harapan untuk sembuh.
Maksudnya : Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang sakit merana dengan satu pukulan dengan seratus mayang tamar yang diikat "seikat" kerana lelaki itu telah melakukan perbuatan zina.
Ini kerana pesalah yang sakit merana tidak mempunyai harapan untuk sembuh sama ada dibiarkan tanpa dijalankan hukuman sebat kerana penyakitnya atau dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah pasti jika dilaksanakan sepenuhnya akan membawa maut kepadanya dan di dalam keadaan begini diambil jalan, tengah iaitu disebat satu kali dengan seratus mayang tamar seumpamanya yang diikat dengan satu ikatan sahaja
Firman Allah :Maksudnya : Dan ambillah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah dengannya dan janganlah engkau menyalahi sumpahmu itu. (Surah Sod : 44)
Dengan cara yang demikian adalah lebih baik dari biarkan tanpa menjalani hukuman atau dibunuh pesalah yang sakit yang tidak sampai kepada hukuman yang wajib dibunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan