Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada di dalam Masjid Nabawi, Madinah. Selepas menunaikan sembahyang, baginda menghadap para sahabat untuk bersilaturahim dan memberikan bimbingan. Tiba-tiba, masuklah seorang lelaki ke dalam masjid, lalu melaksanakan sembahyang dengan cara yang amat cepat.
Setelah selesai, ia segera menghampiri Rasulullah s.a.w dan mengucapkan salam. Nabi berkata pada lelaki itu, "Sahabatku, engkau tadi belum sembahyang!"
Lelaki tersebut tentu sahaja amat terkejut mendengar perkataan Rasulullah s.a.w. Ia pun kembali menunaikan sembahyang. Lelaki itu bersembahyang dengan cara yang dilakukannya sebelumnya iaitu dengan kadar yang amat cepat. Rasulullah s.a.w. tersenyum melihat "cara" lelaki itu bersembahyang.
Selepas bersembahyang buat kali kedua, ia kembali menghampiri Rasulullah. Bagaimanapun lelaki itu amat terkejut apabila Rasulullah menyuruhkan menunaikan sembahyang sekali lagi.
Dengan taat ia menunaikan perintah Rasulullah, namun bersembahyang dengan cara yang sebelumnya.
Namun Rasulullah masih menyuruh lelaki tersebut mengulangi sembahyangnya, sehingga ia bertanya; "Wahai Rasulullah, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak mampu melaksanakan sembahyang dengan lebih baik lagi. Kerana itu, ajarilah aku!"
"Sahabatku," kata Rasulullah s.a.w. dengan tersenyum, "Jika engkau berdiri untuk melaksanakan sembahyang, maka bertakbirlah, kemudian bacalah Al-Fatihah dan surah dalam al-Quran yang engkau rasa paling mudah. Lalu, rukuklah dengan tenang (thoma'ninah), lalu bangunlah hingga engkau berdiri tegak. Selepas itu, sujudlah dengan tenang, kemudian bangunlah hingga engkau duduk dengan tenang. Lakukanlah seperti itu pada setiap rakaat sembahyang mu."
Kisah daripada Mahmud Al Anshari dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Shahihnya ini memberikan gambaran bahawa sembahyang tidak cukup sekadar "betul" pelaksanaannya, tetapi juga harus dilakukan dengan thoma'ninah, tenang, dan khusyuk.
Kekhusyukan akan sukar diperoleh sekiranya pergerakan fizikal tidak membantu. Misalnya, bersembahyang dengan cara yang cepat dan terburu-buru. Sebab, dengan pergerakan yang cepat, seseorang akan sukar menghayati setiap bacaan dan tumpuan akan menjadi berkurangan. Sekiranya amalan ini menjadi kebiasaan, maka peranansembahyangsebagaipencegah perbuatan keji dan mungkar kurang berkesan. Inilah rasional apabila Rasulullah s.a.w. menganggap orang
yang melakukan sembahyang dengan cepat (tidak tumaninah) umpama tidak bersembahyang
Hikmah Pergerakan dalam Sembahyang
Sebelum melihat makna bacaan sembahyang yang dapat melahirkan ketenangan jiwa, atau "jalinan komunikasi" antara hamba dengan Tuhannya, secara fizikal sembahyang pun mengandungi banyak keajaiban.
Setiap gerakan sembahyang yang dicontohkan Rasulullah s.a.w. mempunyai banyak hikmah dan bermanfaat bagi kesihatan. Syaratnya, semua pergerakan tersebut dilakukan dengan sempurna, tumaninah serta istiqamah (dilakukan secara berterusan).
Dalam buku Mukjizat Gerakan Shalat, Madyo Wratsongko MBA. mengungkapkan bahawa pergerakan dalam sembahyang dapat mengendurkan urat saraf dan mengaktifkan sistem haba dalam tubuh. Selain itu juga membuka pintu oksigen ke otak, mengeluarkan arus negatif dari tubuh, membiasakan pembuluh darah halus di otak mendapatkan tekanan tinggi, serta membuka pembuluh darah di bagian dalam tubuh (arteri jantung).
Kita dapat menganalisis kebenaran sabda Rasulullah s.a.w. pada kisah awal. "Jika engkau berdiri untuk melaksanakan sembahyang maka bertakbirlah."
Semasa takbir Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tangannya ke atas hingga separas dengan bahu (HR Bukhari dari Abdullah bin Vmar). Takbir ini dilakukan ketika hendak rukuk, dan ketika bangkit dari rukuk.
Baginda pun mengangkat kedua tangannya semasa sujud. Apa rahsianya? Pada saat kita mengangkat tangan separas bahu, maka automatik kita membuka dada, memberikan aliran darah dari pembuluh yang terdapat di lengan untuk dialirkan ke bagian otak
bagi mengatur keseimbangan tubuh.
"Rukuklah dengan tenang (tumaninah)." Ketika rukuk, Rasulullah s.a.w. meletakkan kedua telapak tangan di atas lutut (HR Bukhari dari Sa'ad bin Abi Waqqash). Apa rahsianya? Rukuk yang dilakukan dengan tenang dapat merawat kelenturan tulang belakang yang berisi sumsum tulang belakang (sebagai pusat saraf manusia). Rukuk pun dapat memelihara kelenturan tuas sistem keringat yang terdapat di belakang pinggang, paha dan betis belakang.
Demikian pula tulang leher, tengkuk dan saluran saraf memori dapat terpelihara kelenturannya apabila rukuk. Kelenturan saraf memori dapat dijaga dengan mengangkat kepala secara maksimum dengan mata mengharap ke tempat sujud.
"Lalu bangunlah hingga engkau berdiri tegak." Apa rahsianya? Semasa berdiri dengan mengangkat tangan, darah dari kepala akan turun ke bawah, sehingga bagian pangkal otak yang mengatur keseimbangan berkurang tekanan darahnya. Hal ini dapat menjaga saraf keseimbangan tubuh dan berguna mencegah pengsan secara tiba-tiba.
"Selepas itu, sujudlah dengan tenang." Apa rahsianya? Apabila pergerakan ini dilakukan dengan betul, sujud dapat memaksimumkan aliran darah dan oksigen ke otak atau kepala, termasuk pada mata, telinga, leher, serta hati. Cara seperti ini efektif untuk membongkar sumbatan pembuluh darah di jantung, sehingga risiko terkena jantung koroner dapat diminimumkan.
"Kemudian bangunlah hingga engkau duduk dengan tenang." Apa rahsianya? Cara duduk di antara dua sujud dapat menyeimbangkan sistem arus dalam tubuh kita. Selain dapat menjaga kelenturan saraf di bahagian paha, cekung lutut, cekung betis, sehingga jari-jari kaki. Subhanallah!
Masih ada pergerakan sembahyang lainnya yang pasti memiliki hikmah dan rahsia, termasuk amalan berwuduk. Semua ini memperlihatkan bahawa sembahyang adalah anugerah terindah daripada Allah SWT pada hamba-hambaNya yang beriman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan