Menghayatinya mendatangkan ketenangan, hilangkan keresahan tanpa dikesan
SAMBIL santap pada pagi Jumaat lalu, penulis terbaca satu laporan AFP dari Jepun yang menyatakan sebuah syarikat penerbitan di negara itu memohon maaf kerana keterlanjuran memaparkan al-Quran dalam siri kartun terbitan mereka, Jojo's Bizarre Adventure.
Dalam filem siri kartun yang diilhamkan daripada cerita komik kanak-kanak yang sudah dicetak sebanyak 70 juta naskhah di Jepun, dipaparkan bagaimana seorang penduduk kampung membawa imej al-Quran dan juga satu pertempuran di dalam masjid.
Komik ini sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia kecuali Bahasa Arab dan diedarkan ke merata tempat termasuk Amerika Utara, Eropah dan Asia..
Syarikat penerbitnya, Shueisha, pada satu sidang akhbar memohon maaf di atas kesilapan mereka itu yang boleh mengguris hati umat Islam. Permohonan maaf ini, menurut mereka, didasarkan kepada suatu fakta bahawa al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang tidak boleh dipersenda apatah lagi sampai ke tahap penghinaan.
Pada 20 Mei lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush juga sudah meminta maaf kepada Perdana Menteri Iraq atas tindakan seorang askar AS menjadikan naskhah al-Quran sebagai sasaran latihan menembak di Iraq. Permohonan maaf itu datang selepas Perdana Menteri Iraq itu memaklumkan kepada Bush mengenai kekesalan dan kemarahan rakyat serta kerajaan Iraq atas tindakan keji askar AS terbabit dan Kabinet Iraq menuntut askar berkenaan dikenakan tindakan keras dan memberi amaran 'tindakan keras' akan diambil jika insiden serupa berulang lagi.
Kadangkala kita tidak habis fikir bagaimana manusia boleh melakukan perbuatan demikian yakni menjadikan mushaf al-Quran sebagai sasaran menembak? Apa ada pada sebuah buku? Mengapa mereka sampai hilang akal sehingga sebuah kitab yang sememangnya tidak boleh buat apa-apa pun secara fizikal dijadikan tempat melampiaskan kemarahan, ketidaksukaan dan kebencian mereka kepada ajaran yang dibawanya iaitu Islam? Sungguh, kita sememangnya tidak pernah akan mengerti kecuali dengan memahami firman Allah yang bermaksud: "(Selepas diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran?" (Surah Muhammad: 24)
Memahami serta memikirkan isi al-Quran adalah syarat keselamatan hidup di dunia dan akhirat bagi setiap insan tidak kira agama, bangsa, puak dan kedudukannya. Dan dalam syarat kedamaian dan keamanan dunia secara mikro adalah manusia mesti memahami umat Islam.
Akhbar ini, Khamis lalu menurunkan laporan yang menyatakan bahawa Menahem Froman, Pendeta Yahudi Ortodok paling terkenal Israel percaya satu-satunya cara untuk merapatkan jurang antara Islam dan Barat serta mencapai keamanan di Asia Barat ialah dengan menghormati dan memahami Dunia Islam. Katanya, keamanan tidak wujud di Tanah Suci kerana Barat tidak menghormati Dunia Timur dan Islam. Kesombongan, keangkuhan, tidak berakhlak yang ditonjolkan penduduk AS dan Yahudi memang tidak boleh diterima olehnya dan umat Islam.
Beliau mencadangkan sebagai satu daripada jalan penyelesaian masalah di atas supaya wakil pentadbiran AS di negara asing mengambil cuti selama setahun dan mengkaji al-Quran serta Hadis.
Dengan berbuat demikian, orang Barat akan menemui banyak keistimewaan dalam proses memahami agama dan budaya Dunia Islam. Beliau berkata: "Islam adalah empayar kerohanian dan ada perkara perlu dipelajari darinya." Sebuah kesaksian daripada seorang pendeta Yahudi yang mengharukan.
Al-Quran adalah kitab petunjuk yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Firman Allah tafsirnya: "Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji." (Surah Ibrahim: 1)
Al-Quran diturunkan Yang Maha Mencipta, Allah untuk menjadi penengah dalam menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan manusia. Al-Quran menyatakan maksudnya: "Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisih), maka Allah mengutuskan nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama nabi itu kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan." (Surah al-Baqarah: 213)
Orang yang membenci al-Quran seperti Geert Wilder dengan filem dokumentarinya, Fitna di Belanda dan askar Amerika di Iraq itu mempunyai sebab tertentu mengapa mereka berbuat demikian. Malangnya, sebab itu tidak masuk akal selain ia hanya ilusi kebencian yang telah ditanamkan pihak tertentu selama ini sehingga al-Quran tidak mempunyai nilai apa-apa di mata mereka. Padahal al-Quran adalah kalam Ilahi Yang Maha Agung.
Mereka menyalah tafsir al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menetapkan wujudnya Allah yang mencipta seluruh alam sedangkan mereka menginginkan bahawa Allah tidak wujud dan semua alam adalah terjadi dengan sendirinya.
Mereka menyalah tafsir al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menyebutkan kesimpulan sifat kebesaran dan sifat kesempurnaan Allah sedangkan bagi mereka Allah tidak mempunyai sifat sedemikian agar mereka boleh melakukan apa saja yang mereka ingin lakukan.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak mereka akan menerima balasan amalnya sedangkan mereka menginginkan kebebasan sepenuhnya tidak ada pahala dan dosa yang ada adalah hidup di dunia saja.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan Allah iaitu untuk beribadat kepada-Nya sedangkan mereka menginginkan tidak dibebani dengan apa-apa beban di dunia ini. Yang mereka inginkan tidak ada ibadat yang mengekang kebebasan mereka pada hal ibadat dengan segala jenisnya tidak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan menyucikan jiwa.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran memperkatakan kelemahan manusia, bahawa dia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah dan izin-Nya sedangkan mereka menganggap bahawa mereka dapat melakukan apa saja kerana kekuasaan akal fikiran mereka.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menerangkan bahawa perkara utama dihajati dan dimohon dari Allah ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan dan cara melaluinya sedangkan mereka dengan bangga dan sombong mengisytiharkan bahawa mereka tidak memerlukan apa-apa daripada yang dinamakan Tuhan kerana mereka boleh menempuh jalan yang mereka suka dan mencorak peribadi mereka seperti yang mereka inginkan.
Dan, mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah umat manusia yang lalu dan hal ehwalnya supaya dia memilih akan apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri daripada apa yang menyebabkan kecelakaan mereka sehingga dapatlah dihidu di dunia ini dalam keadaan yang selamat, dan berjaya mendapat nikmat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga, sedangkan mereka mendakwa bahawa mereka tidak perlu mengambil iktibar daripada kisah lalu kerana ia hanya akan merugikan mereka dan mereka berasa kuasa untuk melakukan apa jua dengan tidak perlu menoleh ke belakang.
Inilah, mungkin beberapa sebab mengapa al-Quran disalah faham seperti yang kita simpulkan daripada kandungan ajaran dalam surah al-Fatihah, (Pembuka) yang mempunyai tujuh ayat.
Al-Quran pernah berjaya mencorak dan membina sebuah generasi cemerlang yang dilahirkan dalam sejarah tamadun manusia di mana menerusi keberhasilan itu umat manusia yang lain membencinya. Al-Quran menegaskan maksudnya: "Pada hari ini, orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku." (Surah al-Maidah: 3)
Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada Ibn Mas'ud, seorang sahabat Nabi yang faham benar mengenai al-Quran, meminta nasihat kepada beliau seraya berkata: "Wahai Ibn Mas'ud, berilah nasihat yang dapat aku jadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku berasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tak enak tidur pun tak nyenyak."
Maka Ibn Mas'ud pun menasihatinya dengan katanya: "Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau mencari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat menyembah Allah seperti pada waktu tengah malam di mana manusia sedang nyenyak tidur, engkau bangun solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati.
Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini maka engkau minta kepada Allah agar diberikan-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu, bukan lagi hatimu.
Selepas orang itu kembali ke rumahnya, diamalkannya nasihat Ibn Mas'ud itu. Dia mengambil air sembahyang kemudian diambilnya al-Quran terus dia baca dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca al-Quran, berubahlah kembali jiwanya menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang tanpa kesan.
Nampaknya, kelebihan al-Quran inilah yang orang membenci al-Quran tidak menyedarinya. Seandainya mereka dengan jiwa yang tenang dan bersih mahu merujuk al-Quran seperti cadangan Froman jika mereka tidak mahu dengar seruan al-Quran, sudah tentu hati, jiwa, dan fikiran mereka akan tenteram, damai dan sejahtera. Dan pada akhirnya, mereka tidak akan membuat Fitna atau menjadikan al-Quran sasaran tembak lagi. Ini bagi bukan Islam, bagaimana orang Islamnya? Wallahu a'lam. Intipati: Mengapa al-Quran disalah tafsir
# Kerana al-Quran menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak mereka akan menerima balasan amalnya sedangkan mereka menginginkan kebebasan sepenuhnya tidak ada pahala dan dosa.
# Kerana al-Quran menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan Allah iaitu untuk beribadat kepada-Nya sedangkan mereka menginginkan tidak dibebani apa-apa beban di dunia ini. Yang mereka inginkan tidak ada ibadat yang mengekang kebebasan mereka pada hal ibadat dengan segala jenisnya tidak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan menyucikan jiwa.
# Kerana al-Quran memperkatakan kelemahan manusia, bahawa dia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah dan izin-Nya sedangkan mereka menganggap mereka dapat melakukan apa saja kerana kekuasaan akal fikiran mereka.
# Kerana al-Quran menerangkan bahawa perkara utama dihajati dan dimohon daripada Allah ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan membawa kebahagiaan dan cara melaluinya sedangkan mereka dengan bangga dan sombong mengisytiharkan mereka tidak memerlukan apa-apa daripada yang dinamakan Tuhan kerana mereka boleh menempuh jalan yang mereka suka dan mencorak peribadi seperti yang mereka inginkan.
Oleh Abdurrahman Haqqi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan