SYEIKH Sya'rawi berkata: "Allah s.w.t. selepas menjelaskan pendustaan mereka, antara lain sekali-kali mereka tidak bercita-cita untuk mati kerana mereka zalim dan selama mana dalam kezaliman sudah tentu kematian perkara yang menakutkan kepada orang-orang Yahudi. Merekalah sebenar-benar manusia yang loba untuk hidup sehingga mengatasi golongan syirik kerana orang musyrik mahu hidup dengan beranggapan bahawa dunia merupakan matlamat sedangkan Yahudi pula amat loba untuk hidup daripada golongan musyrikin kerana mereka takut mati disebabkan amalan buruk mereka. Justeru, panjang usia hidup mereka maka sangkaan mereka jauh daripada azab akhirat. mereka menghadapi azab. Justeru, mereka amat gembira dengannya."
Firman Allah, "Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya daripada azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman." (Al-Baqarah: 96 dan 97)
Firman Allah s.w.t.: Demi sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) akan mendapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Pasti kamu dapati golongan Yahudi setamak-tamak manusia untuk hidup bahkan lebih tamak daripada orang musyrikin
sendiri. Ini kerana mereka mempunyai ilmu dan pengetahuan bahawa mereka akan dihumban ke dalam neraka dengan sebab dosa mereka.
Terdapat dua pandangan ulama berkenaan dengan mereka yang syirik:
1. Orang-orang Majusi seperti pendapat Ibn Abbas, Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.
2. Orang-orang Musyrikin Arab seperti pendapat Muqatil.
Justeru, tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup 1,000 tahun, iaitu setiap orang di kalangan mereka bercita-cita dan berhajat untuk hidup sehingga usia itu.
Sayyid Qutub berkata: "Yakni setiap orang daripada mereka berangan-angan untuk hidup 1,000 tahun. Ini kerana mereka tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah dan tidak berasa adanya suatu hidup yang lain untuk mereka selain daripada hidup di dunia ini.
"Sesiapa yang menuntut pintu yang menuju kepada hayat yang kekal abadi bererti gambaran hakikat hidup di dalam jiwanya telah cacat dan padam sama sekali. Keimanan kepada hayat akhirat – di samping merupakan kepercayaan terhadap keadilan Allah yang mutlak dan balasan-Nya yang sempurna – merupakan petanda yang menunjukkan bahawa jiwa
seseorang itu dipenuhi kecergasan dan keaktifan, dipenuhi cita-cita hidup yang tidak terbatas setakat perbatasan-perbatasan bumi, malah menjangkau ke hayat yang kekal abadi, bebas dan hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Ia juga menjangkau ke tangga-tangga yang tinggi menuju kepada perdampingan dengan Allah."
Umur
Padahal umur panjang yang demikian tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan tidaklah umur mereka yang panjang boleh menjauh dan menyelamatkan mereka daripada azab Allah.
Ibn Abbas r.a berkata: "Orang Yahudi datang bertemu Nabi s.a.w seraya bertanya: `Siapakah yang datang kepadamu daripada kalangan malaikat?' Sabda Nabi s.a.w: `Jibril'. Lantas mereka berkata: `Malaikat tersebut turun dengan membawa peperangan. Itu musuh kami'. Kemudian turunnya ayat ini dan ayat selepasnya.
"Katakanlah (wahai Muhammad): `Sesiapa memusuhi Jibril. Katakanlah Muhammad kepada mereka, siapa yang menjadikan musuh kepada Jibril sebenarnya dia menjadi musuh kepada Allah Taala. Ini kerana Allah menjadikannya perantara di antara-Nya dan Rasul-rasul. Maka sesiapa yang memusuhinya sebenarnya dia memusuhi Allah Taala'."
Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: Jibril a.s. dibaca dengan sembilan bacaan:
1. Jibril iaitu bahasa Ahli Hijaz. Inilah bacaan Ibn `Amir dan Abu `Amr.
2. Jabril. Inilah bacaan al-Hasan al-Basri, Ibn Kathir dan Ibn Muhaisin.
3. Jabraiil. Inilah bacaan A'masyh, Hamzah dan al-Kisaie.
Al-Zajjaj berkata: "Ia sebaik-baik bacaan."
4. Jabrail. Inilah yang diriwayatkan oleh Abu Bakar daripada `Asim.
5. Jabraill. Iaitu bacaan Abban daripada `Asim dan Yahya bin Ya'mur.
6. Jjibrail.
7. Jibrayil.
8. Jabrin.
9. Jibrin iaitu bahasa Bani Asad.
Ibn al-Anbari menyatakan berhubung dengan Jibril a.s. terdapat sembilan bahasa atau bacaan. Sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah. Hal ini kerana sesungguhnya Jibril a.s. yang bersifat amanah, menurun al-Quran atas hati Muhammad s.a.w. dengan arahan Allah. Maksudnya Jibril a.s itu
bukannya didorong oleh keinginan dan kemahuannya sendiri menurunkan al-Quran ke dalam hatimu, malah dia hanya melaksanakan perintah Allah menurunkan al-Quran ini ke dalam hatimu. Hati itu merupakan wadah penerima wahyu dan hatilah yang memahami wahyu setelah menerimanya. Dalam hatilah diletak dan dipeliharakan al-Quran itu. Kata-kata qalbu dalam al-Quran mengungkapkan daya kefahaman dan pemikiran secara menyeluruh dan ia tentunya bukan dimaksudkan dengan seketul anggota yang dikenali umum itu.
Ia mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Al-Quran pada umumnya membenarkan segala kitab Samawi yang diturunkan sebelumnya. Ini kerana asas agama Allah itu sama sahaja dalam semua kitab Samawi dan seluruh agama Ilahi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan