ISLAM satu-satunya agama diredai Allah yang menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan akhirat. Malah, Islam juga adalah agama yang memelihara kehidupan umatnya daripada perkara mudarat dan merosakkan.
Oleh itu, Islam mensyariatkan hukum halal dan haramnya dalam setiap aspek kehidupan umatnya. Setiap Muslim wajib memelihara perkara yang halal dan haram dalam pemakanannya supaya tidak termasuk bahan haram yang akhirnya menjadi isi daging.
Bagi daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka api neraka bahan pembakarnya. Ini jelas daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap daging badannya yang tumbuh daripada benda haram (yang menghilangkan berkat), maka nerakalah yang lebih utama bagi orang itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Oleh itu, setiap Muslim wajib berhati-hati terhadap pemakanannya supaya bersih daripada sumber yang haram. Akan tetapi, seseorang Muslim juga harus peka dan
sensitif terhadap perkara haram yang lain selain pemakanan.
Setiap apa yang diharamkan Allah adalah luas dan banyak. Ia bukan hanya meliputi makanan tertentu, bahkan ia juga gaya kehidupan, perbuatan, persepsi dan pandangan asing yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.
Perlu diinsafi, Allah mengharamkan beberapa jenis makanan adalah untuk kebaikan dan kesihatan kehidupan Muslim. Begitu juga Allah mengharamkan beberapa cara dan gaya kehidupan asing seperti budaya hidup bebas, berkhalwat, bertukar pasangan, berpeleseran di jalanan tanpa arah tujuan untuk memelihara kesejahteraan Muslim serta masyarakat untuk hidup dengan harmoni.
Dalam pada itu, Allah mengharamkan syirik iaitu menyembah sesuatu yang lain daripada Allah. Perlu ditegaskan mensyirikkan Allah bukan setakat menyembah selain daripada Allah, sifat takbur dan riak termasuk dalam perbuatan mensyirikkan Allah.
Takbur bermaksud membesarkan dan mengagungkan dirinya sendiri. Hanya Allah saja layak bersifat demikian, manakala manusia sebagai hamba-Nya tidak layak mempunyai sifat itu. Riak pula adalah menunjuk perbuatan baik supaya dilihat dan dipuji orang lain
sedangkan apabila bersendirian, dia tidak melakukan perbuatan baik itu.
Islam sudah mempunyai cara hidupnya tersendiri yang serba lengkap dan menyeluruh merangkumi setiap aspek kehidupan umatnya. Islam juga menyusun adab kehidupan yang luhur menampilkan ajaran mulia supaya kehidupan umatnya berlangsung dengan penuh gemilang dan terhormat.
Dalam Islam, kehidupan umatnya tidak dapat dipisahkan daripada kerangka akidah, ibadat dan akhlak yang menjadi tonggak utama kesejahteraan hidup umat Islam. Di samping itu, ada peraturan dan batas larangannya yang wajib dipatuhi supaya hidup dapat berlangsung dengan teratur.
Allah juga mengharamkan beberapa persepsi dan pandangan yang haram seperti mempunyai prasangka buruk terhadap orang lain, menuduh orang lain dengan tuduhan palsu, mengumpat serta memfitnah bagi memelihara kerukunan hidup umatnya.
Malah di antara sifat Muslim sejati ialah memelihara dirinya daripada perkara yang sia-sia sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan. Tiada perkataan dan amalan yang lebih baik pada sisi Allah melainkan perkataan dan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan, seterusnya berkata, sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman.” (Surah Fussilat, ayat 33)
Jika setiap Muslim dapat menjaga makanan dan minumannya daripada terkena bahan yang haram dan najis, pada masa sama, adakah seseorang Muslim menjaga dirinya daripada perbuatan yang haram?
Adakah dia menjaga kelakuannya daripada perkara yang haram? Adakah dia menjaga matanya daripada melihat benda yang haram? Adakah dia juga menjaga lidahnya daripada mengatakan perkara yang haram?
Jelas di sini kewajipan setiap Muslim bukan hanya setakat memelihara makan minumnya daripada sumber yang haram, malah Muslim juga wajib memelihara segala perbuatannya, persepsinya, kelakuannya dan pandangannya daripada perkara yang haram.
Tidak ada ertinya jika seorang Muslim itu hanya menjaga pemakanannya daripada benda haram tetapi pada masa sama dia melanggar batas larangan Allah yang lain.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Begitulah sebenarnya kewajipan setiap Muslim yang mengaku beriman kepada Allah. Antara tuntutan beriman kepada Allah ialah tunduk dan patuh dengan penuh ikhlas terhadap segala perintah dan larangan Allah.
Dalam hal ini, setiap Muslim tidak sewajarnya hanya memelihara sebahagian saja daripada perintah dan larangan Allah, tetapi meninggalkan pula perintah dan larangan Allah yang lain. Ini bukanlah sifat Muslim yang sebenarnya di sisi Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) hukum-hakamnya dengan keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Surah al-Baqarah, ayat 208)
Akhirnya, perlu diinsafi setiap sesuatu yang Allah perintah atau larang kepada umatnya ada rahmatnya dan hikmah yang tersurat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk sekalian hamba-Nya dan Allah tidak sekali-kali bersifat zalim terhadap hamba-Nya walau sedikitpun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan