DALAM sejarah Islam, Islamfobia bermula sejak agama itu disebarkan secara terbuka pada awal tahun ketiga kenabian, Muhammad SAW selepas Baginda menerima wahyu bermaksud: “Oleh itu, sampaikanlah secara berterus terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu,” (Surah al-Hijr: 94) dan “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (Surah al-Syu’ara: 214)
Sejurus menerima wahyu di atas, Baginda terus melaksanakannya dan memaklumkan kepada orang Quraisy bahawa maksudnya: “Dan katakanlah, sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (berhubung turunnya azab ke atas orang yang ingkar).” (Surah al-Hijr: 89)
Bermula dari situlah roda sejarah Islamfobia dalam sejarah Islam yang dibawa Muhammad SAW berputar di mana sebelum itu yakni seruan kepada Islam secara senyap-senyap tidak pernah dihiraukan oleh penduduk Makkah. Kecaman yang melambangkan Islamfobia dilaungkan oleh bapa saudara Baginda sendiri iaitu Abu Lahab sehingga namanya dijadikan ristaan zaman yang berkekalan dalam al-Quran. (Surah al-Masad). Sememangnya, Islamfobia membawa kepada kebinasaan seperti disebutkan dalam ayat pertamanya bermaksud:
“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah dia bersama.”
Tafsir pimpinan ar-Rahman menjelaskan bahawa ayat ini dengan katanya: “Ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya, memberi pengajaran kepada sesiapa yang memusuhi apa yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW kerana menurut hawa nafsunya dan mengutamakan kepercayaan, adat istiadat dan perbuatan-perbuatan (yang salah) yang biasa dilakukan turun-temurun; dan juga kerana terpedaya dengan harta benda dan kuat kuasa serta pengaruh yang ada padanya, padahal semuanya itu tidak akan memberikan sebarang faedah kepadanya pada hari akhirat bahkan ia akan menerima azab neraka.”
Penulis sengaja mengulangi kenyataan “dalam sejarah Islam yang dibawa oleh junjungan kita, Muhammad SAW” berkenaan dengan Islamfobia kerana dari sudut sejarah kerasulan sebenarnya Islamfobia sudah wujud sejak awal pengutusan nabi dan rasul bukan hanya bermula pada zaman moden ini. Dan Islam adalah satu-satunya agama Allah seperti disebutkan dalam Surah Ali ’Imran ayat 19 maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
Dalam catatan sejarah yang paling sahih sumbernya yakni kitab suci al-Quran al-Karim, kisah Islamfobia dapat kita baca dalam kisah Nabi Nuh AS. Ketika itu manusia sudah terpesong daripada agama Islam yang diturunkan bersama Adam AS dan ditegaskan oleh Nabi Syits AS. Mereka sudah menyembah orang salih mereka yang dijadikan berhala ketika Nuh berseru maksudnya: “Dia pun menyeru mereka dengan berkata: “Wahai kaumku!
Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata.” (Surah Nuh: 2) Seruan yang sama dengan seruan junjungan kita di atas.
Kemudian, seruan Nuh ini dijawab kaumnya dengan berkata maksudnya: “Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwa’, Yaghuth dan Ya’uq serta Nasr.” (Surah Nuh: 23)
Malah, andainya kita menelusuri sejarah awal penciptaan manusia maka kita akan mendapati bahawa Islmfobia sudah wujud dalam kisah yang ditulis Ibn al-Qayyim: “Hendaklah anda tahu bahawa iblis yang sungguh berdaya upaya untuk membelit manusia, dosanya yang pertama sekali ialah kekeliruannya terhadap perintah (Allah), sehingga ia membelakangkan perintah yang sudah jelas menyuruhnya bersujud (kepada Adam),
lalu ia mula membandingkan dalam hal asal kejadiannya dengan manusia, lalu dia berkata: "Engkau (Tuhan) menjadikan aku daripada api dan Engkau menjadikan dia
(Adam) daripada tanah.” (Surah Shad: 76)
Tidak cukup dengan itu, iblis mengulangi lagi keingkarannya terhadap Tuhan Maharaja yang bijaksana dengan berkata: “Apakah Engkau tiada melihat orang yang Engkau muliakannya atas diriku?!" (Surah al-Isra': 62)
Maksudnya, kenapa Engkau, wahai Tuhan, melebihkan dia daripada diriku? Tegasnya bantahan syaitan itu adalah seperti protes untuk menunjukkan bahawa apa yang
dibuat oleh Allah itu tidak bijaksana, sebab itu syaitan berani mengatakan pula: "Aku (kata syaitan) adalah lebih utama daripadanya (Adam)." (Surah Shad: 76)
Kemudian syaitan enggan menurut perintah Allah supaya bersujud, maka pada hakikatnya dia menghinakan dirinya sendiri yang kononnya dia mahu dimuliakan, iaitu dengan mendapat laknat dan janji akan disiksa secara abadi di dalam api neraka.
Ketakutan tidak munasabah, tidak masuk akal atau ‘irrational fear’ sebagai erti daripada ‘phobia’ dalam bahasa Inggeris melekat pada kata Islam sehingga menjadi ’Islamfobia’ dan mempunyai konotasi orang bukan Islam dalam ketakutan yang tidak masuk akal terhadap agama suci, Islam. Sebaliknya, fobia juga melekat pada kata ‘West’ sehingga menjadi ‘Westfobia’ ketika dirujuk kepada ‘militan Islam’ atau ‘puak
pelampau Islam’ yang akhirnya dengan perbuatan mereka yang tidak masuk akal dalam menghadapi Barat mencemarkan imej Islam yang damai.
Jika nabi mendapat petunjuk langsung dari Allah SWT dalam menghadapi Islamfobia daripada umat mereka, kita sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW diwajibkan mengikut
dan melaksanakan ajarannya dalam menghadapi Islamfobia umat lain. Satu daripadanya adalah seperti yang diputuskan dalam Deklarasi Makkah 2005 yang menyentuh masalah Islamfobia yang dihadapi umat Islam masa kini sehingga kita seolah-olah menjadi makhluk asing dalam percaturan umat manusia moden. Kita selalu menjadi pihak yang kena tuduh dalam semua perkara buruk yang menimpa komuniti masyarakat antarabangsa.
Kejadian 9/11, bom di London bahkan jika ada (maaf) anjing dan babi yang mati terbunuh pun umat Islam akan menjadi suspek. Begitulah keadaan umat Islam sekarang
pada mata dunia sebagai natijah daripada propaganda ‘ketua-ketua’ Islamfobia yang memiliki kuasa kawalan terhadap semua alat komunikasi, ketenteraan dan kewangan.
Islamfobia menjangkiti masyarakat Barat dan semakin membabi buta akhir-akhir ini kerana adanya jangkaan bahawa pada 2020 dunia akan dikuasai lagi oleh Islam menerusi kebangkitannya semula. Akhbar USA Today terbitan 13 Februari 2005 ada membuat liputan
berkenaan dengan analisis perisikan 15 negara yang bergabung dalam National Intelligence Council (NIC) yang berpusat di Pejabat Central Intelligence Agency
(CIA) di Langley Virginia, Amerika Syarikat.
Dalam liputannya bertajuk Mapping the Global Future, Pengarah NIC, Robert Hutchings mengungkapkan mengenai masa depan dunia. Disebutkannya pada 2020 akan bangkit kembali Kekhalifahan Islam (Islamic Caliphate) baru yakni sebuah Kerajaan Islam yang mampu memberi cabaran terhadap norma-norma dan nilai-nilai Barat.
Baru-baru ini, kita dihebohkan dengan tindakan tidak waras seorang calon presiden Parti Republikan dari Colorado, Tom Tancredo yang berkata cara terbaik menghalang serangan nuklear pengganas ke atas Amerika ialah dengan mengancam untuk mengebom dua bandar raya suci umat Islam, Makkah dan Madinah. Bukankah ini petanda Islamfobia?
Di Itali ada seorang senator yang mencadangkan mengadakan ‘Pig Day’ atau Hari Babi di seluruh negara itu demi mencabar umat Islam yang mengharamkan makan daging babi. Bukankah ini juga Islamfobia?
Di Sweden pula, kartun yang menghina Nabi SAW disiarkan lagi dua minggu lalu dalam sebuah akhbar tempatan negara itu yang mengundang kemarahan umat Islam di sana. Perlu dicatat di sini bahawa seorang penulis Sweden, Karlsson dalam bukunya bertajuk Europe
and The Turk menulis “Tiada yang boleh menghalang seorang Muslim menjadi rakyat Sweden yang baik seperti penganut Kristian atau Yahudi lainnya. Malah, masjid akan menjadi sebahagian bangunan biasa di bandar Sweden seperti yang berlaku di Istanbul, Aleppo, Damsyik, Mosul atau Kaherah.” bukankah tindakan akhbar berkenaan petanda Islamfobia?
Malangnya, bukan saja Barat dijangkiti Islamfobia bahkan sesetengah negara Islam pun mengalami penyakit mental ini. Turki, sebagai contoh, menjadi negara sekular sejak terhapusnya sistem Khilafah Islam oleh Mustafa Kamal Ataturk pada 3 Mac 1924. Sejak itu, sebarang perkara keIslaman selalu ditentang oleh ‘ketua-ketua’ mereka sampai tudung pun diharamkan di universititi awam tempatan. Bukankah ini petanda Islamfobia?
Bagaimanapun, di Turki Islamfobia mungkin akan dihakis sedikit demi sedikit jika tidak ada rintangan yang mengancam kelahirannya. Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan menyuarakan hasrat menarik balik pengharaman pemakaian tudung di universiti di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Menurut beliau "Hak wanita
mendapat pendidikan tidak seharusnya disekat hanya kerana ketrampilan mereka. Perkara itu tidak pernah wujud di kalangan masyarakat Barat, tetapi keadaan sebaliknya di sini. Sehubungan itu, saya percaya ia menjadi tanggungjawab utama ahli politik menyelesaikan masalah itu."
Agar proses penyembuhan Islamfobia berhasil dengan cemerlang seperti yang dibuktikan Nabi Muhammad SAW, maka mahu tidak mahu kita juga mesti menggunakan metod yang diterapkan Baginda iaitu sebuah ayat al-Quran yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat
hidayah dan petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125)
Oleh: Abdur Rahman Haqqi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan