Selasa, Disember 13, 2022

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa


عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.' (Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2. Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan, malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3. Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan adalah mustajab. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. (Riwayat Muslim No: 4914) Status: Hadis Sahih

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ

"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak" (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita doakan saudara Muslim kita termasuk pemimpin kita dengan kebaikan. Moga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang baik dan dirahmati. 

Al-Fudhayl bin 'Iyadh berkata: "Jika aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya akan kudoakan (kebaikan) buat sang pemimpin" (Abu Nu'aym al-Asbahani).

Imam Ahmad bin Hanbal mewajibkan dirinya untuk mendoakan ulil amri siang dan malam supaya dikurniakan ketepatan, taufik dan pertolongan (al-Khallal).

Sifat Kasih Sayang Dicabut Akibat Perbuatan Keji


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3.  Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi ia menjadi akhlak terpuji.

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah


حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"(Musnad Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mencintai kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang lain:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) (HR Muslim No: 4685)

Jadikanlah diri kita orang yang dicintai Allah kerana kecintaan kita kepada orang lain.

Kemanisan Iman Kerana Cinta Dan Benci


عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (iaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka (Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a.  Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b.  Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c.  Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.  Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3.  Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4.  Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW  adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5.  Imam Nawawi berkata: “Apabila seseorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka dia adalah seorang pendengki”. Pendengki menurut pendapat Imam Ghazali ada tiga keadaan:

a.  Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya
b.  Bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut sekalipun ia tidak mendapatnya
c.  Tidak bercita-cita hilang nikmat itu dari orang lain tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya, apa yang disukainya biar sama tarafnya.

6.  Kemanisan iman juga tercapai apabila ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu (benci) untuk dicampakkan ke dalam api neraka.