Takrif Masbuq:
Merujuk Kamus Istilah Fiqh, masbuq bererti orang yang datang lambat ketempat solat berjemaah, sedangkan imam sudah menyelesaikan satu rakaat lebih, tetapi belum mengucapkan salam.
Menurut Al Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus, masbuq ialah, makmum yang ketinggalan (tidak sempat takbiratul ihram bersama imam) dan tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca fatihah bersama imam. Ini di sebabkan semasa ia masuk berjemaah, imam sedang rukuk atau hampir-hampir akan rukuk.
Contoh: apabila seseorang makmum memasuki solat jemaah, lalu ia takbiratul-ihram dan mendapati imam sedang rukuk, maka perlu makmum mengikuti rukuk imam itu dengan tanpa wajib menyelesaikan rukun fatihah.
1. Sekiranya makmum sempat mengikuti rukuk imam dengan sempurna (sekadar dapat menyentuh lutut) sebelum imam bangun untuk iktidal, dikira makmum sudah mendapat rakaat ("muwafiq"). Jika makmum tidak sempat menyempurnakan rukuk, atau makmum memasuki solat sesudah imam rukuk (iaitu semasa sujud, atau duduk tahiyyat dan sebagainya) maka tidaklah dikira ia mendapat rakaat itu ("masbuq").
2. Sekiranya makmum hanya sempat masbuq di tahiyyat akhir, tidaklah ia perlu membaca doa dalam tahiyyat akhir kerana doa tahiyyat itu disunatkan hanya untuk orang yang bertasyahhud akhir. Makmum yang masbuq itu juga diperbolehkan duduk iftirasy seperti di dalam rakaat kedua. Setelah solat berakhir dan imam memberi salam maka makmum tersebut hendaklah bangun dan menyelesaikan solatnya dengan menambah rakkatnya yang tertinggal.
3. Jika makmum sedang takbir lalu imam memberi salam, maka makmum ditegah duduk kerana duduk itu mengikut imam, dan imam telahpun selesai solatnya. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah sembahyang itu.
4. Dalam solat Subuh, makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya di rakaat keduanya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.
5. Dalam solat Jumaat pula, sekiranya makmum sempat mendapat rakaat kedua dengan ia sempat rukuk bersama imam, maka dikira ia mendapat solat Jumaat itu dan hanya perlu menyelesaikan jumlah dua rakaat sahaja. Tetapi sekiranya makmum tidak sempat rukuk dalam rakaat terakhir solat Jumaat, maka ia dikira solat Zuhur dan perlulah menyempurnakan jumlah empat rakaat.
Kesimpulannya orang yang masbuq tidak wajib membaca fatihah melainkan kalau ia berkesempatan untuk membacanya, maka hendaklah ia membaca dalam kadar semampunya hingga imam rukuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan