Rabu, Mei 19, 2010

Dosa Besar dan Dosa Kecil

Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”. Dosa kerana meninggalkan yang disuruh seperti dosa orang yang mengabaikan solat, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Dosa kerana melakukan tegahan Allah seperti dosa berzina, minum arak, mencuri, mengumpat, menipu dan sebagainya.

Dosa mengikut takrifan di atas merangkumi semua jenis dosa sama dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Sebahagian ulamak tidak bersetuju dengan pembahagian dosa kepada besar dan kecil. Antara mereka ialah Abi Ishaq al-Isfaraini, Qadhi Abu Bakar al-Baqilani, Imam al-Haramaian dan Abi Nashr al-Qusyairi. Bagi mereka semua dosa dan larangan Allah adalah besar belaka sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah berkata;

كُلُّ مَاْ نَهَى اللهُ عَنْهُ فَهُوَ كَبِيْرَةٌ
“Setiap yang dilarang/ditegah Allah adalah besar”. (Riwayat Imam at-Thabrani)

Namun mengikut pandangan majoriti ulamak, dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Pandangan majoriti ulamak inilah yang menepati al-Quran dan hadis kerana Allah berfirman;


“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)”. (An-Nisa’:31)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda;

اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ
“Solat lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tarmizi dari Abi Hurairah r.a.)

Ayat al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sana ada dosa-dosa besar dan ada dosa-dosa kecil.

Apa maksud dosa besar? Menurut Ibnu ‘Abbas r.a., dosa-dosa besar ialah; “Dosa-dosa yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di akhirat atau diancam dengan laknat Allah dan kemurkaanNya”. Menurut Imam al-Haramain pula, “Dosa besar ialah dosa yang menampakkan bahawa pelakunya seorang yang kurang menjaga agamanya dan amat longgar pegangannya dengan agama di mana dosa ini menghilangkan al-‘adalah (sifat adil) pada diri seseorang (yakni orang yang melakukannya akan dianggap sebagai fasiq)”.

Apa yang lebih mudah ialah kita menilai dosa-dosa besar berdasarkan tanda-tandanya. Menurut Imam Ibnu Solah; “Tanda-tanda dosa besar antaranya ialah;

1.Diwajibkan hukuman hudud ke atasnya seperti dosa berzina, minum arak, qazaf, mencuri dan sebagainya.

2.Di ancam ke atasnya dengan azab neraka atau sebagainya di dalam al-Quran atau as-Sunnah seperti dosa menyelewengkan harta anak yatim (rujuk surah an-Nisa’, ayat 10), dosa lari dari medan peperangan (rujuk; surah al-Anfal, ayat 16), tidak mengeluarkan zakat, tidak menunaikan solat, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.

3.Disifatkan orang-orang yang melakukannya sebagai fasiq.

4.Dilaknat orang-orang yang melakukannya seperti dosa makan riba, dosa rasuah, dosa lelaki yang meniru gaya perempuan atau sebaliknya dan sebagainya.

Adapun dosa-dosa kecil, ia adalah dosa-dosa di bawah tahap atau batasan dosa-dosa besar tadi. Contoh dosa kecil ialah; melihat kepada bukan mahram, suka berbalah atau bertengkar, kencing atau berak dengan mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya, bercakap di dalam masjid dengan perkara-perkara dunia semata-mata dan sebagainya.

Namun harus diingat bahawa walaupun dinamakan dosa kecil, tetapi ia bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah atau remeh kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

إِيَّاْكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوْبِ فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ
“Awasilah kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)

Malah dosa kecil dalam keadaan-keadaan tertentu akan berpindah menjadi dosa besar. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin telah menjelaskan enam sebab suatu dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar, iaitu;
1.Berterus-terusan melakukannnya
2.Memandang remeh terhadap dosa yang dilakukan
3.Gembira, bangga dan seronok apabila dapat melakukan dosa sehingga ia merasakan bahawa ia dapat melakukan dosa itu merupakan suatu nikmat. Ia lupa bahawa dosa adalah penyebab kepada kecelakaan.
4.Memandang remeh apabila Allah menutup dosanya dan menangguhkan pembalasan terhadapnya.
5.Melakukan dosa dan kemudian menyebut-nyebutnya di hadapan orang lain, atau melakukan dosa berterang-terangan di hadapan orang lain tanpa rasa malu sedikitpun.
6.Orang yang melakukan dosa kecil itu adalah orang alim.

Wallahu A’lam.

Sumber: http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Isnin, Mei 17, 2010

Air Zam-Zam

AIR zamzam mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan berbanding air lain. Perkara ini diperakui oleh banyak kajian saintifik, termasuk sarjana Barat. Air zamzam mempunyai banyak khasiat dan kelebihan seperti sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit.”

Ia juga mempunyai beberapa keistimewaan antaranya tidak pernah kering walaupun berjuta-juta manusia memanfaatkannya setiap hari, terutama pada musim haji. Air zamzam tidak akan kering hingga hari kiamat. Hal itu, adalah bukti keagungan dan kebesaran Allah.

Ulama sepakat bahawa sunat bagi orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah, minum air zamzam. Ini disebabkan Nabi Muhammad SAW minum air zamzam. Berdasarkan nas asy-Syafi’eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekali pun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah.

Disebutkan dalam hadis, Jabir bin `Abdullah, katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: “Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam erti kata lain, jika meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya. Jika meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya. Sekiranya, meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.

Diriwayatkan Rasulullah gemar meminumnya dan tangan Baginda yang mulia dan penuh barkah pernah dicelupkan ke dalam perigi zamzam. Rasulullah pernah bersabda: “Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki. ” (Hadis riwayat Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)

Ahli ilmu meluaskan huraian mereka terhadap hadis di atas. Al-Munawa berkata: “Air zamzam adalah penghulu segala air, paling mulia, berharga dan disukai. “Allah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim dengan air zamzam. Maka, pertolongan seperti itu juga boleh diperoleh oleh orang selepas baginda iaitu bagi sesiapa saja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk kita.

“Ramai ulama meminumnya kerana sesuatu hajat dan mereka berhasil memperolehnya.”

Disebut pengarang kitab al-’Aqdus Sameen bahawa Ahmad bin Abdillah Asy-Syarifee, seorang khadam di Tanah Haram Makkah meminum air zamzam dengan niat dan tujuan untuk berubat daripada buta. Lalu, dengan izin Allah, beliau sembuh. Menurut pengarang kitab ini lagi, bahawa kejadian itu dikhabarkan sendiri gurunya, al-Fufti Abdul Rahman bin Abil Khair alFasi. Al-lmam an-Nawawi sebagai mengulas hadis di atas berkata: “Maknanya, barang siapa minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperoleh hajatnya itu.

“Hal ini, dicuba ulama dan orang soleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun dunia. Alhamdulillah, semuanya memperolehnya. ” (Lihat Tahzibul Asma Wal-Lughat 3/139).

Al-’Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah pula berkata: “Saya dan juga orang lain mencuba berubat dengan air zamzam. “Saya berubat dengannya dalam banyak penyakit dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air zamzam hampir setengah bulan atau lebih, tetapi tidak lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa.”

Al-’Allamah seterusnya berkata: “Sudah berlaku kepada diri saya sewaktu di Makkah, saya sakit. Pada masa itu, saya benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. “Maka, saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air zamzam dan bacakan di atasnya berulang kali. Kemudian, saya minum lalu mendapati kesembuhan yang sempurna.

“Sejak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat.” (Lihat Zadul Ma’ad 4/718)

Berkata pula Al-Hakim: “Bahawa Abu Bakar Muhammad bin Jaafar bercerita mengenai Ibnu Khuzaimah (Ibnu Khuzaimah ialah seorang ilmuwan besar), katanya: “Saya mendengar orang bertanya kepada lbnu Khuzaimah: “Daripada manakah tuan memperoleh ilmu?” Jawab lbnu Khuzaimah: “(Bukankah) Rasulullah pernah bersabda: “Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan?” (Lihat Sairul A’Iam an-Nubala 14/370).

AI-Jalal as-Suyuti juga menceritakan mengenai dirinya, katanya: “Dengan memuji Allah, saya sudah musafir ke negeri Syam, Hijaz, Yaman, India dan Maghribi. “Apabila saya menunaikan haji, saya minum air zamzam bagi beberapa perkara yang berikut, antaranya: Agar saya mahir dalam ilmu fiqah hingga mencapai martabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini.

“Dalam ilmu hadis hingga saya mencapai martabat al-Hafiz lbnu Hajar. Ada pun, semua ini saya sebutkan demi mengingati nikmat Allah ke atas diri saya, bukannya untuk bermegah-megah.

“Apalah yang ada untuk dimegahkan di dunia ini, sedangkan saat kembali semakin dekat dan uban pun mulai subur.” (Lihat Husnul Muhadharah 1/215 dan 2/296).

Jika diperhatikan dengan sehalus-halusnya keterangan di atas, maka nyata, yang amat mustahak itu adalah niat dan keimanan yang seikhlas- ikhlasnya untuk mengiringi perbuatan minum itu.

FAKTA Rahsia kelebihan air zamzam

* Boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah.
* Diberkati dan mengeyangkan peminumnya.
* Mampu menyempurnakan hajat peminumnya dengan izin Allah.
* Allah menjadikan air zamzam sebagai penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi itu.
* Antara mata air syurga.
* Antara tanda kekuasaan Allah di bumi Makkah.
* Antara nikmat besar dan manfaat yang dapat dilihat di Tanah Haram Makkah.
* Ia keluar dari kawasan paling mulia di muka bumi ini.
* Air dipilih untuk membersihkan hati Rasulullah SAW beberapa kali.
* Minuman orang mulia (al-abrar).
* Menambah kekuatan badan.

Sumber: http://suhaimy.org/

Jumaat, Mei 14, 2010

Perkara Sunat Dalam Sembahyang

Sunat ketika melakakukan sembahyang ada dua jenis iaitu sunat ab'adh dan sunat hai'ah. Sunat ab'adh ialah setiap perkara yang sangat dituntut untuk dilaksanakan di mana jika ditinggalkan maka sunat diganti dengan sujud sahwi pada akhir sembahyang (sebelum memberi salam). Manakala sunat hai'ah pula ialah setiap perkara yang jika ditinggalkan tidak dikenakan sudud sahwi.

Sunat Ab‘adh

1. Tasyahhud awal, iaitu tasyahhud yang dibaca semasa duduk selepas melakukan setiap dua raka‘at dalam sembahyang Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan ‘Isya’.

2. Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud awal tanpa disambung dengan salawat ke atas ahli keluarga Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.

3. Salawat kepada ahli keluarga Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud akhir.

4. Duduk bagi mengerjakan setiap tiga perkara sunat ab‘adh di atas.

5. Bacaan qunut semasa i‘tidal pada raka‘at sembahyang Subuh, pada raka‘at akhir sembahyang witir ketika separuh kedua bulan Ramadhan iaitu selepas malam kelima belas.

Sunat Hai’ah

Sunat hai’ah sangat banyak semasa melakukan sembahyang. Secara umumnya, sunat hai’ah boleh diringkaskan kepada perkara-perkara berikut:

1. Mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram, mula hendak ruku‘ dan bangkit daripadanya, dan ketika bangun daripada tasyahhud awal.

2. Meletakkan tangan kanan ke atas belakang tangan kiri di bawah dada, di atas pusat sambil mengarahkan sedikit ke arah hati.

3. Melihat ke tempat sujud sambil menundukkan kepala sedikit.

4. Membaca tawajjuh atau doa iftitah secara senyap.

5. Membaca al-isti‘azah secara perlahan selepas tawajjuh dan sebelum Al-Fatihah.

6. Selain daripada itu, ma’mum hendaklah menyaringkan bacaan pada tempat-tempat yang menghendaki sedemikian iaitu semasa sembahyang Subuh, dua raka‘at pertama sembahyang Maghrib dan ‘Isya’, Juma‘at, dua hari raya, gerhana bulan, istisqa’, tarawih, witir ramadhan, dua raka‘at selepas tawaf pada malam hari dan waktu Subuh. Pada selain waktu-waktu tersebut hendaklah memperlahankan suara.

7. Membaca selepas Al-Fatihah sama ada oleh imam, ma’mum atau bersendirian.

8. Membaca surah atau paling kurang tiga ayat selepas bacaan Al-Fatihah. Disunatkan kepada imam atau persendirian dan ma’mum yang tidak mendengar bacaan imam kecuali pada raka‘at ketiga dan keempat kepada selain masbuq dengan dua raka‘at pertama.

9. Bertakbir ketika melakukan perpindahan dari satu rukun ke rukun yang lain.

10. Membaca semasa mengangkat kepala daripada ruku‘.

11. Membaca tasbih ketika ruku` dan sujud sebanyak tiga kali.

12. Meletakkan kedua-dua tangan pada kedua-dua paha ketika duduk tasyahhud.

13. Duduk secara iftirash dalam semua tempat dikehendaki duduk kepada selain mereka yang masbuq dan yang lupa.

14. Membaca salawat Ibrahimiyyah selepas tasyahhud akhir.

15. Berdoa dan ta‘awwuz iaitu meminta perlindungan kepada Allah selepas tasyahhud akhir.

16. Memberikan salam kedua selepas salam fardhu yang pertama.

17. Khusyu‘, iaitu menghadirkan hati semasa mengerjakan sembahyang dan memberi perhatian kepada setiap patah perkataan yang diucapkan.

Selasa, Mei 11, 2010

Kisah Babi dan Hikmah Pengharamannya

MEMANG terkejut melihat dalam Youtube mengenai satu ujian yang sangat mudah iaitu dengan mengambil dua potongan daging babi dan diletakkan dalam bekas besi, kemudian dicurahkan air minuman berkarbonat ke atas daging babi itu.

Selepas dibiarkan dua jam, kelihatan begitu banyak sekali ulat kecil merayap keluar dari daging babi itu.

Terkejut sangat tengok itu kerana dua perkara; pertama dahsyatnya dan jijiknya daging itu. Kedua, bangga menjadi Muslim betapa agungnya syariat Allah yang mengharamkan makan daging babi dan betapa al-Quran memang kitab petunjuk dari langit dan segala terkandung di dalamnya yang berbentuk suruhan wajib ikut dan terlarang mesti dihindari.

Kalau nak tengok dengan jelas lagi cuba semak ayat al-Quran iaitu pada surah al-Maaidah, ayat 3 yang bermaksud: "Diharamkan bagimu memakan bangkai, darah, daging babi dan daging haiwan yang disembelih bukan atas nama Allah..."

Semak lagi surah al-Ana'am ayat 145, yang bermaksud: "Katakanlah tidak ku dapati di dalam apa yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan memakannya bagi yang ingin memakannya kecuali daging haiwan yang mati (bangkai), darah yang mengalir, daging babi."

Pengharaman babi dalam al-Quran sepatutnya dikaitkan dengan wabak dahsyat yang sedang melanda dunia, termasuk negara kita Malaysia iaitu H1N1 yang sudah meragut berpuluh nyawa.

Subhanallah, Maha Suci Allah yang mengetahui keburukan apa yang dicipta-Nya.

Jika Allah kata tak boleh, rupanya sangat bahaya sama ada pada daging babi itu ataupun akibat daripada jangkitan babi itu sendiri.

Hasil kajian barat, babi membawa virus dan sejenis kuman yang tidak mati 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa 70 jenis penyakit.

Dalam menghadapi situasi ini kita bertanya mana kehebatan negara kuasa besar dunia yang tersohor dengan kecanggihan teknolgi dan peralatannya serta kalangan saintis?

Mereka sedang mengkaji, tetapi jangan lupa kemarahan Allah terhadap mereka yang melupai peringatan-Nya.

Amat menakutkan akibat dari babi ini, H1N1 berjangkit tanpa henti dengan begitu pantas, hanya bermediumkan udara yang boleh disedut di mana-mana - di pusat beli-belah, tempat letak kereta, kedai kopi, stadium dan perhimpunan.

Ia tidak begitu terasa, tetapi sedar tak sedar, ia bergerak begitu pantas. Anda juga tidak berasa takut dan gerun selagi tiada orang terdekat anda yang terkena, sekurang-kurangnya kena kuarantin.

Kedahsyatan penyakit H1N1 yang kita sedang hadapi ini baru sebahagian kecil serangan bahaya babi yang Allah kata.

Bahaya ini tak masuk lagi pengharaman lain yang lama dilaknat Allah, tetapi masih berleluasa dalam masyarakat kita dilakukan bukan sahaja secara sembunyi lagi, sebaliknya sudah berbangga sambil menunjuk-nunjuk seperti persundalan.

Yang paling menakutkan kita masih 'pekak' dengan kemurkaan Allah.

Biasanya apabila dah reda sedikit sesuatu wabak atau bala kita akan lupa semula Allah. Lupa apa yang Allah larang, balik asal buat ingkar.

Apabila kena bala baru semua sepakat berdoa Allah, mula rajin solat tetapi apabila sudah sihat lupa lagi Allah. Begitulah kedegilan sebahagian kita.

"Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya.

"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Begitu cepat ia merebak. Jangan lupa gunakan kuasa doa sama ada doa biasa ataupun doa dengan qunut 'naazilah'".

Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada, semua dengan izin Allah semata-mata.

Oleh: Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

Jumaat, Mei 07, 2010

Syurga di bawah Telapak Kaki Ibu



MASYARAKAT dunia menyambut Hari Ibu pada setiap Ahad kedua dalam bulan Mei, setiap tahun. Tahun ini, sambutan Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Ibu adalah wanita yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam kitab suci al-Quran.

Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali ganda dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah: "Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah." Rasulullah bertanya: "Apakah ibumu masih hidup?" Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. "Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada." (Riwayat At-Thabrani)

Apa yang sangat membanggakan manusia bahawa Allah SWT telah menceritakan kisah ibu dalam kitab suci al-Quran, dengan cara yang amat menyenangkan sekali. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: "Maka Kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya menyenangkan hatinya dan tidak berduka." (Surah al-Qasasb : 13)

Alangkah besarnya rahmat Allah SWT terhadap ibu. Dengan menjadi pengasuh dan menyusukan anak raja (Musa) itu, ibu Musa sekeluarga telah dihormati oleh seluruh penduduk Mesir.

Pengorbanan ibu tidak dapat diukur dan dibandingkan dengan apa jua pun. Ia melebihi daripada segala pengorbanan. Ada satu kisah dan iktibar yang dipetik dari sebuah hadis Riwayat al-Bukhari iaitu kisah Juraij bersama ibunya yang menunjukkan betapa ampuhnya doa seorang ibu yang dekat dengan Allah SWT, doanya dikabulkan segera.

Atas dasar hadis-hadis itulah, umat Islam menyedari bahawa darjat ibu lebih tinggi daripada ayah dalam memperoleh pengabdian anak kepada diri masing-masing. Tidak diragukan bahawa ibu secara alamiah memiliki peranan yang cukup strategik dalam mendidik anak sejak kecil sehinggalah dewasa.

Syariat Sa'i di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Pengorbanan itu adalah bukti yang nyata bahawa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberi penghargaan yang abadi kepada golongan ibu dengan disyariatkan peristiwa itu dalam salah satu Rukun Islam yang kelima.

Justeru, kita diperintahkan untuk memohon rahmat Ilahi yang tidak bertepi itu kepada kedua ibu bapa kita. Adalah wajar, kita memohon untuk kedua-duanya agar memperoleh lebih banyak daripada apa yang kita peroleh, membalas budi mereka melebihi budi mereka kepada kita. Bukankah kita diperintahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka berdua.

Nyata dan jelas sebabnya mengapa Islam memberi penghormatan itu kepada wanita yang dipanggil ibu. Ia tidak lain kerana kedudukannya yang penting dan peranannya dalam setiap kehidupan manusia adalah amat besar. Wanita itulah yang menjadi sumber alam yang pertama bagi permulaan sesuatu kehidupan manusia setelah mereka keluar dari alam zuriat.

Ibnu Batutta menyatakan seseorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana susah payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan ketika menyusukannya. Manakala bapa berhak menerima kebaikan daripada anaknya kerana kerjasamanya dengan ibu dalam memberi nafkah dan mendidik anak-anak.

Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya. Al-Qurtubi juga menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anak-anaknya, maka ibulah yang lebih berhak diutamakan.

Namun begitu, ibu tidak akan dapat menikmati kebaikan, kasih sayang dan penghargaan daripada anaknya, sekiranya dia gagal mendidik dan membimbing anak-anak dengan sempurna mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oleh syarak. Menghormati ibu, mentaati, sedia berkhidmat kepadanya, tidak mengingkari perintahnya kecuali pada perkara yang bertentangan dengan syarak, adalah menjadi sebab seseorang itu dapat masuk ke syurga.

Sumber: utusan.com.my