Rabu, Disember 30, 2009

Ashabul Kahfi

Pemuda sebagai tunggak kepada kekuatan ummah seharusnya mempunyai aqidah Islam yang teguh, kefahaman Islam yang jitu, akhlak Islam yang mantap dan semangat keislaman yang waja.

Pemuda Islam mesti menyedari tanggungjawab mereka sebagai harapan agama dan ummah iaitu;

1. Untuk mengabdikan diri kepada Allah
2. Untuk berkomitmen dengan manhaj Rabbani dan memperjuangkanya.
3. Membantu membangunkan ummah dan negara

Pemuda Islam juga harus menyedari asas-asas kekuatan mereka sebagai seorang muslim di mana tanpanya mereka tidak akan mampu merealisasikan tanggungjawab mereka itu. Asas-asas kekuatan itu ialah;

1. Iman yang mantap di dalam jiwa
2. Keikhlasan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaanNya
3. Keazaman yang kukuh, yang tidak pernah mengenal erti takut, segan dan malu.
4. Amal/kerja yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa jemu dan malas.
5. Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal kecuali menang atau syahid.

Di dalam al-Quran, Allah telah membentangkan satu kisah untuk tatapan pemuda Islam sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.

Kisah yang kita maksudkan ialah kisah; “Ashabul Kahfi”.

Kisah ashabul kahfi adalah kisah yang menonjolkan contoh pemuda yang memiliki segenap ciri Pemuda Islam yang sebenar iaitu;

1. Teguh dengan iman dan prinsip hidup sebagai seorang muslim
2. Yakin kepada diri sendiri
3. Berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran
4. Sentiasa bersemangat mengharungi liku-liku hidup
5. Mampu berhujjah mempertahankan pandangan dan prinsip hidup
6. Sanggup berkorban
7. Setiakawan dalam mengharungi cabaran bersama
8. Sentiasa menjaga keta’atan kepada Allah walau dalam suasana mana sekalipun

Kisah ashabul kahfi (yang bermaksud penghuni-penghuni gua) diceritakan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam surah al-Kahfi, bermula dari ayat 9 hingga ayat 26 (iaitu kira-kira 15 ayat). Sebab turun ayat-ayat yang menceritakan kisah dalam surah al-Kahfi ini sebagaimana yang diceritakan oleh ulama’-ulama’ tafsir ialah;

“Paderi-paderi yahudi berhasrat untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. sama ada ia benar-benar seorang Nabi atau tidak. Lalu mereka menyuruh orang-orang musyrikin supaya menguji baginda dengan bertanyakan tiga kisah yang ajaib yang berlaku pada zaman dahulu iaitu;

1. Kisah pemuda-pemuda yang bersembunyi dalam gua iaitu kisah ashabul Kahfi.
2. Kisah seorang raja adil yang mengelilingi dunia (timur dan barat) iaitulah Iskandar Zulkarnain.
3. Kisah tentang hakikat ruh.

Setelah 15 hari Rasulullah s.a.w. menunggu, maka turunlah wahyu menceritakan ketiga-tiga kisah tersebut”.

Allah memulakan penceritaan dengan membentangkan rasa takjub manusia tentang kisah ini walaupun sebenarnya mereka tidak perlu rasa takjub kerana ia datang dari kudrat Allah, bahkan di sana terdapat banyak lagi tanda-tanda kekuasaan Allah yang lebih hebat dari peristiwa ini (seperti penciptaan langit dan bumi, penciptaan nabi Adam dan sebagainya). Firman Allah;

“Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo`a: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas –menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;

1. Maksalmina
2. Tamlikha
3. Martunus
4. Bainunus atau Nainunus
5. Sarbunus
6. Dzunuanus
7. Kasyfitatanunus

Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka.

Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya;

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.

Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh.

Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung. Firman Allah;

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.

Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah. Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh menceritakan tentang mereka di dalam gua;

“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11).

Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.

“Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18)

Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja.

“Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19)

Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak. Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu;

“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah.

Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah. FirmanNya;

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah-, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya.

Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya. Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi.
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya.

Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;

“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: "Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)

Selasa, Disember 22, 2009

Asal-Usul Krismas dan Easter

Penganut Kristian telah dibiasakan menerima bahawa Krismas dan Easter adalah sebahagian daripada tradisi Kristian. Hakikatnya: Kedua-duanya bukan Kristian tetapi sebaliknya berpunca daripada kultus-kultus misteri, Saturnalia, sistem penyembahan dewi Ibu dan pemujaan dewa Matahari. Kedua-duanya bertentangan secara langsung dengan hukum-hukum Tuhan dan sistemNya.

Agama Kristian moden merayakan dua perayaan utama Krismas dan Easter. Satu pada bulan Disember dan satu lagi pada Mac-April. Alkitab tidak merayakan apa-apa perayaan agama pada bulan Disember sementara perayaan Mac-April yang diperintah Alkitab untuk dirayakan adalah Paskah. Ia jatuh pada Mac-April tetapi tidak dipanggil Easter dan tidak jatuh pada hari seperti yang ditentukan dengan perkiraan bagi Easter.

Lebih penting lagi, terdapat perayaan-perayaan lain yang diperintahkan Alkitab yang juga tidak dirayakan. Juga, Sabat yang diperintahkan oleh perintah hukum keempat tidak dipelihara tetapi sebaliknya hari Minggu dipelihara sebagai gantinya. Bagaimanakah ini terjadi? Bagaimana asal-usulnya? Adakah ia berunsurkan Alkitab dan adakah ia berciri Kristian? Jawapan-jawapannya terdapat di dalam sejarah, dan sungguh menakjubkan.

Khamis, Disember 17, 2009

Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun

Hikmah membaca doa akhir tahun Hijrah adalah kita memperingati amalan-amalan pada tahun lalu; sama ada yang amalan yang membawa kebaikan mahupun amalan yang membawa kepada dosa dan lalu meminta ampun atas kesalahan-kesalahan serta meminta perlindungan Allah swt. daripada kejahatan syaitan dan manusia

Manakala hikmah membaca doa awal tahun Hijrah pula adalah kita memperbaharui azam untuk melakukan kebaikan dan meminta kekuatan dan hidayah untuk melaksanakannya
DOA AKHIR TAHUN



Bismillahirrahmanirrahim...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.


Ya Allah, telah berlalu setahun dalam hidup kami. Sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kami nikmat-Mu yang tidak dapat kami menjangkau kehebatannya. Engkau telah memelihara kami daripada keburukan yang tidak mampu kami menolaknya. Kami telah melakukan dalam tahun tersebut perbuatan dan amalan yang Engkau Maha mengetahui baik dan buruknya.


Ya Allah, sekiranya amalan tersebut bersesuain dengan ketetapan-Mu, terimalah dan catatkannya sebagai amalan soleh kami di sisi-Mu. Dan sekiranya amalan tersebut berbaur dengan sifat riya', ujub, dan menunjuk-nunjuk atau kami lakukan perilaku dosa, kesalahan dan keinginan yang buruk, maka kami pohon pengampunan-Mu dan tutupilah segala keaiban dan kesalahan. Kurniakanlah ke atas kami kelebihan dan keluasan sifat pemurah-Mu. Itulah kemuncak permintaan dan doa kami.


Ya Allah, sesungguhnya telah datang kepada kami tahun baru setelah kami meninggalkan tahun ini sebentar nanti, kami tidak tahu apakah yang terkandung dalam pengetahuan-Mu mengenai diri kami. Kami jahil ke mana arahnya penghidupan kami di alam maya ini. Harapan kami agar Engkau membuka lembaran tahun baru ini pintu taubat yang jujur dan tulus untuk kami, yang tidak berakhir dengan kekufuran dan kesesatan. Dan Engkau kurniakan taufiq kepada kami pada tahun ini untuk melakukan amalan-amalan soleh yang Engkau redai, kehidupan yang murni yang Engkau rahmati.


Ya Allah, peliharalah anggota kami agar melakukan ketaatan kepada-Mu. Peliharalah hati kami agar dipenuhi dengan kecintaan. Lapangkan hati kami agar dapat kami mendekati-Mu seperti mana Engkau telah lapangkan hati hamba-hamba-Mu yang soleh. Jadikan kami di antara orang-orang yang menepati janji dalam menjalankan hak. Jadikan kehidupan kami sebagai saksi yang benar terhadap setiap amalan seperti mana yang Engkau syariatkan kepada kami, Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penganugerah

DOA AWAL TAHUN



Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.


Ya Allah, kami menadah tangan kepada-Mu pada waktu malam dan siang dalam keadaan kami bertawassul dengan nama-nama Mu, dalam keadaan kami mengharapkan gedung rahmat yang sarat di samping Mu. Dan dalam keadaan kami cinta sesungguhnya kepada-Mu dan cinta apa yang menghiasi kebesaran-Mu.


Ya Allah, Ya Rabbul Jalil. Dengan sunnah-Mu menjelang kini tahun baru yang telah Engkau tentukan mengikut qada dan qadar di Loh Mahfuz-Mu. Kami meredahnya di bawah Iradah dan Qudrat-Mu. Sebagai makhluk-Mu yang sentiasa mencari keredaan-Mu. Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon rahman-Mu, kami pertautkan permohonan kami sekental-kentalnya kepada Mu. Kami mengharap perdampingan taufik dan hidayah-Mu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami. Engkau sempurnakan perlindungan dan pemberian-Mu yang begitu melimpah kepada kami. Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh anggota badan kami jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan pemikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama, dan kebaikan untuk diri kami dan orang-orang sekitar kami.


Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindung kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan. Ya Allah, rahmatilah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepada-Mu, Wahai Penolong hamba yang meminta pertolongan, tolonglah kami. Wahai Pencegah kemusnahan, hindarilah kami dari kemusnahan dan keporak-perandaan. Ya Rahman Ya Rahim! Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama-Mu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat-Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerunsingan. Ya Allah, kekalkanlah tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami kenikmatan yang ada padanya. Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang, semulia-mulia tahun yang Engkau berkati ke atas kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersama-Mu. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami. Wassallalahu Ala Sayyidina Muhammad wa Ala Aalihi wa Sahbihi Wassalam.

Sumber: http://halimislam.multiply.com/

Jumaat, Disember 04, 2009

Pengertian Hijrah

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam makna yang lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad tetapi turut dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti mana firman-Nya al-Quran yang bermaksud: “Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26).

Di samping Nabi Ibrahim, Nabi Musa juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa. Selain Nabi Ibrahim dan Nabi Musa, Nabi Noh juga diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Peristiwa hijrah tersebut menyingkap satu perjuangan yang ‘pantang menyerah atau mengaku kalah’ di samping ia menjadi garisan pemisah di antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan sebagai satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Nabi iaitu, pertama di Makkah selama 13 tahun, dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ini bermakna Rasulullah berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa hadapan. Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan yang sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi. Rasulullah dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah demi menyahut panggilan dan keimanan.

Dalam erti kata lain, hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah. Mereka juga menyedari bahawa tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu. Mereka menghadapi apa sahaja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan keteguhan hati. Hijrah Nabi dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah. Ia menunjukkan bagaimana Nabi mengutamakan masjid, iaitu mendirikan masjid pertama di Madinah di satu tempat bernama Quba’ yang akhirnya dikenali sebagai Masjid Quba’. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda yang kedua ialah mempersaudarakan dua golongan, iaitu kaum Muhajirin (sahabat Nabi yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah. Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni, dengan umat beragama lain. Hijrah baginda bukan untuk kerehatan tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia untuk menghayati roh hijrah ini untuk diaplikasikan dalam konteks semasa iaitu untuk membina semula kegemilangan tamadun Islam. Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan hanya slogan-slogan indah atau retorik-retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji-panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan ini akhirnya dapat disatukan. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyaksikan pelbagai ras, bangsa dan kaum, maka amat wajar umat Islam di Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai al-Din yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Justeru, Islam dari awal-awal lagi menganjurkan umat Islam agar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu-satu kaum atau bangsa-bangsa tertentu. Malah kesemuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya, sedangkan Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anbia, ayat 107 maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.

Sumber: http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki/