Rabu, Januari 07, 2009

Fardu Kifayah dalam Islam

Masyarakat Islam khususnya di Malaysia sering dikemukakan dengan persoalan fardu ain dan fardu kifayah. Tetapi ramai antara kita barangkali tidak begitu jelas tentang perbezaan kedua-dua istilah tersebut. Kita juga sering gagal membezakan sesuatu itu fardu ain atau fardu kifayah. Untuk menghindarkan keliruan inilah kita perlu melihat kepada perbezaan garis pemisah di antara kedua-dua konsep tersebut. Kegagalan memahaminya menyebabkan individu Muslim sering menganggap fardu ain itu sebagai fardu kifayah dan begitulah sebaliknya. Kesilapan seumpama ini menyebabkan terabainya sesetengah dari ajaran Islam untuk dihayati secara amali dalam kehidupan.

Menurut Ilmu Usul Fiqh, fardu ain atau dikenali juga dengan wajib ‘aini ditakrifkan sebagai perbuatan yang wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang mukallaf seperti sembahyang lima waktu dan sebagainya (A. Hanafi M.A., Usul Fiqh). Dari definasi tersebut dapatlah difahamkan bahawa fardu ain adalah pekerjaan yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam dalam keadaan individu Muslim itu cukup syarat-syaratnya seperti berakal, baligh dan sebagainya.

Seseorang Muslim yang meninggalkan kewajiban ini menyebabkan dia menanggung dosa besar di samping mengurangkan ciri-ciri kesempurnaan keislaman ke atas dirinya. Dalam erti kata yang lebih singkat, fardu ain adalah kewajiban bagi setiap individu Muslim.

Sementara itu fardu kifayah ditafsirkan sebagai “perbuatan yang wajib dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat Islam, tanpa melihat siapa yang mengerjakannya. Apabila telah dilakukan maka hilanglah tuntutan kewajiban itu terhadap orang lain. Tetapi apabila tidak ada seseorang pun yang melakukannya, maka semuanya berdosa, seperti mendirikan tempat beribadat, rumah sakit, menyembahyangkan mayat dan sebagainya(A. Hanafi M.A., Ibid).

Dengan lain-lain perkataan fardu kifayah adalah kefarduan yang wajib dikerjakan oleh seseorang atau satu kumpulan yang mewakili masyarakat Islam, sebuah daerah Islam, negeri ataupun negara. Apabila kefarduan itu telah disempurnakan, maka kewajiban tersebut menjadi gugur bagi seluruh anggota masyarakat yang terlibat

Dengan itu dapatlah ditegaskan bahawa fardu kifayah mempunyai ruang lingkup yang luas yang melibatkan seluruh aspek hidup seperti soal-soal ekonomi, politik dan perundangan, termasuk soal ketenteraan dan lain-lain.

Di sini kita juga dapat melihat bahawa perbezaan yang ketara di antara dua kewajiban ini ialah fardu ain wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim yang mukallaf, manakala fardu kifayah hanyalah wajib dikerjakan oleh seseorang atau sekumpulan orang sahaja.

Perbezaan yang lain adalah fardu ain merupakan kewajiban yang merupakan ibadat-ibadat yang khusus dan fardu kifayah pula adalah kerja-kerja yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan kenegaraan.

Dari huraian di atas dapatlah difahamkan bahawa fardu ain adalah kerja-kerja seorang Muslim yang lebih berhubungan dengan Khaliknya dan fardu kifayah pula bersifat kemaslahatan dan kepentingan umat Islam yang lebih berhubungan dengan makhluk di sekitarnya.

Kepentingan kedua-dua konsep tersebut terdapat dalam firman Allah yang bemaksud “Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali mereka yang berhubungan dengan tali Allah dan tali daripada manusia” (Ali Imran 112), di mana tali Allah adalah hubungan peribadi yang bersifat fardu ain dengannya, sementara tali dari manusia adalah kerja-kerja yang bersifat fardu kifayah.

Kesempurnaan dan keindahan Islam tidak akan dapat dilihat jika kewajiban-kewajiban kifayah ini diabaikan oleh masyarakat Islam. Islam sebagai ajaran yang syumul (menyeluruh) berdasarkan manhaj rabbani melibatkan proses pembinaan peribadi Muslim, keluarga dan umah Islam dan khalifah Islam yang bersifat international. Dalam proses pembinaan individu Muslim misalnya, penglibatan anggota masyarakat sekitar adalah penting untuk melahirkan seorang Muslim yang baik kerana individu Muslim tidak dapat dibina tanpa kerjasama para guru, kaum ulama, masyarakat sekitar dan sebagainya yang melibatkan sistem pendidikan dan etika Islam yang dihayati secara langsung oleh sesebuah masyarakat.

Tingkah laku sosial seseorang umpamanya amat terpengaruh dengan suasana persekitaran. Keadaan sekeliling yang penuh dengan maksiat, pergaulan bebas ala Barat dan sebagainya, adalah amat menyimpang dari ajaran Islam.

Di sinilah perlu diwujudkan suasana yang bercorak Islam atau persekitaran yang selari dengan Islam jika kita ingin membentuk syaksiah Islamiah atau peribadi Muslim.

Dengan demikian kewujudan persekitaran yang bercorak Islam menjadi fardu kifayah ke atas sesebuah masyarakat Islam. Tanpa persekitaran yang seperti ini, usaha-usaha kearah pembentukan peribadi Muslim akan menemui kegagalan kerana memang tabiat manusia itu adalah amat dipengaruhi oleh suasana persekitarannya.

Usaha-usaha pembinaan peribadi Muslim adalah tahap pertama dalam merealisasikan cita-cita dan tujuan dari ajaran Islam yang syumul itu. Pembinaan peribadi Muslim mestilah diikuti dengan pembentukan keluarga Islam, ummah Islamiah, negara Islam, khalifah Islam dan seterusnya dunia Islam.

Tanpa semuanya itu, Islam tidak akan dapat dilihat sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna. Apalagi dalam keadan sekarang ini umat Islam menjadi pelarian, rumah dan harta benda mereka dibakar, wanita-wanita mereka dizalimi dan bebagai-bagai lagi kekejaman akibat peperangan dan ekspoitasi ekonomi-politik.

Negara-negara umat Islam pula tidak mempunyai sebarang kekuatan, seluruh keperluan mereka bergantung kepada negara-negara blok Barat dan Timur, khususnya negara-negara kapitalis dan sosialis, terutama dalam bidang ekonomi, persenjataan, pendidikan, kepakaran dan sebagainya.

Seperti yang telah disebutkan, kewajiban yang bercorak kifayah itu gugur apabila telah ada seorang atau sekumpulan orang yang menunaikannya secara sempurna. Proses pelaksanaan yang belum mencapai tahap kesempurnaan menyebabkan kelompok masyarakat yang berkenaan masih dianggap berdosa.

Contohnya apabila dua atau tiga orang yang menguruskan jenazah dengan tidak mengikut syarat dan rukun-rukunnya, maka anggota masyarakat yang lain masih dikira berdosa. Ibnu Thaimiyah menegaskan bahawa “sesungguhnya para fuqaha Islam pada keseluruhannya berpendapat tentang pertukangan dan perusahaan seperti bertenun, pembinaan bangunan dan sebagainya adalah merupakan fardu kifayah.”

Dalam menunaikan tanggungjawab dakwah seperti menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran, Islam mengarahkan supaya perkara tersebut wajib dilakukan oleh sekumpulan orang-orang Islam. Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan (Ali Imran: 104)

Prof Dr. Yusuf Al Qardawy dalam kitab Al-Hillul Islami telah menggariskan bidang-bidang yang perlu digarap dan ditangani oleh umat Islam sama ada pihak pemerintah maupun rakyat dalam proses mengembalikan semula kebangkitan umat Islam seluruhnya untuk menghayati sistem yang sesuai dengan cita-cita Islam. Bidang-bidang yang dimaksudkan ialah bidang-bidang kerohanian dan akhlak, pendidikan dan kebudayaan, kemasyarakatan, ekonomi, ketenteraan, politik dan perundangan.

Tanpa memperincikan perkara-perkara yang telah digariskan itu, kita masih dapat melihat di mana keperluan-keperluan yang merangkumi bidang yang berperanan dalam masyarakat Islam bermula dari individu hinggalah sampai ke peringkat negara yang sekiranya benar-benar beroperasi secara yang dikehendaki merupakan sumbangan terbesar terhadap kelansungan umat Islam itu sendiri.

Keperluan tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa tahap atau peringkat seperti peringkat kampung, daerah, negeri, negara dan peringkat internasional.

Dari pemaparan ini, kita melihat bahawa keperluan untuk mewujudkan sebuah wilayah Islam yang bermula dari pembentukan individu sehinggalah dunia Islam antarabangsa masih terlalu jauh dari realiti. Satu proses perubahan yang menyeluruh perlu dilakukan untuk mencapai dan menjamin terwujudnya perkara-perkara di atas, sehingga Islam dapat menjadi satu kuasa yang besar dan dihormati.

Di sini harapan tersebut tidak akan tercapai sekiranya umat Islam masih lagi memandang ringan terhadap kepentingan fardu kifayah. Umat Islam sewajibnya memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap kefarduan ini. Tanpa tumpuan yang bersungguh-sungguh terhadap aspek ini, idealisme Islam tidak akan tercapai dan ia akan hanya menjadi satu utopia sepertimana yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam.

Muharam

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Peristiwa-peristiwa penting:

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan 'Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.
12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Sabtu, Januari 03, 2009

Bahayanya Penyakit Chikungunya



1. Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk.

Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.

Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.
2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.
3. Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.


4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau di antara 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara 3 hingga 7 hari.
5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

•Demam panas mengejut
•Sakit teruk pada sendi
•Ruam pada badan
•Sakit kepala

Seorang pesakit boleh demam dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).

Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.
6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan.

Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.
7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.

Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.

Tiada vaksin bagi penyakit ini.
8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya

•Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.

•Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.

•Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.
10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.
11. Situasi semasa penyakit Chikungunya di seluruh negara

Sila rujuk kenyataan akhbar.
12. Tindakan Kementerian Kesihatan

Langkah – langkah kawalan yang telah diambil:
•Pengesanan kes secara aktif
•Melakukan kajian Aedes
•Semburan kabus dan ULV
•Aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat
•Aktiviti promosi kesihatan

Kejadian penyakit ini adalah terkawal dan terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Download risalah

Isteri-Isteri Rasulullah S.A.W

1. Khadijah binti Khuwailid

Sayyidatina Khadijah adalah seorang perempuan bangsawan Quraisy dan seorang hartawan. Ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW, dia berusia 40 tahun dan Baginda ketika itu berusia 25 tahun. Selama bersama Khadijah, Rasulullah SAW tidak pernah berkahwin dengan perempuan lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia ketika berusia 65 tahun pada tahun ke 10 kerasulan.

Hasil daripada perkahwinan ini Rasulullah SAW dikurniakan 6 orang anak, dua orang putera dan empat orang puteri.

2. Saudah binti Zam’ah

Sayyidatina Saudah adalah salah seorang perempuan yang terawal yang memeluk Islam. Beliau dan suaminya termasuk dalam rombongan yang diperintahkan Rasulullah SAW berhijrah ke Habsyah. Suaminya Sakram bin 'Amir meninggal dunia sekembalinya mereka dari Habsyah. Bagi melindungi dan menolongnya daripada penderitaan dan fitnah, Rasulullah SAW mengahwininya pada tahun wafatnya Sayyidatina Khadijah.

3. 'Aisyah binti Abu Bakar

Pertunangan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina 'Aisyah berlangsung di Makkah setelah sebulan dari perkahwinan Baginda dengan Sayyidatina Saudah dan perkahwinannya pula berlangsung pada tahun pertama Hijrah.

Pada hakikatnya perkahwinan ini adalah atas keinginan ayahanda Sayyidatina 'Aisyah iaitu Abu Bakar, selain untuk memenuhi harapan Rasulullah SAW yang menginginkan adanya seorang wanita yang dapat menyampaikan ajaran-ajaran Baginda. Kenyataannya Sayyidatina 'Aisyah memang seorang yang cepat dan cerdas dalam memahami ajaran-ajaran Rasulullah SAW dan pandai serta ahli tentang hukum-hukum Islam.

4. Hafsah binti Umar

Sayyidatina Hafsah adalah puteri ‘Umar bin Khattab r.a dan juga bekas isteri salah seorang sahabat yang syahid dalam perang Badar. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, 'Umar pernah menawarkan puterinya itu kepada Abu Bakar r.a dan 'Uthman bin Affan r.a, namun kedua-dua mereka menolak. Maka untuk menggembirakan hati 'Umar, Rasulullah SAW mengahwininya.

5. Zainab binti Khuzaimah

Sejak zaman jahiliah, Zainab terkenal sebagai seorang perempuan yang penyayang, pemurah dan budiman terutama kepada orang-orang miskin sehingga dia mendapat nama julukan "Ummul Masaakin" (ibu orang-orang miskin).

Sayyidatina Zainab adalah isteri Baginda yang keempat sesudah Saudah. Beliau wafat selang beberapa bulan sesudah perkahwinannya dengan Rasulullah SAW.

6. Hindun binti Abi Umaijah

Beliau juga digelar Ummu Salamah kerana mempunyai anak yang bernama Salamah hasil perkahwinannya dengan sahabat 'Abdullah bin 'Abdul Asad yang syahid ketika memimpin suatu petempuran.

Menurut sesetengah riwayat pada waktu Rasulullah SAW melamar Ummu Salamah, beliau menjawab, "Aku ini seorang perempuan yang sudah tua, menjadi ibu kepada anak-anak yatim dan saya sangat cemburu". Kata-kata itu disambut oleh Rasulullah SAW dengan menjawab, "Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sudah tua, aku jawab : aku lebih tua daripada kamu dan tidak akan tercela seorang yang kahwin dengan seorang laki-laki yang lebih tua daripadanya. Tentang perkataanmu : aku ini menjadi ibu anak-anak yatim, aku jawab : anak-anak yatim itu tanggungan Allah dan RasulNya. Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sangat cemburu, aku jawab : aku doakan kepada Allah mudah-mudahan Dia melenyapkan sifat yang demikian daripadamu".

7. Zainab binti Jahsy

Zainab adalah bekas isteri Zaid bin Harithah (bekas budak dan merupakan anak angkat Rasulullah SAW). Zaid menceraikan Zainab kerana tidak tahan dengan sikapnya yang sering membanggakan keturunan dan sering merendahkan darjat suaminya.

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab menghapuskan adat kebiasaan bangsa 'Arab yang menyamakan anak angkat dengan anak sendiri dari segi hak keturunan, hak warisan dan sebagainya. Perkahwinan ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah.

8. Juwairiyah binti Harith

Beliau adalah salah seorang dari tawanan perang tentera muslimin dengan Bani Musthaliq, puteri kepada Harith bin Dhirar, ketua suku tersebut. Dia mendapatkan Rasulullah SAW untuk meminta pertolongan agar diperkenankan membayar tebusan untuk dirinya agar dimerdekakan. Baginda bersedia membayar tebusan dan mengahwininya.

Apabila beliau memeluk Islam dan berkahwin dengan Rasulullah SAW, lebih kurang 100 orang tawanan Bani Musthaliq dibebaskan oleh kaum muslimin kerana tidak mahu memperhambakan orang yang mempunyai tali perkahwinan dengan Baginda. Akhirnya mereka yang dibebaskan ini memeluk Islam. 'Aisyah pernah berkata, "Saya belum pernah mengetahui seorang perempuan yang banyak berkat kebaikannya kepada kaumnya lebih dari Juwairiyah".

9. Safiyyah binti Hujaj

Safiyyah adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir, Hujaj bin Akhtab. Beliau turut menjadi salah seorang tawanan dalam penaklukan Kota Khaibar. Suaminya terbunuh dalam peristiwa penaklukan itu. Safiyyah diserahkan kepada Rasulullah SAW, memandangkan dia adalah seorang puteri dari ketua Bani Nadhir. Dia dimerdekakan dan dikahwini oleh Baginda. Perkahwinan ini berlaku ketika tentera muslimin masih berada di Khaibar.

10. Ramlah binti Abu Sufian

Beliau adalah puteri Abu Sufian bin Harb dan isteri Abdullah bin Jahsy, pernah berhijrah ke Habsyah bersama suaminya. Sampai di sana suaminya masuk agama Nasrani dan dia diceraikan. Memandangkan orang tuanya yang masih musyrik dan suaminya yang telah bertukar agama, Rasulullah SAW mengirimkan seorang utusan kepada Raja Najasyi meminta dia meminang Ramlah bagi pihak Baginda. Raja Najasyi sendiri memberikan maskahwinnya. Perkahwinan ini berlaku pada tahun ke 6 Hijrah, ketika itu usia Ramlah lebih kurang 30 tahun. Setelah itu Raja Najasyi mengirimkan Ramlah mengadap Rasulullah SAW di Madinah pada tahun ke 7 hijrah. Dia wafat pada tahun ke 42 Hijrah ketika berusia lebih kurang 60 tahun.

11. Maimunah binti Al-Harits

Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau bernama Barrah. Baginda mengahwininya ketika Baginda baru saja selesai mengerjakan "Umrah al Qadha" di Mekah. Perkahwinan dengan Maimunah adalah perkahwinan Rasulullah SAW yang terakhir. Dia wafat pada tahun ke 63 hijrah dalam usia lebih kurang 80 tahun.