Setiap kali menjelang 31 Disember, seluruh masyarakat dunia merayakan Sambutan Tahun Baru dengan meriah dan bangganya menuggu detik 12 malam yang menunjukkan bermulanya tahun baru. Berbagai-bagai acara diadakan seperti majlis nyanyian, tarian kebudayaan dan pertunjukan bunga api (membazir). Malah sehingga dinihari masih ramai dikalangan muda-mudi yang memenuhi tempat-tempat sambutan seperti di Dataran Merdeka, KLCC, Bukit Bintang dan Bangsar. Mereka berseronok sakan sehingga ada yang melanggar batasan agama dengan bercampur antar lelaki dan perempuan tanpa batasan, minum 'air kencing syaitan' dan lain-lain lagi. Beginilah keadaan sambutan setiap tahun. Apakah mereka tidak ingat kepada amaran Allah sekiranya kita melakukan maksiat secara tekal, nanti azab Allah akan datang secara tiba-tiba. Firman Allah yang bermaksud :
96. dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan.
97. Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
98. atau Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?
99. Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) Yang diatur oleh Allah? kerana sebenarnya tidak ada Yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) Yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang Yang rugi.
(Surah al-A'raf 96-99)
Malang sekali sekiranya kita yang mengaku diri sebagai muslim, masih meraikan Sambutan Tahun Baru Masihi. Rata-rata umat Islam buta sejarah tentang perbezaan antara Sambutan Tahun Baru Masihi dengan Sambutan Tahun Baru Hijrah (Islam).
Tahun Baru Masihi adalah mengikut perkiraan kalendar Masihi yang mempunyai 12 bulan dan dikira mengikut peredaran matahari, maka sebab itu satu bulan bersamaan dengan 30 atau 31 hari.
Dari sudut sejarahnya pula, Tahun Baru Masihi disambut kerana mengenangkan peristiwa kematian Issac yang disalib (menurut sangkaan orang Kristien). Kalau kita perhatikan dalam penulisan berkaitan dengan sebelum masihi dan selepas masihi, kita dapati sebelum masihi ditulis B.C (Before Chris) dan selepas masihi ditulis A.D (After Death). Jadi mereka berhibur adalah semata-mata untuk menghilangkan kedukaan mereka atas kematian Isa. Apa kaitan dengan kita umat Islam? Tiada apa-apa perkaitan, malah kerana mengikut dengan membuta tuli (taqlid), akhirnya sambutan ini menjadi sebahagian dari acara tahunan di negara kita.
Sambutan Tahun Baru Islam pula mengikut perkiraan kalendar Hijrah juga mempunyai 12 bulan tetapi dikira mengikut peredaran bulan. Maka sebab itu satu bulan dalam Islam bersamaan dengan 29 atau 30 hari.
Kalendar Islam diperkenalkan pada zaman Saidina Umar al-Khattab sewaktu beliau menjadi khalifah Islam yang kedua. Beliau memilih peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan 1 Muharram. Ini bertujuan supaya umat Islam sentiasa mengenangkan pengorbanan Rasulullah s.a.w dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
Tapi di Malaysia, sambutan Maal Hijrah disambut secara sederhana sahaja kalau hendak dibandingkan dengan kemeriahan sambutan Tahun Baru Masihi. Alangkah bagusnya sekiranya Sambutan Maal Hijrah disambut dengan menanamkan semangat kekentalan jihad dan pengorbanan Rasulullah s.a.w dan para sahabat radiallahu anhum.
Apabila sampai penghujung tahun biasanya orang akan bercakap tentang keazaman pada tahun baru. Kebanyakan umat Islam, khususnya di Malaysia menyatakan keazaman mereka untuk memperolehi kenikmatan dunia semata-mata seperti tukar kereta baru, beli rumah, bekerja lebih kuat untuk tambah pendapatan dan tambah bini! Inilah cara orang kita berfikir, terlalu remeh.
Sebagai muslim azam tahun baru mereka mestilah mempunyai kaitan dengan ketaqwaan dan akhirat seperti memperbanyakkan lagi amalan sunat; bersedekah, solat tahajjud, baca al-Quran dan lain-lain lagi.
Akhirnya, timbanglah hakikat perayaan ini dengan penuh keinsafan dan jadikan diri kita sebagai seorang muslim yang faham tentang perbezaan dalam perlakuan antara Islam dan Kafir. Semoga Allah s.w.t mengkelaskan kita dalam golongan yang bertaqwa di Akhirat nanti. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan