Mengikut Islam, murtad boleh terjadi dengan melalui salah satu dari
tiga perkara berikut; melalui perkataan, ucapan dan kata-kata,
melalui perbuatan atau tingkah laku dan melalui iktiqad, kepercayaan dan keyakinan dalam hati atau niat. Di bawah ini akan dijelaskan sebab-sebab tersebut.
a) Melalui Perkataan / Ucapan dan Kata-kata.
Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata.
Apabila ucapan dan kata-kata tersebut menolak hukum-hukum Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina apa-apa ajaran Islam, hukum hakam Islam, menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan nabi-nabi lain, menghina Allah S.W.T. dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib puasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain, atau dia berkata minum arak tidak haram, berzina harus, apatah lagi kalau suka sama suka, riba' diharuskan (tidak haram), dikatakan al-Quran bukan kalam Allah atau kata-kata yang merendahkan dan menghina Sunnah Rasulullah, umpamanya apabila diterang kepadanya bahawa mengerat kuku adalah Sunnah Rasulullah S.A.W.
Apabila dia mendengar kata-kata itu, dia menjawab, "aku tidak akan kerat kuku, walaupun ia Sunnah Rasulullah (dengan niat mahu menghina sunnah tersebut)". Atau dia berkata, "sekiranya Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. menyuruh aku kerjakan anu-anu, aku tidak akan melakukannya" . Atau dia berkata,"Aku tidak tahu adakah nabi itu manusia atau jin". Atau pun dia berkata,"Aku tidak tahu apa itu iman". Semua kata-kata di atas adalah ucapan yang menghina / mengejek ajaran Islam, maka dengan kata-kata sedemikian seseorang itu boleh menjadi murtad.
Begitu juga seseorang yang zalim,apabila dia mendengar orang yang dizaliminya berkata,"Ini, (kezaliman yang dilakukan ke atasnya) adalah ketetapan Allah dan takdir Tuhan", maka orang zalim tadi
sebaik sahaja mendengar kata-kata di atas dia terus berkata dengan sombong,"Aku lakukan itu bukan dengan takdir Allah S.W.T. tetapi dengan kuasa yang ada padaku", maka kata-kata orang zalim sedemikian itu boleh menjadi murtad.
Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang haram oleh Allah dan RasulNya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama' tetang halal atau haramnya perkara itu seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat, menghalalkan minum arak, atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jual beli dan seterusnya. Maka sikap sedemikian boleh menjadi murtad.
Dalam buku Mustika Hadis, ada menyebut beberapa contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu:
Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :
� Hukum apa ini ?
� Hukum ini sudah lapuk.
� Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.
� Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus
(tutup aurat dengan memakai telekong).
� Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?
� Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
� Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
� Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.
� Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).
� Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.
� Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkann ya.
Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.
b) Melalui Perbuatan atau Tingkah Laku.
Apabila seseorang Islam melakukan apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkah laku yang boleh membatalkan imannya maka orang itu boleh menjadi murtad seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah S.W.T. Seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain
Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan
mempersendakan Islam seperti mencampakkan al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadith dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina. Dalam buku Mustika Hadith ada menyebut perbuatan yang boleh menjadi murtad seperti meletakkan ayat-ayat suci al-Quran, hadith-hadith nabi, nama-nama Allah, rasul-rasulNya, malaikat dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendahkannya.
Begitu juga seseorang yang meninggalkan sembahyang Fardhu atau puasa Ramadhan dalam keadaan mengingkari wajibnya atau mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Tetapi kalau dia meninggalkan kerana malas, sedangkan dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad.
Apa yang disebut adalah sebahagian dari contoh-contoh yang boleh memurtadkan seseorang Islam melalui perbuatan dan tingkah laku.
c) Melalui Akidah atau Kepercayaan atau Niat.
Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila
seseorang Islam mengingkari dalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jinayah Islam) tidak layak dilaksanakan sekarang alam masyarakat moden.
Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa Nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lapok, tidak sesuai dengan keadaan zaman. Dia menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktiqad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkit semula sesudah mati, beriktiqad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam, atau berbalik-balik hati antara mahu manjadi kafir pada masa akan datang dan lain-lain lagi keyakinan dan iktiqad yang salah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan