TIDAK dinafikan isu kedudukan wanita dan lelaki selalu menjadi perbincangan kerana banyak tulisan bukan memberi lebih kefahaman tetapi menyebabkan kita lebih keliru seperti yang dinyatakan. Allah tidak membezakan lelaki dan wanita dari segi kehormatan, kedudukan di
sisi undang-undang dan kedudukan dari sisi-Nya.
Perbezaan di sisi Allah hanyalah semata-mata berdasarkan ketakwaan seseorang tidak kira dia lelaki ataupun wanita. Dengan kata lain, seorang lelaki tidak diberi keistimewaan masuk syurga semata-mata kerana dia lelaki, atau seorang wanita dimasukkan ke neraka
kerana dia wanita. Tetapi amal ibadat, ketakwaan dan ketaatan yang dipandang Allah, bukan jantina seseorang.
Namun begitu, ada perbezaan dari segi fungsi dan peranan wanita serta lelaki. Secara adatnya, wanita memikul tanggungjawab atau fungsi berbeza dengan lelaki. Wanita dicipta dengan susuk tubuh badan tidak serupa dengan lelaki. Wanita mengandung selama
sembilan bulan, mengalami sakit sewaktu melahirkan anak, mempunyai sifat keibuan dan sering kali mengutamakan anak lebih daripada diri sendiri.
Bagi insan yang rasional tentu dapat memahami dari aspek ini bahawa ada perbezaan fungsi antara lelaki dan wanita. Walaupun sedemikian, martabat wanita tidak diletakkan di bawah ataupun di atas lelaki. Kedua-dua jantina saling lengkap melengkapi dan penting bagi
pembinaan institusi keluarga bahagia serta masyarakat harmoni.
Menyamakan fungsi kedua-dua jantina ini menyebabkan masyarakat hilang arah tuju, melawan sifat semula jadi dan mengelirukan orang ramai. Lelaki tetap lelaki dan wanita tetap wanita dan sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam mencari keredaan Allah.
Oleh kerana ada perbezaan peranan dan fungsi itulah maka undang-undang Islam mengiktiraf peranan masing-masing dalam bidang masing-masing. Umpamanya, dalam bidang faraid al-Quran jelas menyebut mengenai pembahagian itu.
Dalam memahami hukum Allah, ada hukum bersifat qati’e dan zanni. Qatie bermaksud hukum bersifat putus, mutlak dan kita tidak diberi hak untuk mentafsirkan dengan maksud lain daripada yang disebut.
Tetapi hukum zanni tidak bersifat putus, manusia diberi hak mentafsirkan dengan menggunakan akal yang benar. Saudari boleh merujuk kepada ustaz berhampiran
untuk memahami dengan lebih lanjut. Hukum pusaka dalam Quran menyebut jumlah yang bersifat qatie di mana disebut satu perdua, satu perempat, satu perlapan dan
sebagainya. Ia adalah putus dan kita wajib menerima, beriman dan patuh sebagai lambang ketaatan kepada Allah.
Namun, bagi memahami kenapa ada perbezaan pembahagian pusaka, kita boleh mengkaji peranan lelaki dan wanita dalam kekeluargaan Islam. Seorang lelaki bertanggungjawab menyara keluarganya dalam apa keadaan sekalipun. Jika tidak berkemampuan, maka keluarga sebelah lelaki wajib membantunya.
Oleh itu, jika lelaki mendapat pusaka dua kali ganda daripada wanita, pusaka itu perlu diagihkannya kepada orang di bawah tanggungannya seperti isteri dan anak. Berbeza apabila seorang wanita menerima pusaka, dari segi hukum, harta itu adalah kepunyaannya sendiri
secara total, suami dan anak lelaki tidak berhak kepada harta itu.
Suami tidak boleh menuntut pusaka itu sebagai harta sepencarian. Oleh itu, walaupun secara luaran seolah-olah lelaki menerima lebih banyak pusaka, tetapi hakikatnya setelah ditolak tanggungan, lelaki sebenarnya menerima kurang daripada wanita.
Begitu juga keadaannya dalam isu talak. Walaupun suami boleh melafazkan talak tetapi Islam tidak pernah memberi jalan supaya lelaki menceraikan sesuka hati. Rasulullah SAW menyebut, “Perkara halal tetapi dibenci Allah adalah talak.”
Dalam keadaan suami menceraikan isterinya tanpa sebab munasabah, suami itu menanggung dosa menzalimi isteri, dia bertanggungjawab membayar sagu hati perkahwinan atau mutaah kepada bekas isterinya. Wanita juga boleh mengambil tindakan untuk berpisah dengan kaedah lain seperti khuluq, fasakh dan taklik.
Ada banyak perkara wanita diberi keistimewaan dalam Islam kerana peranan yang dimainkan mereka. Umpamanya, urutan keutamaan mendapat hak jagaan anak adalah wanita dan bapa diletakkan di tempat ketiga selepas ibu dan nenek.
Wanita tidak pernah dibebankan membayar nafkah kepada suami ataupun anak walaupun wanita itu kaya atau bekerja dan mempunyai gaji lumayan. Jika dia memberi dengan reda untuk keluarganya, ia dianggap hadiah atau pemberian membantu meringankan beban suaminya.
Dalam Islam kesamaan itu tidaklah bermakna satu sama dengan satu. Persamaan dan keadilan dalam Islam berlaku apabila kita meletakkan sesuatu di tempat yang betul ataupun memberikan hak kepada yang berhak. Dalam erti kata lain, hak persamaan itu diberikan sesuai dengan peranan dan fungsi yang dimainkan seseorang.
Oleh itu, janganlah terpengaruh dengan dakwaan bahawa undang-undang Islam mendiskriminasi wanita atau memandang wanita sebagai makhluk kelas dua. Itu semua tidak benar. Tiada diskriminasi dalam Islam, yang ada cumalah memberi pengiktirafan terhadap peranan yang
dimainkan oleh setiap golongan.
Namun begitu, setiap orang sama ada lelaki atau wanita perlu memahami hak dan tanggungjawab masing-masing. Jangan hanya mengambil hak saja tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab. Sikap itu sebenarnya merosakkan Islam dan memberi gambaran Islam tidak
adil. Yang patut dipersalahkan ialah umat Islam yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya bukannya undang-undang Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan