Hari ini apa yang kita dapat lihat, sesetengah wanita seolah beranggapan menutup aurat itu cukup sekadar memakai tudung serta memakai pakaian yang menutup tubuh badan, namun darihal yang selebihnya tidak diambil tahu. Lihat saja di sekeliling kita, ada wanita yang memakai tudung, namun tudungya ibarat tudung yang tersilap beli, atau tersilap tempah dari segi saiz dan ukurannya. Dada yang menonjol diperlihatkan kepada pandangan umum. Begitu juga dari segi pakaiannya, samaada bajunya mahupun kain atau seluar yang dipakainya. Orang kata, menggiurkan. Perkara ini telah dapat dilihat dan diketahui umum. Saya rasa tak perlu menjelaskannya terlampau panjang mengenai hal ini, dan yang penting adalah perbahasan hukum mengenainya itulah yang menjadi hadaf (matlamat) kita. Maka dengan ini saya akan memaparkan hokum menutup aurat secara umum di dalam al-quran dan hadith iaitu : Firman Allah S.W.T di dalam Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”
Lafaz zahir yang dimaksudkan adalah bermaksud adalah muka dan tapak tangan sesuai dengan keterangan hadith daripada Aisya R.A yang bermaksud :
“Sesungguhnya Asma’ telah memasuki (rumah) Rasulullah S.A.W dan pada badannya, pakaian nipis, maka baginda memalingkan muka daripadanya, kemudian bersabda : “Wanita yang sudah mencapai haid (baligh), tidak boleh terlihat daripadanya kecuali ini dan ini, sambil Rasulullah S.A.W menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya “. (Riwayat Abu Daud)
Dengan ini, jelaslah bahawa menutupi anggota badan bagi wanita kecuali muka dantapak tangannya adalah wajib. Seterusnya, mengenali apakah yang dimaksudkan dengan aurat itu juga kita harus dalaminya secara sebenar-benarnya, bukan sekadar mengetahui bahawa aurat itu bermaksud “pakai tudung, pakai baju, pakai seluar ” itu sahaja.
Definisi aurat di sisi syara’ :
1-Semua anggota yang wajib ditutup dan haram dipandang. (definisi ini adalah yang paling tepat)
2-Sesuatu atau sebahagian anggota tubuh badan manusia yang malu apabila dilihat orang.
3-Sesuatu yang berharga, tetapi tidak cukup kekuatan kita untuk membelanya dan mempertahankannya apabila diserang musuh. Ini berdasarkan firman Allah Taala dalam Surah al-Ahzab, ayat yang ke-13.
Jika kita lihat pada definisi yang pertama, ia bukan saja menjelaskan bahawa aurat itu wajib ditutup, bahkan ia menyebutkan bahagian yang wajib ditup itu jugalah haram dipandang. Jadi inilah kaitan yang perlu diambil perhatian bukan sahaja bagi diri wanita, akan tetapi juaga bagi diri lelaki khususnya yang beragama Islam.
Seterusnya saya akan memaparkan batas-batas aurat seseorang wanita sesama wanita yang lain dan begitu juga wanita dengan lelaki, baik mahramnya, atau bukan mahram, muslim atau kafir.
Aurat wanita dengan wanita
1-Aurat muslimah dengan muslimah Ialah bahagian antara pusat dan lutut. Iaitu harus bagi muslimah menampakkan tubuh badannya selain bahagian Antara pusat dan lutut kepada muslimah yang lain. Tetapi jika bimbangkan Fitnah atau pandangan bershahwat, maka seluruh tubuhnya adalah aurat Kecuali muka dan tapak tangan.
2-Aurat muslimah dengan wanita bukan Islam
Ialah semua bahagian atau anggota tubuh badan kecuali yang kelihatan apabila Melaksanakan tugas dan urusan rumah tangga. Iaitu harus bagi wanita Muslimah menampakkan muka, kepala, leher, tangan hingga ke lengan dan Kaki hingga ke lutut kepada wanita bukan Islam. Adapun aurat muslimah dengan wanita bukan Islam yang hamba atau mahram Kepada muslimah itu adalah bahagian antara pusat dan lutut. Akan tetapi, jika bimbangkan fitnah atau pandangan mereka bershahwat Maka seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali muka dan tapak tangannya.
Aurat wanita dengan lelaki
1-Aurat muslimah dengan lelaki bukan mahram Ialah seluruh tubuh muslimah itu sama ada dia telah baligh ataupun belum baligh adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Iaitu harus bagi muslimah menampakkan muka dan tapak tangannya kepada lelaki yang bukan mahram. Sebaliknya jika bimbangkan fitnah, maka muka dan tapak tangannya juga dikira sebagai aurat. Jika lelaki bukan mahram yang memandang muslimah bershahwat iaitu ada niat berseronok-seronok dengan semata-mata pandangan itu (pandangan bershahwat) walaupun aman daripada fitnah, maka seluruh tubuhnya adalah aurat.
Aurat muslimah dengan lelaki yang mahram
Seterusnya aurah muslimah dengan lelaki yang mahram baginya adalah antara pusat dan lutut. Iaitu harus bagi muslimah menampakkan tubuh badannya selain bahagian antara pusat dan lututnya kepada lelaki yang bukan mahram dengan syarat aman dari fitnah atau pandangan mereka tanpa shahwat. Sebaliknya jika ia boleh membawa fitnah dan pandangan bershahwat, maka seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali muka dan tapak tangannya.
Syarat-syarat menutup aurat Islam telah menggariskan tiga syarat asas menutup aurat yang perlu dipenuhi :
1-Menutup kawasan aurat.
2-Tidak menampakkan warna kulit.
3-Tidak menampakkan bentuk tubuh.
Manakala terdapat dua syarat tambahan :
1-Hendaklah benda yang menutup aurat wanita itu bukanlah jenis perhiasan, Contohnya mahkota di atas kepala wanita.
2-Hendaklah pakaian itu tidak menyerupai pakaian yang biasa dipakai oleh jantina Berlawanan. Di sini, al-’urf atau adapt setempat memainkan peranan penting Dalam menentukan pakaian yang khas untuk lelaki dan wanita. Lelaki yang menyerupai jantina berlawanan akan dibenci Allah SWT dan RasulNya.
Sabda Rasul SAW :
“Bukanlah dari golongan kami, (orang beriman), sesiapa yang menyerupai lelaki daripada wanita dan bukan juga sesiapa yang menyerupai wanita daripada lelaki”.
Syarat-syarat yang telah disebutkan tadi, merupakan syarat-syarat yang wajib diikuti. Berkenaan dengan aurat juga, saya tertarik dengan satu persoalan yang dibahaskan di dalam satu kitab yang bertajuk “Tabarruj Dosa Berhias, Bagaimana mengenalinya dan menghindarinya” karangan dan susunan oleh Hj Mohd Hanif Hj Ismail di mana ditimbulkan persoalan mengenai pakaian harian sebagai pakaian solat.
Maka dengan ini, adakah harus bagi wanita muslimah sembahyang dengan pakaian hariannya?. Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita perhatikan sepotong hadith yang bermaksud :
“Sesungguhnya Ummu Salamah RA bertanya kepada Rasulullah SAW, bolehkah seorang wanita solat dengan memakai baju kurung dan tudung tanpa jubah (yang menutup dari kepala hingga kaki?). Baginda menjawab : “Boleh jika baju kurung itu labuh, menutup kedua kakinya” (Riwayat Abu Daud)
Hadith tersebut menunjukkan bahawa pakaian kaum wanita seharian dan ketika mendirikan solat tiada bezanya. Hal ini juga menunjukkan bahawa tidak terdapat pakaian khusus bagi kaum wanita untuk mendirikan solat, misalnya telekong bagi masyarakat melayu. Selalu kita ada berjumpa atau terdengar cerita berkaitan dengannya, contohnya ada sesetengah wanita yang menjadikan alasan untuk meninggalkan solat dengan menyatakan sebabnya adalah kerana tidak mempunyai telekong. Kadang-kadang kebiasaan begini telah membawa kepada sesuatu perkara yang menyusahkan walaupun mungkin terdapat sesetengah muslimah yang pakaian hariannya telah menepati syarat untuk menunaikan solat tetapi disebabkan adapt atau kebiasaan maka mereka beranggapan bahawa tidak boleh solat sekiranya tiada telekong. Sepatutnya masalah ini tidak berlaku, atas sebab perkara yang kecil, ianya telah membawa diri kita kepada kebinasaan. Kesimpulannya yang dapat dibuat, pakaian muslimah yang belum boleh digunakan untuk solat merupakan pakaian Islam yang belum sempurna dan harus disempurnakan. Hal ini memang cukup berat untuk dilaksanakan oleh muslimah apabila tidak diiringi dengan keimanan dan ketaqwaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan