Rabu, Oktober 31, 2007

Haram Menganiayai Isteri

SYEIKH al-Maraghi berkata: Selepas Allah menerangkan cara talak yang disyariatkan serta bilangannya, maka disebut di sini apa yang wajib dalam bermuamalah dengan perempuan yang diceraikan, dan apa yang
dilarang serta peringatan atas perbuatan yang bertentangan.

Seterusnya menunjukkan kepada maslahah dan hikmah dalam menyuruh demikian itu dengan yang baik dan
melarang daripada kemungkaran. Firman Allah Taala seperti berikut:

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka
bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.

Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 231)

Murka

Al-Baghawi berkata: Mengikut riwayat Humaid bin Abd al-Rahman daripada Abu Musa al-Asya'ari: Bahawa
Rasulullah s.a.w. pernah murka kepada kabilah Asya’'ari kerana salah seorang mereka berkata: Aku
telah ceraikan, sesungguhnya aku telah rujuk. Bukanlah ini talak dengan orang Islam kerana mereka menceraikan isteri pada sebelum idahnya. Justeru janganlah kamu jadikan ayat Allah sebagai permainan.

Firman Allah s.w.t: Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis
tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka
dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat,
kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka
sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.

Sonhaji berkata: Ayat ini ditujukan kepada salah seorang kaum Ansar yang bernama Thabit bin Yasar
kerana telah menceraikan isterinya manakala hampir habis idahnya dirujuknya semula kemudian diceraikannya sekali lagi dengan tujuannya menyakitinya.

Perbuatannya itu adalah ditegah, iaitu dengan turunnya ayat ini yang mengandungi perintah. Bahawa perempuan yang sudah dicerai sebelum habis idahnya, jika hendak dirujuk semula hendaklah dihubungi baik-baik atau ceraikan terus supaya ia menjadi bebas. Jangan ditahan-tahan dengan tujuan menganiaya orang lain itu sebenarnya telah menganiaya diri sendiri. Buktinya, dengan disebabkan ia menganiaya orang lain, bermakna ia telah melanggar peraturan Allah dan dengan demikian ia telah mendedahkan dirinya kepada seksa Allah.

Firman Allah s.w.t: …dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan
permainan).

Syeikh al-Maraghi berkata: Iaitu memandang enteng dengan hukuman Allah yang disyariatkan bagi kamu pada agamanya bersandarkan kepada kamu sunah jahiliah. Perbuatan ini selepas diterangkan dan ditegaskan
dianggap sebagai penghinaan serta ejek-ejekan. Ini merupakan ancaman yang tegas kepada yang melampau atas hukuman Allah di samping menggalakkan orang Islam supaya menghormati hubungan suami isteri serta
menjauhkan daripada perbuatan yang dilakukan oleh ahli jahiliah. Ini kerana mereka menjadikan hubungan ini sebagai permainan dan menganggap perceraian begitu juga sebaliknya sebagai sia-sia.

Benarlah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih daripada Abu Darda’ katanya: Adalah seoarang lelaki
menceraikan kemudian berkata: Aku bermain. Begitu juga memerdekakan. Kemudian berkata: Aku bermain. Lantas turunnya ayat Allah ini. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Tiga perkara jika sungguh
dianggap bersungguh dan bergurau pun dianggap bersungguh iaitu perceraian, pernikahan dan juga
rujuk.

Sonhaji berkata: Allah melarang untuk mengejek-ejek ayat-ayat-Nya atau wahyu yang diturunkan-Nya. Kerana ayat-ayat ini mengandungi perkara-perkara yang halal, haram dan mengandungi perkara-perkara yang merupakan perintah dan tegahan.

Janganlah dipersenda atau permainkan apa yang telah disebutkan dahulu tentang hukum-hukum idah, rujuk dan khuluk serta meninggalkan penganiayaan, jika dilanggar adalah merupakan ejekan terhadap hukum-hukum tersebut dan orang yang melakukannya akan diseksa oleh Allah s.w.t.

Adapun orang yang bernikah atau mentalak isterinya ataupun memerdekakan hamba sahayanya dengan tujuan bermain-main sahaja adalah ditegah dan akibat perbuatannya akan menjadi sungguh-sungguh.

Firman Allah s.w.t: Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang
diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu
dengannya.

Al-Baghawi berkata: Nikmat Allah dengan iman dan kitab yakni al-Quran, sedangkan hikmah dengan makna sunah. Dikatakan juga segala peringatan Quran.

Syeikh al-Maraghi berkata: Sekalipun manusia berpaling daripada nikmat, maka telah rosak bagi mereka
perasaan, kasih sayang dan rahmat serta dihijabkan daripada mendapat peringatan dan hikmah. Ini kerana
mereka terpedaya dengan sedikit kekuatan mereka. Dan melampaunya mereka dengan kekayaan di samping
perempuan kufur di samping lelaki yakni suami mereka dan menghina, serta manusia sentiasa bertaqlid
sebahagian mereka denga sebahagian yang lain.

Sonhaji berkata: Yang dimaksudkan kitab di sini ialah al-Quran dan ilmu pengetahuan ialah pelajaran yang
diberikan oleh Nabi s.a.w. yang merupakan hadis, atau dimaksudkan juga dengan pelajaran-pelajaran yang
terkandung di dalam Quran. Ini semuanya Allah kurniakan kepada hamba-Nya untuk dijadikan pengajaran.

Firman Allah s.w.t: Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Al-Alusi berkata: Kamu bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan perintahnya dan Allah sekali-kali tiada
tersembunyi daripadanya sesuatu pun apa yang kamu lakukan dan tinggal. Justeru awasilah daripada
balasan-Nya.

Sonhaji berkata: Allah mengetahui sekiranya seseorang itu berlaku taat ataupun maksiat, sama ada
dilakukannya secara terang-terang atau tersembunyi. Sedikit pun tidak ada yang tersembunyi di sisi Allah,
bahkan semuanya dapat diketahui.

Iktibar Ayat

Imam al-Syafie berpendapat, tiga perkataan dianggap sarih (terang) dan tidak perlukan niat.

- Talak (cerai)
- Sarah (lepas)
- Faraq (berpisah)
- Talak berlaku hanya semata-mata sebut tanpa niat sekalipun jika lafaz jelas.

Memberi kemudaratan kepada isteri hukumnya haram.

Tiada ulasan: