Khamis, Julai 02, 2009

Pahala Membaca Al-Quran

Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.

Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."

Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai."

Sesiapa yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat.

Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.

Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya:

"Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi."

Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya.

Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut:

1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.

2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya.

Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

"Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya."

Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

"Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya."

Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

"Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain."

KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN

Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.

Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

"Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong."

ADAB MEMBACA AL-QURAN

Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi:

Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.

Berkata Yazid bin Abdul Mallek:

"Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi."

5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).

Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).

Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.

Firman Allah S.W.T:

Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil.(Surah Al-Furqan: 32)

Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil.(Surah Al-Muzammmil: 4)

Pengertian Tartil pada bahasa:

Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh.

Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya.

Saidina Ali k.w berkata:

Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman:

Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Israi’: 9)

Firman Allah S.W.T.:

Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.(Surah Al-Isra’: 82)

Firman Allah S.W.T. lagi:

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. (Surah Sad: 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.

Berkata Mujahid:

Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap.

17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi:

Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.

Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis:

Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:

(Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:

Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.

Quran Reciter + Translation in 24 Languages


Download
Password: www.warezrocker.net

Flash Quran


Rabu, Julai 01, 2009

Sai Baba



Pada hari ini, ramai pembaca-pembaca sudah kenal dengan khabar berita Sai Baba yang dikatakan jelmaan Dajjal. Beberapa pembaca dan pengembara tanpa segan silu telah membenarkan kata masing-masing tanpa merujuk dahulu hadith-hadith sahih dan situasi masa kini. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa Sai Baba yang terdapat hanya 30 peratus ciri-ciri fizikal Dajjal telah dianggap sebagai Dajjal.

Siapakah Sai Baba?

Sebelum melangkah lebih jauh, kita lihat dahulu siapakah sebenarnya Sai Baba. Nama sebenar beliau ialah Sathyanarayana Raju telah dilahirkan pada 23 November 1927. Sai Baba berasal dari Selatan India, sebuah kampung yang bernama Puttaparthi yang terletak dalam daerah Anantapur. Semenjak kecil lagi beliau dilihat sebagai budak yang keramat dan amat alim dalam agamanya.

Keajaiban Sai Baba dikatakan bermula sebelum ibunya mengandungkannya. Menurut cerita, sebelum mengandungkannya ibunya telah bermimpi melihat tuhan Hindu yang bernama Sathyanarayana. Easwarrama memberitahu suaminya telah dia telah mengandung selepas bermimpi melihat tuhan. Dia (ibu Sai Baba) juga mendakwa semasa mimpikan Tuhannya, dia telah melihat suatu cahaya biru datang ke arahnya dan bersatu dengan badannya. Maka disebabkan itu, dia menyimpulkan bahawa itu adalah roh pemberian tuhan Hindu ke dalam kandungannya. Selepas kelahirannya juga, orang-orang kampug mendakwa telah melihat beberapa ekor ular tedung (binatang suci orang Hindu) berkeliaran di luar rumah Sai Baba.

Ciri-Ciri Persamaan Sai Baba Dengan Dajjal

* Berambut kerinting
* Berbadan besar
* Berupaya menghidupkan yang mati.(Sai Baba tak berjaya menghidupkan semula adik bongsunya yang mati pada 18 Oktober 2003)

Ciri-Ciri Yang Tiada Pada Sai Baba Tetapi Ada Dalam Hadith

* Ibunya berbadan besar dan rendah manakala bapanya tinggi lampai dan hidung seperti paruh burung.
* Kulit mukanya putih kemerah-merahan.
* Berketurunan Yahudi
* Berasal dari suatu tempat antara Syam dan Iraq
* Hanya mata sebelah kiri yang dapat melihat, mata sebelah kanan buta dan agak terhapus termasuk wajah sebelah kanan.
* Memaksa orang awam mengakuinya sebagai tuhan sedangkan Sai Baba tidak menyatakan hal demekian cuma orang ramai yang beranggapan ia berkuasa sperti tuhan. Namun begitu, tiada orang Hindu yang anggap ia tuhan.

Penafian Bahawa Sai Baba adalah Dajjal

Penafian bahawa Sai Baba bukan Dajjal dapat dilihat pada ibu bapa dan keturunannya sendiri. Ibu bapa Sai Baba tidak kelihatan seperti dalam gambaran hadith malah bukan pula berketurunan Yahudi. Ibu bapa Dajjal yang sebenar telah pun mati sejak sebelum kelahiran Nabi Musa lagi. Selain itu, Sai Baba juga kelihatan semakin tua dan tidak bermaya walaupun ia mendakwa mempunyai kuasa seperti tuhan.

Masyarakat Hindu mungkin mempercayainya sebagai anak tuhan namun ada seorang ahli silap mata terkenal India iaitu Basava Premanand mendakwa Sai Baba menipu dalam ajarannya. Premanand juga memberitahu beliau telah lama mengkaji dan memerhati tindak tanduk Sai Baba sejak tahun 1968 lagi. Laporan berkenaan dakwaan Premanand ini telah dihuraikan panjang lebar dalam majalah “Indian Today” yang diterbitkan pada Disember tahun 2000.

Seperkara yang paling tidak menampakkan ciri-ciri Dajjal ialah Sai Baba tidak berdakwah kepada orang-orang Islam di India. Sedangkan itulah matlamat Dajjal dalam dakwahnya. Dajjal seluruh hidupnya menjadikan Islam sebagai satu target utama untuk dimusnahkan kerana dari kalangan masyarakat Islam akan timbul musuh Dajjal yang utama iaitu Nabi Isa dan Imam Mahdi.

Bukan itu sahaja yang menjadi penafian terhadap Sai Baba sebagai Dajjal ialah Sai Baba memuji pula agama-agama lain dalam laman web rasminya. Sai Baba bersikap bertolak ansur dan tidak memaksa dan tidak pula merendah-rendahkan agama lain. Adakah Dajjal akan bersikap demikian?

“Let the different faiths exist, let them flourish, and let the glory of God be sung in all the languages and in a variety of tunes. That should be the Ideal. Respect the differences between the faiths and recognize them as valid as long as they do not extinguish the flame of unity.”

Kesimpulan

Kesimpulannya, Sai Baba bukanlah Dajjal dan Dajjal bukanlah Sai Baba. Penulis langsung tidak bersetuju Dajjal adalah Sai Baba kerana Sai Baba tidak menunjukkan kehebatannya dalam menerbitkan matahari dari Barat. Sai Baba juga hidup lebih dari 70 tahun sedangkan hadith mengatakan Dajjal hanya hidup dikalangan masyarakat setelah ia keluar sekadar 40 hari sahaja. Namun begitu, penulis boleh menerima pendapat sekiranya ada yang mengatakan Sai Baba adlaah bahan ujian Dajjal.

Pendapat itu lebih logik dan penulis sendiri agak terdorong dengan pendapat itu. Dajjal masih melakukan kajian-kajian untuk mencari pilihan terbaik tempat, situasi dan imej untuk dia muncul di tengah-tengah masyarakat. Penulis percaya Sai Baba adalah suatu subjek kajian Dajjal untuk melihat sejauh mana penampilan orang India dalam mempengaruhi masyarakat dunia. Maka tidak hairanlah Sai Baba mempunyai pertubuhan seluruh dunia termasuk Russia dan Eropah. Hairannya di Malaysia tidak ada.

Nampaknya Dajjal tidak akan muncul dikalangan masyarakat India kerana Sai Baba kurang dikenali malah berimej selekeh yang tidak disenangi oleh kebanyakan orang-orang Eropah dan Amerika.

Selasa, Jun 30, 2009

Penentangan dan penyembunyian bukti oleh Yahudi dan Nasrani

ATAU patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishaq, dan Ya'qub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberkan Allah kepadanya?" Dan( ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan. (al-Baqarah: 140)

Huraian

Golongan Yahudi dan Nasrani mendakwa bahawa Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'qub dan anak cucu mereka adalah beragama Yahudi atau Nasrani, sedangkan Allah SWT lebih mengetahui bahawa nama Yahudi, Kristian, Nasrani atau Maseh itu belumlah dikenal pada zaman nabi-nabi ini masih hidup tetapi setelah mereka mati dan diberi nama oleh anak-anak murid mereka.

Golongan ini sesungguhnya lebih mengetahui bahawa ajaran agama mereka yang sejati yang dibawa oleh Nabi Musa ataupun Nabi Isa as ialah menyembah Allah yang Maha Esa.
Namun demikian mereka tetap menyembunyikan dan melakukan pemalsuan dan penambahan terhadap kitab-kitab mereka sehingga mengubah daripada pokok ajaran yang asal daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah tetap mengetahui perbuatan mereka ini dan tidaklah lepas daripada penglihatan Allah dan manusia juga lama kelamaan pasti akan nampak penyelewengan dan pencerobohan yang dilakukan oleh kaum ini sehingga agama mereka akan ditentang dan perpecahan di kalangan mereka sendiri akan tambah berleluasa.

Kesimpulan

Setiap agama samawi yang diturunkan adalah berasal daripada ajaran Allah tetapi golongan Yahudi dan Nasrani ini telah menyelewengkannya daripada ajaran yang asal sehingga mereka sanggup menyembunyikan bukti-bukti yang menyatakan mereka terlibat dalam hal penyelewengan tersebut dan menyangka bahawa mereka selamat sedangkan Allah SWT Maha mengetahui dan kebenaran pasti akan diketahui juga akhirnya.

Khamis, Jun 25, 2009

Laungan Azan Tangani Histeria

HISTERIA atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai kerasukan sesuatu yang benar-benar wujud. Sebagai contoh, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 bermaksud: "Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama saja seperti riba". Padahal Allah sudah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang sudah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang sudah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkara itu terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi (perbuatan mengambil riba), maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."

Dirasuk ditafsirkan oleh ulama, contohnya Ibn Kathir dalam tafsir al-Quran al-Azim bahawa pemakan riba tidak dapat berdiri dengan betul pada hari kiamat. Mereka akan berjalan terhuyung-hayang seperti orang kerasukan.

Sebagai keterangan lanjut yang berkaitan, dalam hadis sahih riwayat al-Hakim daripada Kharijah As-Shalt daripada Alaqah Sahar, dia berkata: "Pada zaman Nabi dulu, penduduk sebuah kampung pernah meminta tolong kepadaku mengubati seorang yang selalu ditimpa penyakit gila dan kerasukan di kalangan mereka. Orang lelaki ini diikat bagi mengelakkan dia menyusahkan orang lain.
"Alaqah akhirnya membacakan al-Fatihah untuk orang yang ditimpa musibah itu setiap hari, pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut sehingga dia sembuh dan dilepaskan daripada gangguan syaitan itu."

Merujuk bukti al-Quran dan hadis yang sangat banyak, ulama ahli Sunnah bersepakat mengatakan kerasukan syaitan benar-benar wujud. Ia satu bentuk penguasaan syaitan ke atas manusia di samping cara mempengaruhi yang lain.

Allah SWT menjelaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: "Syaitan sudah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah."

Matlamat terakhir gangguan syaitan seperti digambarkan dalam surah al-A'raf ayat ke-17 bermaksud: "Kemudian aku datangi mereka dari hadapan serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."
Bagi mengatasi masalah gangguan itu, cara paling berkesan terutama apabila berlaku kepada ramai, seseorang melaungkan azan. Nabi SAW menyatakan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Apabila azan dilaungkan, syaitan bertempiaran lari sambil membunyikan kentutnya kerana tidak mahu mendengar suara azan".

Dalam hadis lain, rawatan yang sangat berkesan ialah membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Cara dicadangkan menurut hadis riwayat Abu Daud ialah membuat tiupan kepada pesakit dan mengulangi bacaan itu tiga kali atau lebih.

Bagi mengelak ditimpa gangguan syaitan yang pelbagai, kita perlu sentiasa zikir dan wirid sekurang-kurangnya selepas solat, sentiasa membaca al-Quran dan mengamalkan doa pilihan.

Sebagai contoh pembaca boleh merujuk kitab zikir nabi karangan al-Imam an-Nawawi yang sangat padat dengan amalan dan petua yang dianjurkan Baginda SAW. Nabi juga pernah mengalami gangguan syaitan akibat disihir oleh Yahudi Labid al-A'sam, tetapi Baginda diselamatkan Allah dengan amalan membaca al-Falaq dan an-Nas.

Sebagai wasiat yang penting daripada Nabi SAW seperti yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda:

"Apabila kegelapan malam tiba, iaitu waktu petang, tahan anakmu, sesungguhnya syaitan bertebaran pada waktu itu. Apabila malam mula berlalu, maka lepas mereka, tetapi tutup pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah. Sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang tertutup, tutup makanan dan minuman serta sebut nama Allah SWT, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya."

Antara Logik dan Benar

Tidak semua perkara yang benar itu logik

Kisah 1:

Seorang kafir (OK) berkata pada orang mukmin (OM) yang sedang berwudhuk:
OK: "Kenapa kamu wudhuk?
OM: "Aku tadi batal wudhuk sebab terkentut"
OK: " Aku heran, kamu kentut di belakang tapi kenapa kamu cuci muka, tangan, kepala dan kaki kamu? Kenapa kamu tidak cuci tempat yang keluar kentut?
OM: "Ini arahan Tuhanku, aku taat saja"
OK: "Jelas sekali agama kamu ini tidak benar. Arahannya tidak logik sama sekali"
OM: "Kebenaran itu tidak semestinya logik"
OK: " Apa buktinya?
OM: Yuk ikut aku
OM membawa OK ke sebuah pintu. Lalu OM memegang tangan OK, kemudian menyepit tangan OM dengan pintu itu. OK menjerit kesakitan.
OK: Aduh tangan aku sakit...tolong lepaskan tangan aku!
OM: Baiklah...inilah jawabanku: tangan kamu yang sakit, tapi kenapa mulut kamu yang menjerit.
OM pun meninggalkan OK yang bodoh sombong itu dalam kesakitan....


Kisah2:
Seorang kafir (OK) berkata kepada orang mukmin (OM)
OK: Tuhan kamu sungguh tidak adil
OM: Kenapa?
OK: Tuhan kamu menghukum manusia dan syaitan yang jahat di dalam neraka yang terbuat dari api. Tentu saja manusia tersiksa tapi syaitan enak saja.
OM: Kenapa begitu?
OK: Yalah...manusia dicipta dari tanah, kalau dibakar dengan api hangus, sakitlah. Tapi syaitan dicipta dari api, kalau dibakar dengan api relaks lah....tdk terasa apa-apa....
OM: Tidak begitu. Tuhan aku kata, mereka semua akan tersiksa...
OK: Ah...tidak mungkin. Logiknya manusia saja yg tersiksa, syaitan tidak

OM diam sebentar, lalu dia meninggalkan OK.

Beberapa waktu kemudian OM datang lagi dengan membawa sebongkah tanah keras dan melemparnya tepat ke dahi OK

Dahi OK luka berlumuran darah. Kemudian dia membawa OM menghadap seorang hakim. Setelah mendengar cerita dari kedua belah pihak ttg kejadian itu, maka hakim bertanya pada OM

Hakim: mengapa kamu lempar OK begitu?
OM : Maaf Tuan Hakim, OK mengatakan bahwa Tuhan tidak adil kerana menghukum manusia dan syaitan yang jahat di dalam neraka yang terbuat dari api. Tentu saja manusia tersiksa tapi syaitan enak saja sbb syaitan dicipta dari api. Logiknya memang begitu, tapi itu tidak benar. TIDAK SEMUA YANG LOGIK ITU BENAR

Sebagai buktinya saya lempar dia dengan tanah. Logiknya OK, manusia yg dicipta dari tanah kalau dilempar dengan tanah tidak sakit, bukan? Tapi buktinya OK luka dan sakit. Saya tidak bermaksud menyakitinya, saya hanya mau menjawab pertanyaannya.

Renungan kepada para pengagum Albert Einstein, Bill Gates, para saintis, filosof dan yang sejenis dengannya. Kalau begitu, siapakah sebenarnya manusia yang paling cerdik? Einstein, dll yang kafir atau orang mukmin (walaupun dia hanya tukang kebun)?

Pakai Inai Tiada Unsur Syirik

Dari segi bahasa, inai bermaksud bahan yang digunakan untuk memerahkan kuku, jari dan anggota badan. Dalam bahasa Arab inai dipanggil Al-Hinnaa' atau henna.
Pemakaian inai seolah-olah menghiaskan diri dengan bahan yang dipakai, sama seperti memakai perhiasan di tubuh seorang wanita. Sifat inai tidak berkekalan selamanya ditubuh kita.

Sebelum menentukan hukum memakai inai perlu dilihat dari beberapa aspek, antaranya ialah;

* Bahan inai itu daripada apa ia diperbuat? Adakah daripada bahan yang halal atau daripada bahan yang haram. Sekiranya inai itu semata-mata daripada daun inai, sama ada yang dikeringkan atau diproses secara tradisi maka bahannya halal.
* Ukiran inai, sekiranya inai itu diukir ditangan manusia dengan bentuk lambang salib atau lambang berhala atau objek yang menyerupai makhluk maka hukumnya haram. Sekiranya inai diukir membentuk corak-corak flora, seperti bunga, daun-daun atau apa-apa sahaja bentuk yang tidak menyerupai makhluk adalah harus hukumnya.
* Inai bagi tujuan berubat. Dalam tradisi perubatan inai dipercayai boleh memulihkan kuku yang bermasalah. Ada juga masyarakat Arab dan afrika menggunakan inai untuk tujuan menggelakkan merkahan pada tapak kaki. Sekiranya inai digunakan untuk tujuan perubatan hukumnya harus.
* Hukum memakai inai bagi orang lelaki. Memakai inai bagi kaum lelaki dari kalangan orang Islam perlu dilihat dari sudut budaya dan uruf (budaya sesebuah kaum). Ada di kalangan ulama yang mengharamkannya atas alasan menyerupai orang perempuan dan ada pula yang mengharamkannya kerana memakai inai bukan budaya orang Islam malahan budaya orang bukan Islam. Perlu diperjelaskan di sini tidak semua budaya itu haram. Islam hanya mengharamkan budaya yang bertentangan dengan syariah dan akidah Islamiah. Budaya memakai inai tiada kaitannya dengan ketuhanan selain Allah SWT dan tiada unsur syirik.
* Ulama mengharuskan wanita memakai inai untuk perhiasan suami dan ahli keluarganya sahaja dan bukan untuk ditayangkan kepada yang lain. Maka harus bersederhana dalam berinai untuk mengelakkan fitnah.

Di Malaysia bagi masyarakat yang beragama Islam kebanyakannya akan memakai inai pada hari perkahwinan di dua atau tiga jari sahaja, tidak seperti perempuan memakai pada semua jari. Dan inai ini dipakai oleh orang lelaki hanya untuk majlis perkahwinan mereka sahaja bukan untuk selain daripada itu melainkan untuk mengubat kuku atau tapak kaki yang merkah.

Adapun inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita zaman salaf berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya dengan dalil:
Daripada Aisyah ra, "Nabi melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda, "Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai)." (Abu Daud, no: 4166 dan al-Nasa'iy,no:5092)

Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan ulama berpendapat bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasan wanita . Inai yang digunakan untuk perubatan (medication) tidaklah mengapa (tujuan kesihatan seperti inai di ibu jari kaki yang menghidap penyakit sekam (kuku rosak).

Menangani Gangguan Syaitan

Allah SWT berfirman dalam al-Quran menceritakan mengenai hakikat gangguan syaitan, contohnya surah al-Hijr ayat 33-42 , maksudnya: Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya." Allah SWT berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau daripada sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. "Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus menerus sehingga ke hari kiamat.". Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)."

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari masa yang termaklum." Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! kerana Engkau sudah menjadikanku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat Adam itu hamba-Mu yang dibersihkan daripada sebarang syirik." Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-Ku, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu daripada orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

Bagi kalangan pentafsir al-Quran, contohnya Ibn Kathir dalam Sahih tafsir Ibn Kathir, menjelaskan apa yang kita dapat pelajari daripada ayat ini bahawa iblis sudah berazam untuk mengganggu dan menyesatkan manusia hingga menyebabkan mereka mencintai melakukan maksiat serta menyebabkan mereka merasai gelisah. (Lihat Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir, cetakan Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, jilid 5, hlm 107-108 )

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim, kerja iblis ialah untuk menghancurkan manusia, bahkan syaitan yang berupaya menyebabkan perceraian antara suami isteri adalah syaitan yang paling disayangi oleh ketuanya, iblis. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya iblis membina singgahsana di atas air lalu mengutuskan bala tenteranya, maka yang paling tinggi kedudukannya di sisinya ialah yang paling teruk fitnahnya. Maka akan datanglah seseorang mereka lalu melaporkan kepada iblis aktivitinya, bahawa aku telah melakukan sekian sekian, lantas jawapan iblis, tidak kau tidak buat apa-apa! Kemudian datang yang berikutnya mengatakan aku tidak tinggalkan urusanku sampai aku menyebabkan mereka bercerai-berai suami dan isterinya! Jawab Iblis: Ya, mari sini duduk dekat denganku! Engkaulah yang aku hendak!

Ada banyak ayat lain dan hadis daripada pelbagai sumber yang menunjukkan gangguan syaitan kepada manusia, termasuklah usahanya mencucuk perut bayi yang masih kecil untuk menyakitinya supaya ayah dan ibu bayi itu terganggu sehingga mereka tidak dapat tidur dan terlepas solat Subuh. Dalam perkembangan yang lain pula, mereka akan pergi mendapatkan anjuran dan rawatan golongan ahli sihir.

Lantaran itu Nabi SAW membacakan doa pelindung "U'izukuma bikalimatilLahit tammati min kulli syaitanin wa hammah, wamin kulli ainin lammah" yang bermaksud: "Aku mohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna buat kamu berdua (Hasan dan Husin) daripada gangguan syaitan dan binatang bahaya dan daripada pandangan mata yang jahat. Munajat ini dipanjatkan oleh Nabi buat kedua cucu Baginda Hasan dan Husin daripada gangguan syaitan.

Ini sebagai satu saranan buat ibu bapa agar sentiasa mendapatkan perlindungan Allah SWT dalam menghadapi kerenah gangguan makhluk halus. Cuma menghadapi gangguan makhluk halus yang terdiri daripada jin dan syaitan ini, manusia terbahagi kepada dua iaitu yang bersabar lalu berusaha mendapatkan rawatan yang dibenarkan dalam perspektif syarak dan yang kedua, yang mencari penyelesaian menerusi bomoh, pawang , dukun dan sebagainya.

Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang bermaksudnya: "Sesiapa yang berjumpa dengan bomoh lalu membenarkan kata-katanya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi SAW (Riwayat Ahmad no 9784 , Abu Daud no 3904 )

Sebenarnya bagi menghadapi gangguan syaitan dan jin ini, Nabi saw sudah meninggalkan bekal yang amat mujarab yang akan memberikan kesan paling maksimum kepada gangguan itu sendiri iaitu (sila rujuk Perisai Muslim, terjemahan Dr Ab Basit hlm 120, cetakan Telagabiru Sdn Bhd):

1. Mengucapkan ta'awwuz iaitu A'uzubilLahi minassyaitanirrajim.

2. Melaungkan azan jika gangguan itu berlaku di hadapan kita contohnya histeria.

3. Membacakan ayatul Kursi dan zikir yang nabi ajarkan.

Cuma masalah timbul adalah keberkesanan bacaan ini apabila dilakukan mereka yang kurang amalan. Cantiknya bandingan yang dikemukakan Ibnul Jawzi dalam Talbis Iblis ialah orang yang tidak beramal ini bandingan-nya seperti seorang yang tidak biasa bermain senjata. Kelak apabila dia terpaksa menggunakan senjata maka dia akan menghadapi masalah kerana tidak berlatih menggunakannya. Demikian apabila Muslim tidak biasa beramal dengan amalan ma`thur ini dibimbangi baca-annya ketika ditimpa musibah itu tidak akan berkesan.

Apabila keadaan ini berlaku, seseorang itu hendaklah menemui orang salih yang berkeahlian untuk menangani gangguan itu. Jangan sesekali mendampingi orang yang disangka ahli padahal dia memakan harta manusia teraniaya secara zalim. Carilah penyelesaian menurut jalan yang dibenarkan oleh syarak, sekalipun ia memerlukan jalan yang agak panjang, kerana matlamat kita adalah mencari keredaan Allah SWT, bukan semata-mata untuk bebas dari ujian yang ditakdirkan berlaku untuk keampunan dosa, tapi menyebabkan kita derhaka. Bagi yang ditimpa gangguan, anggaplah ia adalah ujian untuk penghapusan dosa dan usahakan mencari rawatan yang dibenarkan syarak dengan merujuk kepada ustaz, imam dan ahli agama sebelum kita berjumpa dengan pawang atau bomoh.

Israk Mikraj Pengajaran Paling Bermakna bagi Umat Muhammad S.A.W

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya zaman berputar seperti keadaannya tatkala Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun ada 12 bulan. Antaranya ada empat bulan haram. Tiga bulan berurutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu." (Surah At-Taubah ayat 36).

Menghubungkan Rejab dengan sejarah Islam, bulan ini tidak banyak mencatat peristiwa besar, tetapi satu daripada peristiwa yang berlaku itu boleh dijadikan bahan renungan seluruh pengikut Nabi Muhammad SAW.

Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Islam mencatat dua peristiwa sedih memilukan hati dalam sejarah perjalanan hidup rasul kesayangan kita, iaitu Nabi Muhammad.

Dua peristiwa sedih dimaksudkan itu ialah kematian Siti Khadijah, isteri yang sangat disayangi Baginda dan banyak berkorban harta benda dan wang ringgit untuk membantu Baginda berdakwah mengembangkan Islam. Siti Khadijah dengan penuh ikhlas dan rela hati menyumbang semua harta miliknya untuk kepentingan dan kemajuan dakwah Rasulullah dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.

Kemuraman terus melanda hidup Rasulullah. Selepas kematian Siti Khadijah disusuli pula dengan kematian bapa saudara Nabi, Abu Talib yang begitu rapat dengan hidup Nabi. Justeru, Abu Talib bersungguh-sungguh dan bermati-matian membela dan melindungi Rasulullah daripada ancaman orang kafir Quraisy.

Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab ketika itu menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah. Pemergian dua sangat rapat dan disayangi Baginda ini, Siti Khadijah dan Abu Talib, amat dirasakan oleh Baginda selepas itu.

Justeru, selepas kematian dua orang disayangi oleh Rasulullah ini, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah semakin sempit dan sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy. Baginda mendapat ejekan serta mengancam keselamatan Baginda. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif.

Malangnya di Taif juga Rasulullah menerima cacian, ejekan serta penghinaan penduduk Taif. Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah cukup berat ketika itu. Melihat keadaan Rasulullah SAW itu maka Allah memerintahkan Jibril membawa Rasulullah melalui peristiwa Israk Mikraj. Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 menjadi rasul.

Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi - "(Surah Maryam ayat 57).

Inilah peristiwa penting dan besar bagi orang Islam kerana peristiwa itu memberi hikmah dan pelajaran yang sangat mendalam bagi Nabi Muhammad dan sekali gus ia juga menjadi cermin bagi umat Muhammad pada hari ini, sebelum ini dan yang akan datang.

Sesuatu yang dikira penting bila bercakap mengenai Israk Mikraj ini ialah sejarah pensyariatan solat kini difardukan bagi umat Islam lima waktu sehari. Pada mulanya Allah menetapkan sebanyak 50 waktu sehari ketika Nabi Muhammad kali pertama menghadap Allah di Sidratul Muntaha. Selepas turun naik berulang kali menghadap Allah selepas diminta oleh Nabi Musa, maka akhirnya Allah menetapkan lima waktu saja sehari semalam.

Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj yang dialami Nabi Muhammad ribuan tahun lalu itu sentiasa segar dalam ingatan seluruh umat Islam kerana peristiwa itu diingati setiap tahun. Peristiwa itu memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada orang mukmin untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah hingga kiamat. Jelas diperlihatkan kebesaran dan keagungan Allah melalui peristiwa Israk Mikraj.

Allah berfirman bermaksud: "Maha Suci Allah, yang menjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkali sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra' ayat 1)

Mempelajari kejadian yang berlaku sepanjang peristiwa Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad pada masa tiga suku malam itu boleh memberi kesedaran dan keinsafan mendalam bagi umat Muhammad.

Sebagai contoh ialah satu kejadian yang disaksikan Rasulullah ketika perjalanan (Israk), sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu mereka memecahkan semula. Mereka melakukannya berulang-ulang kali. Jibril memberitahu Rasulullah itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud kepada Allah (solat).

Kejadian di atas itu boleh menginsafkan mereka yang selama ini mengabaikan atau tidak solat. Allah tetap akan memberi balasan kepada mereka yang tidak sujud kepada-Nya dan Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Selasa, Jun 23, 2009

Arak Haram Di Dunia Halal di Syurga

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, memuliakan manusia dengan semulia-mulianya, melebihkannya daripada sekalian ciptaan yang lain, mempermudahkan kepada mereka segala benda di bumi dan di langit (taskhir) dan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi.

Al-`Izz bin Abd al-Salam berkata: “Ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mensyariatkan satu hukumpun melainkan untuk maslahah dunia atau maslahah akhirat, untuk maslahah dunia dan maslahah akhirat sekaligus sebagai limpahan kurniaan-Nya kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat, hikmat dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan kesukaran yang tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat” (Syajarah al-Ma’arif Wa al-Ahwal, hal. 401)

Syariat dibina di atas prinsip menjaga lima kepentingan daruri iaitu agama, nyawa, keturunan/maruah, akal dan harta. Imam al-Ghazzali berkata: Ada lima maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Oleh itu setiap perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini dikatakan maslahah dan setiap yang menghilangkan lima asas ini disebut sebagai mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah. (Al-Mustasfa, jil 1 hal. 289)

Antara persoalan yang sering timbul di kalangan sesetengah pihak ialah mengapa di syurga dihalalkan kepada penghuninya arak dan bidadari yang mana ketika di dunia manusia diharamkan mabuk dan zina. Apakah yang menjadi sebab kepada perbezaan ini? apakah hukum itu mempunyai penilaian yang berbeza?

Merujuk kepada arak dan pergaulan bebas, tidak dinafikan bahawa sememangnya manusia mahu hidup dalam kenikmatan dan keseronokan. Bagi seorang mukmin, alam dunia dan alam syurga amat jauh perbezaannya. Sifat hidup di dunia adalah terbatas, terikat dengan hukum syarak, penuh dengan ujian. Kenikmatan yang dikecapi tidak diperolehi dengan senang tetapi memerlukan pengorbanan dan perjuangan.

Arak diharamkan kerana illah atau sifat yang ada padanya iaitu memabukkan. Sifat memabukkan ini relevan dengan penjagaan akal. Mengambil arak bererti menutup kewarasan akal untuk berfikir sehingga diri sendiri dan masyarakat terdedah kepada bahaya dan mudarat. Objektif pengharaman arak dilihat kepada kesan daripada arak yang membawa kepada kemudaratan. Pengambilan arak akan menjejaskan kesihatan terutamanya kerosakan hati. Selain itu, arak menyebabkan ketagihan sehingga peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Arak yang ada di akhirat lain pula sifatnya yakni tiada sifat memabukkan. Oleh kerana sifatnya yang berbeza di dua alam itu, maka dibenarkan arak di syurga sebagai suatu nikmat bukan minuman yang menyakitkan.

Sementara zina pula, persetubuhan yang tidak berdasarkan kepada aqad perkahwinan yang sah tetapi semata-mata memenuhi hawa nafsu. Ia merosakkan akhlak, meruntuhkan maruah (keperibadian) dan sistem kekeluargaan. Ia menjejaskan kesihatan manusia dan mendedahkannya dengan pelbagai penyakit. Keturunan menjadi celaru sehingga tiada diketahui siapa ayahnya yang sebenar sehingga anak mengalami gangguan emosi dan psikologi.

Oleh sebab itu, Islam mensyraiatkan perkahwinan supaya seseorang itu ada jalan untuk memenuhi tuntutan seksualnya dengan cara yang halal, selamat, suci, beradab dan terhormat. Mencari keseronokan di luar perkahwinan akan menafikan nilai-nilai ketamadunan dan peradaban. Perkahwinan lebih bersifat membina sistem kekeluargaan seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera.

Bidadari di syurga umpama isteri yang menjadi milik mutlak penghuni, tidak berkongsi dengan sesiapa, tiada yang pernah menjeling kepadanya. Hanya menanti kedatangan orang mukmin. Dia tidak melahirkan anak, tidak mengalami haidh dan segala macam yang dialami oleh manusia. Kenikmatan bersamanya tidak mengakibatkan sebarang risiko. Hal ini berbeza sama sekali dengan pergaulan bebas.

Ringkas kata, pengambilan arak dan pergaulan bebas hanya membawa kepada porak peranda, kekacauan dalam kehidupan manusia baik pada tingkat indivdu mahupun masyarakat.

Sewajarnya, manusia itu mengetahui bahawasanya dia diikat dengan hukum supaya mengetahui bahawa ada kehidupan satu lagi yang lebih utama, lebih kekal (Surah al-Dhuha, Surah al-A’la). Jikalau dunia ini berjalan tanpa ada peraturan dan undang-undang bahkan yang ada undang-undang rimba, kelangsungan hanya untuk orang yang kuat maka hancur dan musnah kebahagiaan manusia.

Di syurga tiada lagi keterikatan dengan hukum kerana, perjalanan hidup di sana atas sifat sejahtera tidak memudaratkan, aman dan penuh kenikmatan.

Allah s.w.t. berfirman:

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, - (Iaitu) syurga " Adn " yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hamba-Nya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; Sesungguhnya Tuhan itu, janjinya tetap berlaku. Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa). Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba kami. (Surah Maryam: 60-63)

Sebagai seorang muslim, terutamanya yang sering interaksi dengan masyarakat sewajarnya mengetahui matlamat pensyaritan hukum atau falsafah dan hikmat syariah supaya dakwahnya itu lebih berkesan dan menyakinkan.

Jumaat, Jun 19, 2009

Hiburan dalam Islam

1. Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan oleh Allah taala atau menjurus kepada yang haram seperti:

• memuja wanita.
• mendedahkan aurat.
• menggalakkan pergaulan bebas.
• mengandungi kata-kata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan dan mempropagandakan kepercayaan agama lain.
• memuja dadah dan arak.
• mengandungi khayalan-khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta.
• menghina amalan-amalan Islam.
• memfitnah orang.

2. Hiburan dipersembahkan dengan menepati adab-adab yang telah ditetap oleh Islam.

3. Hiburan hendaklah tidak menyebabkan pengabaian sesuatu yang lebih penting berdasarkan prinsip penentuan prioriti dalam Islam seperti berhibur hingga terlupa bersolat dan terlalu tenggelam mendengar muzik sehingga tidak membaca Al-Quran.

4. Hiburan bukanlah alternatif pada amalan ibadat khusus tetapi pendorong padanya.

5. Hiburan hendaklah menjauhi dari unsur menyerupai penganut agama lain atau golongan yang berakhlaq rendah kerana Islam sentiasa menuntut umatnya agar menyalahi amalan penganut agama lain dan menjauhi dari dikaitan dengan akhlaq-akhlaq yang keji. Ini dapat dilihat dari larangan bersolat selepas solat Subuh dan selepas Asar kerana menjauhi amalan penyembah matahari dan amalan berpuasa sembilan dan sepuluh Muharram kerana menyalahi amalan orang Yahudi yang berpuasa pada sepuluh Muharram sahaja.

Sebagai contoh ialah berambut panjang. Walau pun tiada dalil khusus yang melarang orang lelaki berambut panjang tetapi oleh kerana ia telah menjadi simbol para penyanyi Rok yang dikeji oleh Islam maka ia perlu ditinggalkan.

6. Semua alat muzik adalah harus kecuali ia digunakan untuk sesuatu yang haram atau menjurus pada yang haram atau sebab-sebab sampingan yang lain yang diharamkan. Ini berdasarkan pada pandangan Ibn Hazm yang berpendapat bahawa dalil-dalil mengenai pengharaman alat-alat bertali dan tiupan adalah lemah.

7. Tertakluk pada dasar-dasar hiburan, nyanyian oleh wanita adalah harus. Ini berdasarkan pada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat.

8. Penyanyi wanita hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok secara mengghairahkan.

9. Hukum nyanyian dan lagu juga berkaitan dengan konteks ia disampaikan. Lagu bertemakan cinta, jika dinyanyikan untuk memuja wanita dan berkhayal ia membawa pada haram tetapi jika ia dinyanyikan untuk isteri atau suami bagi mengeratkan lagi kasih sayang maka ia dibenarkan. Ini termasuk di bawah kaedah Al-Umur Bi Maqasidiha.

10. Begitu juga lagu-lagu yang bersifat abstrak atau kiasan, keharusannya bergantung pada bagaimana ia ditafsirkan. Sekiranya pentafsirannya menjurus pada haram maka ia menjadi haram dan sebaliknya.

Rabu, Jun 17, 2009

Mandi Bunga

Mandi bunga bukanlah suatu yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafussoleh terdahulu. Ia berasal daripada kepercayaan lama yang dipegang oleh orang Melayu, kononnya untuk membuang sial dan menaikkan seri wajah.

Melakukan mandi bunga atas dasar para pakar perubatan telah mengesahkan kebaikan dan khasiatnya kepada tubuh badan, bukanlah satu kesalahan. Yang salah ialah berjumpa bomoh atau pawang dan meminta dimandikan dengan membaca mentera tertentu untuk menaikkan seri wajah. Semua mentera yang dibaca oleh para bomoh itu kebanyakannya ada unsur syirik dan khurafat. Rasulullah s.a.w melarang umatnya berjumpa bomoh dan mempercayai kata-katanya. Oleh itu hindarilah dosa yang membawa kepada syirik kerana ia merupakan salah satu dosa yang tidak diampunkan.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau bomoh, lalu percaya kepada apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhamad s.a.w." – Hadis sahih riwayat Abu Daud dan Ashab al-Sunan.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi bomoh, kemudian bertanya kepadanya sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari." – Riwayat Muslim.

Tidak ada ayat tertentu yang boleh dibaca untuk mempercepatkan jodoh. Al-Quran mempunyai misi yang lebih besar daripada itu, iaitu sebagai petunjuk kepada sekalian alam dan menyelamatkan umat manusia daripada Neraka. Ia tidak akan membincangkan hal remeh-temeh seperti mencari jodoh atau menyerikan wajah.