Isnin, Mei 31, 2021

Bersahur Membezakan Puasa Muslim


عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
Daripada Amru Ibnu Al-Ash RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur." (HR Muslim No: 1836) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Ibadah puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam sama juga dengan ibadat puasa yang telah pun diwajibkan kepada ahli kitab (yahudi dan nasrani). Tetapi terdapat beberapa perbezaan di antaranya ialah :
a. Umat Islam diwajibkan berpuasa setahun sekali iaitu pada bulan Ramadhan.
b. Disunatkan bagi orang Islam yang hendak berpuasa makan sahur sebelum masuk waktu subuh.
2. Ibadat puasa kita perlu berbeza dengan ibadat puasa ahli kitab iaitu dengan kita makan sahur sebelum fajar.
3. Bersahurlah walaupun dengan seteguk air atau sebiji kurma.
4. Umat Islam yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala yang melimpah-limpah di akhirat dan beroleh berbagai-bagai pertolongan di dunia lagi.
Bagi yang berpuasa sebaiknya bersahurlah sebagai mencontohi amalan Rasulullah SAW dalam ibadat puasa dan ia membezakan ibadat puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab.

Solat Witir dan Zikir


Solat ini disebut witir kerana ganjil, bersesuaian dengan bilangan rakaat solat sunat ini iaitu sama ada dilaksanakan satu, tiga, lima, tujuh, sembilan atau sebelas rakaat.
Solat witir dilakukan selepas solat isyak. Hukum melaksanakannya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang amat digalakkan di dalam Islam.
Dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada Abu Ayyub RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلاَثٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ
“Solat Witir ialah syariat yang dituntut atas setiap orang Islam. Sesiapa hendak melakukannya 5 rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukannya 3 rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukannya 1 rakaat sahaja lakukanlah.” (HR Abu Daud No:1422)
Kepentingannya juga disebut dalam hadis daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ
Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal”. (HR Muslim No 755).
Imam al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah berkata: Para ulama berbeza pandangan pada bilangan rakaat. Imam al-Thauri berpandangan bahawa witir sama ada lima, atau tiga atau satu, tetapi digalakkan berwitir dengan tiga rakaat. Pandangan ini juga merupakan pandangan Ibn al-Mubarak dan ahl al-Kufah dan sebahagian daripada sahabat antaranya Abdullah bin Mas'ud.
Di dalam bulan Ramadan ini, menjadi kebiasaan kita melaksanakan solat witir selepas selesai solat sunat tarawih.
Selepas solat witir, antara zikir yang menjadi sunnah Rasulullah SAW ialah membaca 'Subhanal Malikil Quddus' sebanyak 3 kali.
عن عبد الرحمن بن أبزى أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الْوِتْرِ سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكِ الْأَعْلَى وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَإِذَا سَلَّمَ قَالَ: سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَرْفَعُ بِالثَّالِثِ صَوْتَهُ
"Daripada Abdul Rahman bin Abza bahawa Nabi SAW membaca dalam solat witir surah al-A'la, al-Kafirun dan al-Ikhlas. Selepas memberi salam baginda akan menyebut: "SUBHANAL MALIKIL QUDDUS [Maha suci (Allah), Raja Yang Maha Suci]'' sebanyak 3 kali. Baginda menguatkan suara pada kali yang ketiga." (HR Nasaie, No: 1753) Status: Hadis Sahih
Berdasarkan hadis ini, antara bacaan surah yang dibaca Nabi SAW dalam solat witir ialah Surah al-A‘la (rakaat 1), Surah al-Kafirun (rakaat 2) dan Surah al-Ikhlas (rakaat 3). Dalam Sunan al-Tirmizi pula diriwayatkan bahawa Nabi SAW membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas sekaligus pada rakaat ketiga.
Kata Imam al-Nawawi rahimahullah:
يُسْتَحَبُّ أَنْ يَقُولَ بَعْدَ الْوِتْرِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
"Disunatkan untuk menyebut selepas solat witir sebanyak 3 kali 'Subhanal Malikil Quddus'." [Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab].
Semoga kita tidak ketinggalan melaksanakan solat sunat witir dan zikirnya setiap malam termasuk di luar dari bulan Ramadan.

Apakah Itu Istidraj?


Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Rasullulah s.a.w. bersabda :”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.” (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat,dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.”
Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya Rasullulah s.a.w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul æIbad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) , dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan.
Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya,jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya,akhirnya binasa juga.
Jadi,jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.
Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah?
Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Kenapa Ada Wudhuk Sebelum Solat?


Di dalam berwudhu’, sebahagian anggota tubuh yang banyak memainkan pernanan yang penting dalam kehidupan kita dibersihkan. Jari-jemari, mulut, muka, telinga, tangan dan kaki, semuanya diwudhu’kan.
Anggota tubuh tersebut merupakan suatu kesatuan dalam kehidupan. Umpamanya, tangan mahu mengambil sesuatu tetapi kalau kaki tidak bergerak kita tidak boleh berbuat apa-apa. Seterusnya, biarpun tangan boleh bergerak, kaki pun boleh bergerak, kalau tidak ada perancangan dengan kepala kita pun tidak boleh berbuat apa-apa. Semuanya harus direncanakan.
Kepala tadi disapu ketika berwudhu’, supaya fikiran kita menjadi sejuk, supaya hati kita menjadi bening. Telinga dibersihkan, mulut dibersihkan, kedua tangan dibersihkan. Tangan merupakan anggota yang bayak digunakan dalam aktiviti kita seharian. Dibantu dengan kaki ditambah dengan mulut yang berbicara dan kepala yang merancang. Itu semuanya sudah dibasuh pada waktu kita berwudhu’.
Mengapa perut tidak dibasuh? Kerana kurang peranannya. Perut hanya tahu makan hingga tidak perlu untuk dibasuh. Adapun yang paling banyak berperanan adalah mulut, telinga yang mendengar, mata yang melihat, semuanya sudah dibersihkan. Tangan yang mengambil beserta kaki yang membawa kita ke sana ke mari juga telah dibersihkan. Begitu juga dengan muka yang ada mata, hidung, mulut, kepala yang memangku otak. Semuanya berperanan pentingdalam kehidupan kita telah dibersihkan. Nah, ternyata anggota tubuh kita yang paling memainkan peranan dalam solat adalah anggota yang kita wudhu’kan.
Tidak boleh berdiri? Duduk. Yang boleh membuatkan kita tegak dihadapan Allah adalah kaki. Yang digerakkan pada waktu takbir adalah tangan. Tangan juga digunakan pada waktu sujud. Mata dipakai untuk melihat bersih tidak tempat solat, arah kiblatnya & jantina imamnya (lelaki tidak boleh berimam dengan wanita kan?). Telinga berfungsi untuk mendengar bacaan. Mulut yang digunakan untuk membaca dibersihkan terlebih dahulu dengan berkumur-kumur.
Begitulah hikmah yang mengapa kita berwudhu’ dengan empat anggota tubuh. Sebabnya empat anggota tadi itulah yang terpenting dalam aktiviti seseorang.
Hikmah yang lainnya kenapa kita berwudhu’ dengan empat anggota tubuh tersebut adalah kerana empat anggota itulah yang paling memainkan peranan dalam solat. Dalam satu hadith nabi bersabda
“Aku diperintahkan sujud dengan tujuh anggota (dahi, dua tangan, dua lutut & dua telapak kaki).”
Anggota tubuh ini semuanya tercuci.

 


9 Great Benefits Reciting Al Quran

 





Waktu Yang Diharamkan Bersolat


1. Waktu syuruk iaitu 28 mins selepas subuh ketika matahari baru naik ke langit, contoh waktu subuh dari 5.35pg ke 7.05pg 7.05pg + 28mins = 7.33pg. Oleh itu 7.05pg ke 7.33pg ialah waktu syuruk.
Waktu ini adalah haram untuk melakukan sebarang solat kerana tanduk syaitan berada di antara matahari.
Rasulullah s.a.w. mengharamkan solat waktu ini juga kerana ia menyamai orang yang meyembah matahari. Jika kita terbangun dari tidur pada pukul 7 pagi dan ingin mengqadakan solat subuh, kita harus melepasi waktu syuruk ini.
2. Waktu zawal / istiwa / rembah iaitu waktu matahari berada tegak di atas kepala iaitu apabila berdiri tidak kelihatan bayangan kecuali di bawah kaki kita. Waktu inilah api neraka sedang bergeledak dan syaitan berkeliaran. Waktu ini panjangnya dalam 5 ke 10mins sebelum masuknya waktu zohor.

3. Waktu fadilat /afdal untuk bersolat ialah sepertiga waktu selepas azan iaitu 20mins selepas azan. Pahala yang besar diberikan pada orang-orang yang menghormati dan tidak melengahkan waktu solat, kecuali solat isyak, afdalnya ialah sepertiga malam iaitu sesudah azan hingga 10.30malam. 

Sedekah Tidak Mengurangkan Harta


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (HR. Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sedekah adalah amalan yang dituntut dalam Islam khususnya di bulan Ramadan.
2. Orang yang bersedekah tidak akan mengurangkan hartanya. Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik malah akan didoakan oleh Malaikat.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَامِن يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ, إِلاَّ مَلَكَانِ يَنزِلاَنِ, فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اَللهُمَّ أَعْطِ مُنفِقًا خَلَفًا. وَيَقُولُ الآخَرُ: اللهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun (datang) dua malaikat kepadanya lalu salah satunya berdoa; "Ya Allah berikanlah pengganti bagi siapa yang menafkahkan hartanya", sedangkan yang satunya lagi berdoa; "Ya Allah berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil) ".(HR Bukhari No: 1351) Status: Hadis Sahih
3. Orang yang memberi kemaafan kepada orang lain, Allah akan menambah kemuliaannya.
4. Orang yang merendahkan diri kerana Allah (rendah hati, tidak sombong), Allah akan mengangkat darjat serta kedudukannya di sisi Allah.
5. Perbanyakkanlah sedekah di bulan Ramadan ini, jadikanlah diri kita seorang yang pemaaf dan berusahalah menjadi orang yang sentiasa merendah diri bukan angkuh dan sombong.

Cara Wahyu Diturunkan Kepada Rasulullah S.A.W


Diriwayatkan daripada Aisyah r.a: Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Bagaimana wahyu Allah SWT diturunkan kepada mu?” Rasulullah SAW menjawab:” Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi sebuah loceng. Dari ber...bagai-bagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang setelah aku menerima wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemui ku dalam keadaan wujud seorang lelaki dan berbicara kepada ku dan aku mengingati apa yang ia katakan. Aisyah r.a menambah: “ Ketika nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan Allah SWT.”
juga melalui cara di bawah ini:
1] Wahyu yang diturunkan adalah berupa mimpi yang baik
2] Pengetahuan yang diletakkan oleh Allah ataupun Malaikat Jibrail dalam hati nabi tanpa bersuara.
3] Malaikat Jibrail datang kepada nabi dengan menjelma rupa seorang lelaki
4] Datangnya kepada nabi berupa semacam bunyi loceng
5] Bunyi seperti suara lebah
6] Malaikat Jibrail datang kepada nabi dalam bentuknya yag asli
7] Allah berkata-kata secara langsung dengan nabi

Al-Quran dan Islam Menurut Kacamata Barat


Al-Qur’an diturunkan sebagai mukjizat kepada Rasulullah saw untuk dijadikan panduan semua umat manusia. Di dalamnya terkandung pelbagai sistem kehidupan yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Al-Quran bukan semata-mata untuk bangsa Arab walaupun ditulis dalam bahasa Arab. Al-Qur’an adalah kitab yang agung untuk umat Islam. Membacanya adalah ibadah manakala mengamalkannya satu kewajipan. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” (Surah Al-Isra’ 17:9)
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” (Riwayat Abu Daud)
Namun, Al-Qur’an adalah kitab yang digeruni oleh orang Eropah (bukan Islam). Mereka berasakan kitab ini amat berbahaya.
Orientalis menakut-nakutkan dunia Barat akan bahaya Al-Qur’an, iaitu kumpulan yang ditundukkan oleh kemahuan individu dan tujuan politik yang telah dipertanggungjawabkan untuk mendedahkan bahaya Al-Quran melalui kajian yang dianggap ilmiah. Usaha mereka itu betul tetapi disesatkan dengan berbagai cara. Ketika golongan ini mengkaji al-Quran secara mendalam dan diamati dasarnya yang asas, keistimewaan yang unggul ternyata di dalamnya terdapat seruan untuk bersatu, berpegang kuat dengan tali Allah, bekerjasama untuk kebaikan, meningkatkan ketakwaan, peringatan dari kezaliman, melarang mengejek orang lain atau mengintai-intai, peringatan supaya tidak mengumpat, mengadu domba, gesaan kepada sifat benar, amanah, adil, menuruti janji, gesaan mencari ilmu dan melepaskan diri daripada kejahilan serta peraturan bagaimana menangani kehidupan di dunia ini.
Apabila perkara ini diketahui, orientalis cuba untuk menutup hakikat ini dan menjauhkan orang Islam daripadanya. Mereka segera berjumpa penjajahan lama dan baru serta memberitahu bahawa al-Quran ini adalah kitab yang berbahaya bagi mereka. Kononnya ia mengandungi dasar yang akan membangun dan menundukkan dunia sekiranya dapat difahami ajarannya dan dipraktikkan, justeru pengikutnya akan menguasai muka bumi ini. Ini bermakna umat Islam, jika mengetahui kitab mereka dengan sebenar-benar makrifah dan dilaksanakan dengan sempurna, maka penjajah akan menerima kecelakaan. Oleh itu, mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh supaya al-Quran tidak diketahui dan dasarnya akan terpisah daripada orang Islam dan serta boleh dipraktikkan.
Barat akan berasa takut dan gementar apabila adanya semangat Islam di setiap tempat di dunia atau sekarang dikenali sebagai kebangkitan Islam. Sekiranya dirancang dengan teratur dan rapi, ia akan kembali kepada al-Quran, justeru ia akan menanamkan semangat dan ketinggian di hati umat Islam untuk menentang musuh Islam. Inilah perkara yang mengancam kepentingan Barat di dunia Islam.
Sebagaimana firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Kamu [umat Islam] adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran: 110)
Media Timur dan Barat berusaha menggambarkan gerakan Islam di dunia Islam sebagai pelampau, ekstrim, fanatik, mundur, taksub, pengganas dan semua istilah yang ada di dalam kamus bahasa bagi perkataan seumpama ini. Dunia Barat dan Timur semua bersepakat supaya Islam jangan bangkit lagi tetapi orang Islam tidak sedar hakikat ini sebenarnya. Usaha mestilah dijalankan supaya pandangan orang Islam berubah, dengan beranggapan bahawa untuk menyelamatkan umat Islam mestilah mengikut cara sekular Barat, dengan itu dakwah daripada orientalis akan melangkah untuk memperbaiki Islam.
Islam pada anggapan mereka adalah agama yang beku dan tidak selaras dengan zaman moden manakala seruan yang ditujukan kepada umat Islam adalah sesuatu yang asing tetapi mereka mesti melakukannya untuk agama. Dakwaan itu adalah percubaan untuk mengubah pandangan orang Islam terhadap Islam dan menjadikan Islam lebih hampir kepada orang Kristian setakat yang boleh.
Sebahagian masyarakat Islam telah terpengaruh dengan fahaman orientalis ini, sebagai contoh buku yang dikeluarkan di Jerman pada 1981 bertajuk Azmat al-Islam al-Hadith (Krisis Islam Sekarang). Buku dihasilkan pengarang Islam Arab yang bertugas sebagai profesor di Universiti Jerman itu menyeru dengan bersemangat sekali supaya mengambil contoh Barat dalam usaha untuk menjadikan agama sebagai ajaran akhlak, bukan ajaran yang berbentuk tanggungjawab yang mesti dipatuhi. Pada pendapatnya, itulah satu cara untuk menyelesaikan krisis Islam, justeru dapat memisahkan agama dengan urusan kehidupan mengikut bentuk sekular Barat. Jika dilihat pada masa sekarang, fahaman ini telah semakin menular di kalangan masyarakat Islam khasnya.
Di setengah negara Islam sekular, sudah ada yang melayani pemikiran Islam seperti melalui pemikiran Mark kerana anggapan mereka Islam adalah berbahaya dan wajib diperangi serta dihukum pendakwahnya. Penjajah telah membuat perancangan rapi untuk melemahkan Islam dan menjauhkan mereka daripada dasar Islam. Ia akan menghalang apa saja percubaan untuk menyatupadukan semua umat Islam sekali lagi. Penjajah mendapati umat Islam sendiri yang merelakan diri mereka untuk dijadikan alat bagi tujuan penjajah itu. Kita tidak akan menemui kenyataan itu daripada mulut mereka tetapi inilah yang tercatat di dalam watikah rahsia penjajah sendiri.
Politik orientalis yang menyokong Arab di dalam peperangan yang besar (yang pertama) hanya semata-mata satu strategi untuk menghancurkan kekuatan Turki. Malah, ia juga sebagai strategi untuk memisahkan penguasaannya terhadap dua bandar suci, Makkah dan Madinah, daripada khalifah Uthmaniyah yang memerintah pada waktu itu. Perkara yang paling menggembirakan orientalis ialah Kamal Ataturk tidak hanya meletakkan pembaharuan yang jauh kesannya dan akhirnya menolak lambang Turki sebagai negara Islam.
Benarlah sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud:
“Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk sebenar. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah Al-Baqarah: 120)
Ayat ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah saw bermaksud: “Kamu akan mengikut tatacara orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak, kamu turut sama ke dalamnya.”
Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah (yang dimaksudkan) mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi.” (Riwayat Muslim)
Biduk berlalu kiambang bertaut, walaupun terdapat celaan dan cacian, propaganda serta diserang dengan bermacam tuduhan, terutama daripada mereka yang memusuhi Islam, masih ada ahli fikir Barat atau orientalis yang tidak sempit hatinya mahu menyelami Islam dan jiwa junjungan kita, Muhammad saw. Mereka mengkaji sejarah umat yang dihidupkan oleh tuntutan wahyu Ilahi itu, seperti Thomas Carlyle, mengaku bahawa Nabi Muhammad itu bukan orang biasa dan Al-Qur’an itu bukan suatu hasil kesusasteraan belaka.
Edward Gibbon (1737-1794), seorang ahli sejarah Inggeris, berkata mengenai al-Quran seperti berikut:
“Al-Qur’an itu adalah sebuah kitab agama, kitab kemajuan, kenegaraan, persaudaraan dan perundangan. Al-Qur’an mengandungi isi yang lengkap, daripada urusan ibadat, akidah, akhlak hingga pekerjaan sehari-hari dan daripada urusan rohani hingga jasmani seterusnya. Ia juga menerangkan segala pembalasan atas amalan manusia. Sebab itu amat besar perbezaan al-Qur’an dengan Bible. Dalam Bible, tidak ada peraturan yang berhubung keduniaan melainkan cerita untuk penyucian diri. Bible tidak boleh menandingi al-Quran kerana al-Quran bukan saja menerangkan kaitan amalan kegamaan, bahkan mengupas asas politik kenegaraan. Al-Quran menjadi sumber undang-undang dasar memutuskan semua perkara yang berhubung dengan material kejiwaan.”
Ini adalah antara pandangan cendikiawan Barat yang mengkaji Al-Qur’an berdasarkan fahaman yang benar.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah Al-Hijr: 9)
Ayat ini adalah jaminan daripada Allah s.w.t. bahawa Al-Qur’an tetap akan terpelihara daripada sebarang perubahan dan akan terus kekal hingga ke hari kiamat. Oleh itu, umat Islam perlu sedar hakikat ini supaya mereka mengkaji Al-Qur’an dan menghayati kandungannya, lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini supaya kita tidak tertipu dengan dakyah yang dibawa musuh Islam.

Persoalan Manusia Semuanya Telah Terjawab Dalam Di Dalam Al Quran


Soalan 1: Kenapa Aku Diuji?
Al Quran Menjawab:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3).
Soalan 2 : Kenapa Aku Tidak Dapat Apa Yang Aku Idam-Idamkan?
Al Quran Menjawab:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah ayat 216)
Soalan 3: Kenapa Ujian Seberat Ini?
Al Quran Menjawab:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)
Soalan 4: Kenapa Kita Rasa Kecewa?
Al Quran Menjawab:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman".
(Surah Ali Imran ayat 139)
Soalan 5: Bagaimana Harus Aku Hadapi Kesusahan Ini?
Al Quran Menjawab:
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah al-Baqarah ayat 45)
Soalan 6: Kepada Siapa Aku Berharap?
Al Quran Menjawab:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".
(Surah at-Taubah ayat 129)
Soalan 7: Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ujian Ini?
Al Quran Menjawab:
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".
(Surah at-Taubah ayat 111)
Soalan 8: Aku Tidak tahan dengan ujian ini!
Al Quran Menjawab:
"...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf ayat 12)
Soalan 9: Sampai bila aku Akan Merana?
Al Quran Menjawab:
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah al-Insyirah ayat 5-6)
KESIMPULANNYA
Firman Allah maksudnya :
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".
(Surah Al-Hadid ayat 22)
Dalam Ayat yang lain Allah berfirman maksudnya :
"Tidak luput daripada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). "
(Surah Yunus ayat 61)

Penyusunan Ayat-Ayat Al-Quran


Tertib atau susunan ayat di dalam al-Quran mengikut pendapat para ilmuwan adalah tauqifi iaitu ketentuan daripada Nabi Muhammad berdasarkan wahyu daripada Allah. Sebahagian ilmuwan menyatakan pendapat ini adalah ijmak atau sepakat semua ilmuwan.
Antaranya al-Zarkashi dan Abu Ja`far bin al-Zubair. Abu Ja`far mengatakan: “Tertib ayat-ayat dalam surah-surah berdasarkan tauqifi daripada Rasulullah dan atas perintahnya, tanpa ada perselisihan kaum Muslimin.” Mengikut as-Suyuti, ijmak dan nas atau dalil yang ada menegaskan ayat-ayat al-Quran itu berdasarkan tauqifi daripada Nabi Muhammad.
Jibril menurunkan ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad dan menunjukkan kepadanya tempat di mana ayat-ayat itu perlu diletakkan dalam surah ataupun ayat-ayat yang turun sebelumnya. Lalu beliau memerintahkan kepada para penulis wahyu menulisnya di tempat itu.
Beliau mengatakan kepada mereka, “Letakkan ayat-ayat ini pada surah yang dalamnya disebutkan begini dan begini,” ataupun “Letakkan ayat ini di tempat itu.”
Usman bin Abil melaporkan, “Aku sedang duduk di samping Rasulullah, tiba-tiba pandangannya menjadi tajam lalu kembali semula. Kemudian katanya, ‘Jibril datang kepadaku dan memerintahkan supaya aku meletakkan ayat ini di tempat itu daripada surah ini,“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan serta memberi kepada kaum kerabat…” (Surah al-Nahl ayat 90).
Antara alasan-alasan yang digunakan bagi menunjukkan ayat-ayat al-Quran disusun berdasarkan tauqifi adalah sejumlah hadis yang menunjukkan keutamaan dan ke-lebihan beberapa ayat daripada surah-surah tertentu. Ini menunjukkan, tertib ayat-ayat bersifat tauqifi. Sekiranya tertibnya dapat diubah, tentulah ayat-ayat itu tidak di-dukung oleh hadis-hadis itu atau kelebihan ayat-ayat itu tidak dapat dipraktikkan.
Abu Darda’ menyebut satu hadis, “Barang siapa hafal 10 ayat dari awal surah al-Kahfi, Allah melindunginya daripada dajal.” Dalam laporan yang lain dikatakan, “Barang siapa membaca 10 ayat yang akhir daripada surah al-Kahfi…” (Direkodkan oleh Muslim).
Terdapat juga hadis-hadis lain yang menunjukkan letak ayat tertentu pada tempatnya. Umar berkata, “Aku tidak menanyakan kepada nabi mengenai sesuatu lebih banyak daripada aku tanyakan kepadanya mengenai kalalah (pusaka), sehingga nabi me-nekankan jarinya ke dadaku dan mengatakan, Tidak cukupkah bagimu ayat yang diturunkan pada musim panas, yang terdapat dalam akhir surah an-Nisak? (Direkodkan oleh Muslim).
Di samping itu, diceritakan pula nabi membaca sejumlah surah dengan tertib ayat-ayatnya dalam sembahyang ataupun dalam khutbah seperti surah al-Baqarah, Ali Imran dan an-Nisak. Terdapat juga hadis yang mengatakan beliau membaca surah al-A`raf dalam sembahyang Maghrib dan membaca surah as-Sajdah dan diikuti oleh surah ad-Dahr dalam sembahyang Subuh hari Jumaat. As-Suyuti menegaskan, “Pembacaan surah-surah yang dilakukan di hadapan para sahabat itu menunjukkan tertib atau susunan ayat-ayatnya adalah tauqifi. Ini kerana, para sahabat tidak me-nyusunnya dengan susunan yang berbeza dengan apa yang mereka dengar daripada nabi.

Mengapa Al Quran Diturunkan Dalam Bahasa Arab?


Al-Quran turun dengan bahasa Arab dikarenakan Rasulullah Saw dan para Mukhatab pertamanya menggunakan bahasa tersebut. Satu hal lagi, nantinya akan timbul pertanyaan jika tidak berbahasa Arab; mengapa Al-Quran turun dengan bahasa lain, padahal para mukhatab awalnya berbahasa Arab? Al-Quran sendiri juga menyatakan dalam Ayat Fushilat, ayat ke-44:” Dan Jikalau kami jadikan Al Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain Arab, tentulah mereka mengatakan: “Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?” apakah (patut Al Quran) dalam bahasa asing sedang (rasul adalah orang) Arab?” Oleh karena itu, kondisi alamiah yang telah menuntut Al-Quran turun dengan bahasa Arab.
Hanya saja dengan merujuk kepada sebagian ayat-ayat suci Al-Quran, kita akan mendapati sisi-sisi lain dari turunnya kitab mulia ini dengan bahasa Arab. Berikut sisi-sisi tersebut:
1. Bahasa Arab merupakan faktor penting dalam rangka diterimanya Al-Quran oleh bangsa Arab saat itu. Allah berfirman:”Dan kalau Al Quran itu kami turunkan kepada salah seorang dari golongan bukan Arab, Lalu ia (Rasul) membacakannya kepada mereka (orang-orang kafir); niscaya mereka tidak akan beriman kepadanya.” (Syu’ara’, 198-199).
Dan wajar sekali jika agama Islam ingin tersebar ke seluruh penjuru dunia maka bangsa Arab yang hidup di kawasan tempat Rasul diutus harus menerimanya dan dari para mukmin inilah agama itu tersebar ke seluruh dunia.
2. Bahasa daerah (bahasa sendiri) itu lebih berpengaruh dari pada bahasa lain. Allah berfirman:”Kami tidak mengutus seorang Rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka.”(Ibrahim: 4)
3. Tantangan Al-Quran yang ditujukan kepada para pengingkarnya menuntut risalah ini dituang dalam sebuah bahasa yang dapat dipahami dan dimengerti oleh para mukhatab pertamanya. Allah berfirman:”Dan jika kalian (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolong kalian selain Allah, jika kalian orang-orang yang benar.” (Al-Baqarah, 23)
Atau dalam Surah Yunus disebutkan:”Atau (patutkah) mereka mengatakan “Muhammad membuatnya.” Katakanlah: “(Kalau benar yang kalian katakan itu), Maka cobalah datangkan sebuah surat seumpamanya dan panggillah siapa-siapa yang dapat kalian panggil (untuk membuatnya) selain Allah, jika kalian orang-orang yang benar.”(Yunus, 38)