Undang-undang jenayah Islam
mempunyai kelebihan tersendiri berbanding undang-undang jenayah sivil yang
kebanyakannya datang dari negara Barat. Di Malaysia umpamanya undang-undang
jenayah kebanyakannya diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang
diceduk dari Kanun Keseksaan India. Kanun Keseksaan India ini adalah sebenarnya
berasal dari kaedah-kaedah perundangan Common Law England yang dikumpulkan dan
ditulis dalam bentuk akta atau Kanun. Selain Kanun Keseksaan, undang-undang
jenayah juga terdapat dalam akta-akta tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya,
Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta Keselamatan Dalam Negeri
1957, Akta Rahsia Rasmi 1983 dan lain-lain. Sementara prosedur jenayah pula
diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (NMB. Bab 6), Akta Keterangan dan
akta-akta berkaitan mahkamah.
Oleh kerana sumber kedua-dua
undang-undang ini adalah berbeza maka terdapat beberapa perbezaan di antara
undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil. Antara perbezaan
di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil adalah:
- Undang-undang Islam adalah dari Allah sedangkan undang-undang sivil adalah ciptaan manusia. Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan tentunya membuat undang-undang yang terbaik dan paling sesuai untuk manusia. Bahkan manusia ini adalah ciptaan Allah, maka Allah tentu Maha Mengetahui apakah undang-undang jenayah yang sesuai dengan fitrah manusia. Undang-undang ciptaan manusia terdedah dengan seribu satu kelemahan kerana ilmu dan kebolehan manusia adalah terhad. Tambahan pula manusia sentiasa terpengaruh dengan keadaan persekitaran, latar belakang keluarga, pendidikan, dorongan nafsu dan hasutan syaitan. Kerana itulah undang-undang manusia sentasa berubah umpamanya dahulu homoseksual dianggap sebagai satu jenayah, tetapi hari ini ia tidak lagi dianggap satu kesalahan, bahkan ia diangkat sebagai satu amalan yang sah melalui perkahwinan seperti yang diamalkan di negara-negara tertentu.