Khamis, Jun 13, 2013

Mencari Kebenaran Dalam Kepelbagaian Pendapat

RASULULLAH SAW memberi gambaran bahawa pada zaman yang mendatang umatnya akan berselisih pendapat dalam banyak perkara. Rasulullah s.a.w bersabda:

أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وان كان عبد حبشي فانه من يعش منكم يرى بعدي اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين عضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الامور فان كل محدثة بدعة وان كل بدعة ضلالة

"Aku berwasiat kepada kamu untuk bertakwa kepada Allah, taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun yang memimpin kamu seorang hamba abdi berkulit hitam. Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang masih hidup setelah aku tiada, dia akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa' al-Rasyidun yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan geraham (iaitu berpeganglah dengan kuat), dan hendaklah kamu menjauhi perkara yang baru, kerana setiap perkara baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat." (Riwayat riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah, Sahih) 

Ternyata ramalan Baginda SAW yang dibimbing wahyu Ilahi itu benar-benar menjadi kenyataan. Perselisihan pendapat sememangnya terjadi secara meluas dan ada kalanya sehingga ke tahap saling sesat-menyesatkan, kafir-mengkafirkan dan pertumpahan darah di antara sesama umat Islam.

Senario itu tidak sepatutnya berlaku kerana Baginda SAW sudah memberi panduan jelas bagaimana perselisihan pendapat harus ditangani iaitu dengan menjadikan al-Quran, al-Sunnah serta amalan para sahabat sebagai neraca timbangan.

Masbuq (Solat Berjemaah)

Masbuq ertinya yang didahului. Salah satu daripada istilah ilmu fiqh, iaitu ma’mum yang tidak sempat membaca surah al-Fâtihah berserta imam pada rakaat pertama. Lawannya muwâfiq. 
 
 Hukumnya adalah seperti berikut:
  1. Jika ma’mum melakukan takbîratul ihrâm sewaktu imam belum ruku‘, hendaklah ma’mum terus membaca surah al-Fâtihah seberapa segera yang mungkin tanpa membaca doa Iftitâh. Apabila imam ruku‘ sebelum ma’mum habis membaca surah al-Fâtihah, maka hendaklah ma’mum itu memberhentikan bacaan surah al-Fâtihahnya dan terus ruku‘ bersama imam, kerana bacaan surah al-Fâtihah ma’mum yang tidak habis itu sama ada sebahagiannya atau semuanya akan ditanggung oleh imam.
  2. Sekiranya ma’mum melakukan takbîratul ihrâm sewaktu imam sedang ruku‘, hendaklah ma’mum itu terus ruku‘ bersama imam tanpa membaca surah al-Fâtihah. Dengan berbuat demikian, ma’mum tersebut mendapat satu rakaat, kerana ma’mum itu sempat ruku‘ bersama imam. Tetapi sekiranya dia tidak sempat ruku‘ bersama imam, maka tidaklah dikira rakaat itu bersama imam. Hendaklah ditambah kekurangan rakaatnya sesudah imam memberi salam.
  3. Jika imam sedang duduk membaca tahiyyat atau sedang sujud, maka ma’mum hendaklah melakukan takbîratul ihram kemudian terus mengikut keadaan dan perbuatan imam itu. Oleh kerana ma’mum itu tidak sempat ruku‘ bersama-sama imam, maka dia tidak dikira mendapat satu rakaat. 
Contoh-contoh sembahyang masbuq:
  1. Jika ma’mum yang masbûq sempat ruku‘ bersama imam pada rakaat yang kedua dalam sembahyang Subuh, ma’mum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, kemudian apabila imam telah selesai memberi salam, maka ma’mum tersebut hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan sunat baginya membaca doa Qunut sekali lagi dalam rakaat yang kedua itu.
  2. Jika ma’mum yang masbûq itu sempat ruku‘ bersama imam pada rakaat yang ketiga (akhir) dalam sembahyang Maghrib, ma’mum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, kemudian apabila imam selesai memberi salam, maka ma’mum tersebut hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan melakukan tahiyyat awwal dalam rakaat itu, kemudian dia berdiri lagi untuk melakukan rakaat yang ketiga hingga selesai memberi salam. 
Sumber: http://www.mufti.gov.bn

Kisah dan Teladan: Persiapan Perkahwinan


Sayang, tengok nih. Cantiknya Al-Quran ni. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran" pekik Jamilah kepada Nabil.

"Sini pun cantik juga. Warna unggu keemasan. Mana satu kita nak beli ni?" balas Nabil.

Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu Al-Quran yang bakal dijadikan hantaran.

"Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab" keluh Jamilah." Ala , awak bukan reti pun bahasa arab" jawab Nabil.

Tergelak Jamilah. Berbahagia rasanya dapat calon suami seperti Nabil. Prihatin.

"Apa yang saudara cari tu. Nampak seronok saya lihat" tegur pakcik berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik dalam lingkungan 40-an.

"Oh, kami cari Al-Quran. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ.

"Oh. Bagus lah. Adik selalu baca waktu bila?" pakcik menyoal sambiltersenyum.
"Aa... aa.. lama dah saya tak baca, pakcik" teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain.

"Kalau gitu, tak perlu lah beli AlQuran kalau sekadar hantaran. Kesian AL-Quran. Itu bukan kitab hiasan, dik" tegur pakcik berhemah.

Soal Jawab Iblis dengan Allah SWT

Kisah tentang soal jawab iblis dengan Allah SWT sebagaimana yang telah diriwayat oleh Anas bin Malik r.a. berkata:

Iblis telah bertanya pada Allah SWT, katanya : “Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepadaMu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku.” Firman Allah: “Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas.”

Iblis bertanya :“Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?” Firman Allah SWT :“Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat.”

Iblis bertanya :“Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?” Firman Allah SWT :“Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan.”
Iblis bertanya :“Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?”Firman Allah SWT: “Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta.”

Iblis bertanya :”Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula azan untukku?” Firman Allah SWT: “Azan untukmu ialah seruling.”

Iblis bertanya: “Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusan-Mu dari para rasul dan juga nabi, siapakah yang menjadi utusanku?” Firman Allah SWT : “Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang menduakan Aku.”
Iblis Bertanya: “Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?” Firman Allah SWT: “Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan.”

Jumaat, Februari 15, 2013

Lalai Solat Kerana Pengaruh Dunia


PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?

Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.

Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.

Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:

1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai. Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

Lidah Tentukan Langkah Manusia ke Syurga atau Neraka


KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.

Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.

Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.

Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.

Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.

Misteri Binaan Piramid Dijawab oleh Al-Quran


Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Al-Quran Telahpun Mempunyai Jawapan

Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:

    وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ

    “Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta.” (Al-Qasas: 38)

Enam Tempat Boleh Mengumpat


Firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat :

…..وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ……..

Maksudnya : …dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya….

قال الرسول e : إِيَّاكُمْ وَالغِيْبَةَ فَإِن َّالغِيْبَةَ أَشَدُّ مِنَ الزِّنَا. قِيْلَ لَهُ كَيْفَ؟ قَالَ : إِنَّ الرَّجُلَ قَدْ يَزْنِي وَ يَتُوْبُ فَيَتُوْبُ اللهُ عَلَيْهِ وَإِنَّ صَاحِبَ الغِيْبَةِ لاَ يُغْفَرُ لَهُ حَتَّى يَغْفِرَ لَهُ صَاحِبُهُ

Maksudnya: Jauhkan oleh kamu akan dirimu dan takut oleh kamu akan mengumpat kerana bahawasanya mengumpat itu lebih bersangatan daripada zina. Dikatakan bagi Rasulullah s.a.w : Betapa? Ertinya, kerana apa mengumpat itu lebih besar daripada zina?. Bersabda baginda : Bahawasanya seorang lelaki itu terkadang dia berzina dan lantas bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan bahawasanya orang yang mengumpat itu tiada diampuni baginya sehingga memaaf baginya oleh orang yang diumpatnya. ( Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan Abu Asy-Syeikh dari Jabir dan Abi Sa’id )

Hukum mengumpat itu haram dengan ijma’ melainkan pada 6 tempat yang diharuskan mengumpat padanya iaitu :

1. Orang yang mengadu pada penguasa tentang kezaliman seseorang dengan menyebut nama orang zalim itu dan perbuatannya bertujuan untuk menghentikan kezalimannya

2. Orang meminta tolong bagi menghilang maksiat pada sesuatu tempat kepada yang berkemampuan dengan menyebut nama pelaku maksiat dan kesalahannya bertujuan untuk menghentikan maksiat itu

3. Orang yang meminta fatwa daripada yang berkelayakan tentang sesuatu masalah yang terpaksa menyebut nama dan kelakuan seperti seorang isteri bertanya tentang hal suaminya dan sikapnya yang buruk

4. Orang yang menakutkan orang Islam lain tentang kejahatan seseorang supaya terselamat daripada keburukan orang itu seperti menyebut kelakuan jahat seseorang perempuan yang diingini untuk dikahwini bila ditanya agar bakal suaminya tidak tertipu dan selamat

5. Menyebut nama seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Amin Tempang dan sebagainya

6. Menyebut nama orang yang menzahirkan kejahatannya bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu

Sumber: http://www.islamituindah.my

15 Soal Jawab Orang Kafir yang Persoalkan Kebenaran Islam


Sewaktu Nabi Muhammad saw wafat, telah sempurna Islam itu. Maka, semua persoalan dan keraguan tentang Islam, pasti akan ada jawapannya. Hanya ilmu di dada sebagai penentu, jawapan apa yang perlu diberi bagi membidas kembali persoalan dan keraguan yang sengaja ditimbulkan oleh orang bukan Islam pada orang Islam. Ada di antara mereka yang bertanya bukan kerana hendak tahu, tapi kerana hendak membuatkan orang Islam yang ilmu hanya ala kadar berasa was-was dengan Islam dan akhirnya orang Islam akan berasa was-was dengan agama yang dianutinya. Nauzubillah.

Soalan-soalan yang dinyatakan di bawah, sebenarnya memang benar-benar pernah ditanya oleh orang bukan Islam secara spontan pada orang Islam. Jadi jawapan yang disampaikan di bawah ini diharap dapat membantu membidas persoalan tersebut.

1) Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran?

Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut 5 kali sahaja di dalam Al-Quran. Manakala nama Nabi Isa as disebut 25 kali. Mengapa? Kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.

2) Nama Nabi Isa lebih banya disebut daripada nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran. Tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan?

Dalam Bible, nama syaitan lebih banyak daripada nama Nabi Isa. Jadi, adakah syaitan lebih hebat daripada Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan Nabi dan RasulNya. Walaubagaimanapun, Allah lebih Maha Mengetahui.

3) Dalam Islam percaya yang Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja Nabi Isa itu Tuhan kan?

Dalam banyak-banyak kaum, hanya kaum Nasrani sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa). Sedangkan, dalam Bible juga ada menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata “Siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka”. (Kitab Injil yang menjadi rujukan pengganut Kristian sekarang ini sebenarnya telah dimanipulasi isi kandungannya)

Urusan Kahwin Patut Dipermudahkan


Pada suatu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian Baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.

Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, maka kahwinkanlah aku dengannya.”

Mas kahwin

Nabi SAW segera bertanya: “Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Nabi SAW bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin.”

Lantas sahabat itu pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas kahwin. Maka Nabi SAW bersabda lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.”

Lalu sahabat itu pulang dan datang kembali serta berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya.” (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).

Nabi SAW bersabda: “Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan itu tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain itu engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.”

Waktu Solat Menurut Al-Quran dan Sains


Solat menjadi Ibadah utama seorang muslim, kewajipan solat ini menjadi salah satu cara untuk berkomunikasi langsung seorang hamba dengan Tuhannya. Banyak hikmah di dapati berkaitan perintah solat ini. Baik secara kesihatan, psikologi, sains, dan masih banyak lagi hikmah yang lain. Salah satu hikmah diperintahkan solat sebanyak 5 (lima) waktu. Rahsia ini terungkap berdasar beberapa kajian dan pengamatan para ahli di bidangnya.

Perpindahan waktu adalah bahagian dari kekuasaan Allah swt yang mempunyai hikmah dan kekhususan pada masing-masing. Setiap peralihan waktu solat, sebenarnya bersamaan dengan terjadinya perubahan tenaga alam yang boleh diukur dan dapat dirasakan melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi mereka yang akrab dengan dunia fotografi.

WAKTU SUBUH

Pada waktu ini, alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersesuaian dengan frekuensi tiroid (kelenjar gondok). Dalam fisiologi, tiroid mempunyai pengaruh terhadap sistem metabolisme tubuh manusia. Warna biru muda juga mempunyai rahsia tersendiri berkaitan dengan rezeki dan cara berkomunikasi. Mereka yang masih tertidur pulas pada waktu Subuh akan menghadapi masalah rezeki dan komunikasi. Hal ini terjadi kerana tiroid tidak dapat menyerap tenaga biru muda di alam ketika ruh dan jasad masih tertidur. Pada saat Azan Subuh berkumandang, tenaga alam ini berada pada tingkatan optimum. Tenaga inilah yang kemudian diserap oleh tubuh kita terutama pada waktu ruku ‘dan sujud.

WAKTU ZOHOR

Warna alam menguning dan berpengaruh terhadap perut dan sstem pencernaan manusia secara keseluruhan. Warna ini juga mempunyai pengaruh terhadap hati. Di samping itu warna kuning ini juga mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan seseorang. Jadi bagi mereka yang selalu ketinggalan atau melewatkan solat Zuhur berulang-ulang kali, akan menghadapi masalah dalam system penghadaman serta berkurang keceriaanya.

Rabu, Februari 13, 2013

Doa Para Nabi-Nabi


Doa Nabi Adam a.s

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ “
Ya Tuhan Kami, Kami telah Menganiaya diri Kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni Kami dan memberi rahmat kepada Kami, niscaya pastilah Kami Termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Al A’raaf :23)

Doa Nabi Nuh a.s

 رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ ۖ وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُنْ مِنَ الْخَاسِرِينَ “
Ya Tuhanku, Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakekat)nya. dan Sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaKu, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaKu, niscaya aku akan Termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud :47)

Doa Nabi Hud a.s

إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُمْ ۚ مَا مِنْ دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا ۚ إِنَّ رَبِّي عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ ”
Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. tidak ada suatu binatang melatapun melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.” (Surah Hud :56)

Doa Nabi Ibrahim a.s

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Wahai Tuhanku,jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orng yang tetap mendirikan sholat.Wahai Tuhan kami,kabulkanlah doaku.Wahai tuhan Kami ,berilah keampunan kepadaku dan dua ibu bapaku dan sekalian orang orang mukmin pada hari berlangsungnya hisab(nanti)”.(Surah Ibrahim :40-41)

Adab Bercakap Mengikut Sunnah

Rasulullah S.A.W bersabda, “Janganlah bercakap melebihi dari zikrullah. Sesungguhnya dengan banyak bercakap akan mengeraskan hati dan bila hatinya telah keras maka ia akan menjadi semakin jauh dari Allah“.

1. Bercakaplah dengan nada yang jelas tanpa ada rasa keraguan dan jangan bercakap dengan nada yang samar-samar.

2. Bercakaplah di depan dengan cara bertentangan mata dan jangan bercakap di belakang, ini untuk mengelakkan timbulnya keraguan dan salah faham.

3. Jika seoarang sedang bercakap tentang sesuatu tajuk dan tajuk itu belum habis dibincangkan maka janganlah mengutarakan tajuk baru atau memotong perbualannya itu.

4. Jika seseorang sedang makan maka janganlah bercakap tentang sesuatu yang menjijikkan atau tentang sesuatu yang tidak disukai olehnya.

5. Jangan bercakap di depan orang yang sedang sakit tentang sesuatu yang mendukacitakan sebaliknya ucapkanlah tentang sesuatu yang memberangsangkan.

6. Jangan sesekali meniru gaya percakapan  orang yang jahil dalam agama

7. Jangan bercakap secara berkumam mulut.

8. Jangan bercakap mengenai hal orang lain, membuat fitnah serta mencaci-maki orang.

9. Jangan memanggil orang yang lebih tua dari kita dengan panggilan nama, seeloknya pangillah dengan nama yang memuliakan mereka.

10. Jangan memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak menyenangkannya.

11. Jangan bercakap tentang sesuatu perkara yang anda sendiri masih kurang pasti mengenainya.

Sumber: http://muhdhazrie.wordpress.com